Author: Helmi Aziz

  • FRENCH KIWI JUICE, LEBIH DIKENALI SEBAGAI FKJ, BAKAL BERAKSI DI KL PADA 26 JULAI INI DALAM KONSERT SIRI JELAJAH MUSIM PANAS 2023

    Ianya merupakan sebahagian dari konsert siri jelajah musim panas 2023 –2023 Asia tour, yang bermula pada awal tahun ini, Ia menyaksikan FKJ menghiburkan para peminatnya di negara-negara Asia seperti India, Indonesia, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, Hong Kong, dan Filipina. Dan kini, dengan inisiatif Neptunes Presents, Malaysia juga telah disenaraikan di dalam negara-negara yang bakal dilawati.

    Pada April tahun ini, FKJ telah memberikan persembahan yang sangat mengagumkan di hadapan ribuan peminatnya dengan set intrumental elektronik yang unik buat FKJ di festival muzik Coachella 2023 bertempat di Amerika Syarikat.

    FKJ telah melancarkan album studionya berjudul ‘Vincent’ pada bulan Jun tahun lepas.. Album tersebut mengandungi single yang amat popular iaitu ‘Greener’ yang juga menampilkan Carlos Santana. Turut dimuatkan adalah kolaborasi bersama Toro y Moi dalam lagu ‘A Moment of Mystery’ dan ‘Can’t Stop’ bersama band elektronik dari Sweden iaitu Little Dragon.

    Pada 2015 dan 2017, FKJ telah membawa impak besar di Malaysia dengan persembahan di Como dan The Bee, Publika dan Julai ini, peminatnya serta peminat-peminat muzik berpeluang sekali lagi untuk menyaksikan kehebatan FKJ secara live.

    Tarikh:
    26 Julai 2023 (Rabu)

    Tempat: 
    Mega Star Arena KL

    Tiket berharga di antara RM298 sehingga RM508, dan boleh dibeli via Ticket Empire di sini here.

  • Nusafest Festival Muzik Dari Malaysia, Indonesia Dan Singapura Ke Kuala Lumpur

    Setelah berhadapan pelbagai cabaran dan penundaan, Shiraz Projects Sdn Bhd kembali dan dengan bangganya membawakan kembali kepada khalayak sebuah festival yang  menggabungkan tiga negara; Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam satu lokasi dan  kemeriahan pada 8 dan 9 Julai 2023, Sabtu dan Ahad, bermula seawal jam 12 tengahari di  Bandar Malaysia, Sungai Besi. 

    Festival yang pernah tergendala disebabkan pandemik COVID-19 dan berdepan penundaan, kini  kembali dengan barisan nama-nama besar dalam industri tiga negara! Sudah lama rasanya,  angin nusantara tidak disatukan dalam nada dan irama yang sejalur dan titian persahabatan ini  bakal dijalinkan dalam sebuah festival muzik yang dinamakan NUSA FEST. 

    NUSA FEST ingin mengumumkan, tiga nama besar dalam industri muzik tanahair iaitu SEARCH,  WINGS & BUTTERFINGERS sebagai ‘headliner’ di festival ini nanti. Sudah sekian lama Search dan  Wings mengadakan persembahan di satu panggung yang sama dan pasti ini dinanti-nantikan  oleh para peminat tegar mereka. Butterfingers juga akan turut serta di NUSA FEST setelah  hampir empat tahun tidak muncul menemui peminat mereka.

    Pihak Shiraz Projects memohon maaf atas penundaan yang terdahulu dan yakin NUSA FEST kali  ini akan berjalan dengan lancar dengan barisan artis-artis yang mempunyai pengikut tegar dan  setia. Pasti peminat seni muzik tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan gabungan ini  di satu festival. Untuk dua hari, para penonton bakal disajikan dengan muzik enak dan berkualiti  serta barisan nama pemanggung seni yang dekat di hati peminat.

    “Saya percaya bahawa dengan sokongan semua, NUSA FEST akan dapat dijayakan dengan  meriah dan menepati konsep festival yang diinginkan. Dan kali ini kami kembali dengan  pengumuman senarai akhir NUSA FEST,” ujar Shiraz selaku Pengarah Urusan Shiraz Projects.

    Hari ini segalanya dikongsikan bersama. Teka teki siapa yang akan membuat persembahan di  NUSA FEST dengan senarai akhir terjawab hari ini dan pihak Shiraz Projects terus mengharapkan  sokongan serta antusias penonton serta peminat seni untuk menyokong NUSA FEST sehingga ke  hari persembahan.

    Berikut merupakan senarai akhir dan muktamad:

    Malaysia  

    Wings

    Search

    Butterfingers

    Kugiran Masdo

    Salammusik

    Forceparkbois

    Iqbal M.

