AWMUN X Persiapkan Generasi Muda Hadapi Revolusi Industri 5.0

Kuala Lumpur – Asia World Model United Nations (AWMUN) X telah berjaya dianjurkan dengan bertemakan “Navigating The Future: Shaping Our Role in the 5th Industrial Revolution”. Acara berprestij ini berjaya menarik lebih daripada 258 delegasi dari 27 negara yang berkumpul untuk membincangkan pelbagai isu global berkaitan Revolusi Industri 5.0.

Konferensi ini bertujuan memberikan platform kepada generasi muda bagi memahami cabaran dan peluang yang dibawa oleh kemajuan teknologi. AWMUN X menggunakan pendekatan simulasi sidang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi membolehkan para peserta berfikir secara kritis dan mencari penyelesaian terhadap isu global yang mendesak.

Empat kumpulan perbincangan atau council telah diwujudkan dalam AWMUN X, iaitu International Labour Organization (ILO) yang membincangkan isu pengangguran belia, United Nations Environment Programme (UNEP) yang memberi tumpuan kepada cabaran dan manfaat sisa litium dari kenderaan elektrik, United Nations International Children’s Emergency Fund (UNICEF) yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti, serta World Health Organization (WHO) yang mengupas isu penyalahgunaan ubat preskripsi.

Selain berperanan sebagai platform diplomasi antarabangsa, AWMUN X juga memberi peluang kepada peserta untuk mengasah kemahiran seperti pemikiran kritis, pengucapan awam, diplomasi, dan rangkaian profesional. Kemahiran ini semakin penting dalam menghadapi dunia yang semakin maju dengan integrasi teknologi dalam kehidupan seharian.

Menurut Fahrizal, wakil AWMUN X, Revolusi Industri 5.0 bukan sekadar tentang penggunaan teknologi tetapi juga bagaimana teknologi dapat diintegrasikan dengan nilai kemanusiaan dan kelestarian. Oleh itu, generasi muda perlu bersiap sedia dengan pemikiran inovatif dan keupayaan berkolaborasi secara global.

Konferensi ini mendapat sokongan daripada Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) di bawah Kementerian Pelancongan Malaysia, sekaligus memperkukuhkan reputasi acara ini di peringkat antarabangsa. Selain itu, AWMUN X turut didaftarkan secara rasmi di Pusat Prestasi Nasional (Puspresnas) di bawah Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Riset dan Teknologi Republik Indonesia, menjadikan sijil penyertaannya lebih bernilai bagi peserta yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Peserta yang menghadiri AWMUN X bukan sahaja mendapat pengalaman berharga tetapi juga memperoleh perspektif baharu mengenai peranan mereka dalam mencipta masa depan yang lebih mampan. Kerjasama antara delegasi dari pelbagai negara menunjukkan betapa pentingnya usaha kolektif dalam menangani cabaran global di era Revolusi Industri 5.0.

Dengan kehadiran ramai delegasi dan topik perbincangan yang relevan, AWMUN X telah berjaya menjadi platform yang memberi impak besar kepada pemuda dalam mempersiapkan diri menghadapi perubahan masa hadapan.