    White Percussion Unit

    Jemson

    Budak Nakal Hujung Simpang

    Gerhana Skacinta

    Monoloque

    Indonesia  

    Fourtwnty

    Barasuara

    Pusakata

    Efek Rumah Kaca

    Kelompok Penerbang Roket

    The Changcuters

    Burgerkill

    Seringai

    Diskoria

    Dipha Barus

    Ras Muhamad

    Singapore  

    The Pinholes

    Antara aktiviti yang akan dijalankan di NUSA FEST ialah Panggung Nusa (dua pentas  bersebelahan dengan pementasan tanpa henti! Festival muzik yang menghadirkan 12 kumpulan  Malaysia, 11 penghibur Indonesia, 1 kumpulan Singapura), Warong Nusa (semuanya tentang  makanan!) dan Pasar Nusa (seni dan kraftangan dari Nusantara).

    Tiket dengan harga RM200 (untuk dua hari/seorang) atau RM700 untuk 4 orang di  www.myticket.asia.

    “NUSAFEST’’ ini dianjurkan oleh Shiraz Projects Sdn Bhd buat julung kalinya untuk memeriahkan  lagi industri muzik nusantara.

    NUSA FEST 2023 

    Tarikh: 8 dan 9 Julai 2023

    Masa: Mulai jam 12pm hingga 12am

    Venue: Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur

    Harga tiket: RM200 (2-day entry/per person)

    RM700/ 4 person (Bundle package- Pembelian RM700 untuk 4 orang)  Tiket: www.myticket.asia

    Tiket Hotline: 03 8605 0196

    Info Hotline: 012 2560082

    Instagram: @nusafest, @shirazprojects

    Tiktok: @shirazprojects

    Facebook: @nusafest @shirazprojects

    Laman Web: www.nusafest.com

    www.shirazprojects.com

     

     

  • PERLAKSANAAN PROGRAM KORBAN RAHMAH

    Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Korban RAHMAH bersama Pasaraya Econsave di Econsave Muar, Johor.

    Untuk makluman, Pasaraya Econsave melaksanakan 4 inisiatif dibawah Program RAHMAH yang terdiri daripada Jualan RAHMAH, Jualan Daging RAHMAH Sempena Hari Raya, Harga Borong RAHMAH dan hari ini Korban RAHMAH.

    Dalam menyokong inisiatif kerajaan untuk meringankan beban ekonomi dan kos sara hidup rakyat Malaysia, Econsave Cash & Carry memainkan peranannya bagi memastikan pelanggan boleh membeli barangan pada harga yang rendah.

    Sehingga kini, Pasaraya Econsave masih menawarkan kempen Jualan RAHMAH yang telah dilancarkan pada 11 Januari 2023. Sehingga kini, lebih 3000 jenis harga barangan telah diturunkan sepanjang Program Jualan RAHMAH diadakan

    Program Korban RAHMAH hari ini, pihak Econsave menyumbang 200 ekor kambing yang bernilai RM 200 ribu untuk diserahkan kepada Yayasan RAHMAH.

    KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha yang dilaksanakan oleh warga industri sektor peruncitan di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

    Di bawah Program Payung RAHMAH yang diterajui oleh KPDN, pengguna dijangka dapat berbelanja keperluan harian dengan harga yang berpatutan, disamping berpeluang untuk mendapat ganjaran istimewa yang ditawarkan oleh peniaga. Program Payung RAHMAH adalah manifestasi keperihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat.

     

  • PENYAMPAIAN LESEN JUALAN LANGSUNG DAN SIJIL KELULUSAN PENDAFTARAN FRANCAIS

    YBhg Datuk Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup hari ini telah menyempurnakan sesi Penyampaian Lesen Jualan Langsung kepada 21 syarikat jualan langsung; 46 Sijil Kelulusan Pendaftaran Francais kepada syarikat francais dan 8 Sijil Pendaftaran Konsultan yang diadakan di Dewan Serbaguna, KPDN Putrajaya

    Majlis penyampaian ini merupakan platform terbaik kepada para pemain industri untuk bersuai kenal, di samping melihat potensi, hala tuju perniagaan dengan memasarkan produk dan menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti, seterusnya bersama-sama menyumbang ke arah pengukuhan ekonomi negara melalui industri francais dan jualan langsung. Majlis ini adalah usaha berterusan Kerajaan dalam membangunkan industri jualan langsung dan francais di negara ini sejajar dengan visi KPDN untuk menjadikan Perdagangan Domestik Tunjang Ekonomi Berpendapatan Tinggi

    Pegawai dan warga KPDN yang hadir menjayakan majlis tersebut turut menyaksikan sesi ramah mesra bersama pemain industri dan taklimat penguatkuasa melalui melalui Revive Talk with Franchise and Direct Selling Industries 2023.

    YBhg. Datuk Azman juga mengingatkan agar pemegang lesen dan sijil supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang berkuatkuasa demi menggalakkan pembangunan perdagangan dalam negeri yang beretika, di samping melindungi kepentingan pengguna khususnya berkaitan dengan kos sara hidup. Dalam hal ini, KPDN akan terus menyokong daya usaha ke arah perkembangan industri francais dan jualan langsung yang lebih mampan serta berdaya saing sama ada di peringkat domestik mahupun global.

  • KEENAKAN DAN KELAINAN AYAM GORENG DARI UAE ‘CHIKING FRIED CHIKEN’ TELAH DILANCARKAN DI CAWANGAN PERTAMA DI MALAYSIA

    Telah berlangsungnya pelancaran Chiking Fried Chicken yang membuka cawangan pertama di Malaysia di outlet Bukit Bintang pada 23 Jun 2023 yang lalu.

    Jika disebut jenama makanan seperti KFC, Nandos, Texas Chicken atau McD dan Marrybrown sekali pun, sudah tentu ramai yang sudah ketahui mengenai rangkaian restoran ayam goreng terkenal itu.

    Bagaimana pula dengan ChiKing? Pernah makan tak di restoran berjenama itu?

    Barangkali bagi mereka yang sering ke luar negara khususnya ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu, nama ChiKing tentu tidak asing lagi dan jenama ini ditubuhkan pada 2000 di negara Arab itu oleh pengasasnya, A.K. Mansoor.

    Sejak penubuhan itu, jenama tersebut telah berkembang menjadi sangat popular di lebih 35 buah negara dengan lebih daripada 265 cawangan dibangunkan.

    Dengan pembukaan kedai pertama ini mereka menawarkan pelabur berpotensi untuk menjadi Francais  ChiKing,” ujar Datuk Mohd Ridzuan Abdullah selaku Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia atau ringkasnya IKHLAS merangkap Penasihat Korporat  Malabar Junction Global Resources (MJGR – syarikat pemegang francais ChiKing di Malaysia),  pada pelancaran restoran ChiKing di Jalan Bukit Bintang.

    Turut hadir Pengerusi dan pengasas ChiKing, Encik A.K MansoorEncik Ajman Mohamad, Pengarah Urusan  MJGR; Encik Mujib Rahman, Pengarah Operasi MJGR; Encik Abdul Kader Syed Mohamed,  Pengarah Pemasaran MJGR serta ahli-ahli Lembaga Pengarahnya, Encik Abdul Nasser,  Encik Mohammad Badushah dan Encik Mujib Rahman.

    Mohd Ridzuan memberitahu, permohonan untuk menjadi pelabur ChiKing dengan bantuan modal permulaan dan latihan diberikan kepada sesiapa yang berminat di mana ChiKing sasar membuka 10 cawangan di seluruh Malaysia menjelang akhir tahun ini namun tumpuan akan terlebih dahulu diberikan kepada kawasan Lembah Klang.

    Untuk cawangan yang dibuka di Bukit Bintang ini menelan pelaburan sebanyak RM600,000 namun  kos ini tidak sama kerana ia bergantung pada lokasi ChiKing itu beroperasi. Pada keseluruhannya ChiKing mensasarkan pembukaan 100 cawangan di  seluruh Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

    Kelainannya ChiKing berbanding ayam goreng yang sedia ada, Abdul Kader memberitahu, resepi yang diterapkan pada masakan diperbuat khas menggunakan herba dan rempah ratus berkualiti terbaik. Ia satu resepi ‘fusion’ yang menggabungkan rasa Arab dan Oriental sesuai dengan selera masyarakat setempat.

    Sementara itu, sebagai pengasasnya, A.K. Mansoor berharap ‘ChiKing’ mendapat tempat di hati rakyat Malaysia sejajar dengan objektifnya menjadi jenama restoran perkhidmatan pantas antarabangsa Halal (QSR) sepenuhnya yang pertama.

    Menu ChiKing menampilkan pelbagai jenis seperti ‘signature dish’ nya iaitu  Ayam Original (tidak pedas), Ayam Goreng (Pedas) dan  Ayam Bakar.

    Selain itu, disempurnakan dengan Nasi Briyani, Chicken Strips.  Mexita, Crunchy Supreme Burgers, Royal Wraps, Taco Wrap dan Chicken Bites termasuk Fries berperisa  Tandoori, Pinoy BBQ, Hot Wings, Double Crunchy, Soho Rice dan Chiking Peri-peri dihidangkan Separuh/Penuh dengan 4 Sos istimewa antaranya sos bawang putih yang memang lazat Kak Fas rasa.

    Walaupun rangkaian itu menyediakan pelbagai produk selain daripada ayam goreng, termasuk ayam panggang, ayam peri-peri, burger, bungkus, piza, pencuci mulut dan banyak lagi, Chiking memastikan pematuhan kepada pelbagai garis panduan halal setiap wilayah di mana ia beroperasi.

    Dengan pembukaan cawangan pertamanya di Malaysia, Chiking kini berada dalam peringkat pengembangan global dengan harapan lebih banyak negara dan benua dapat diterokai.

  • WONDA COFFEE DAN PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM) BERPADU TENAGA BAGI MENYEMARAKKAN SEMANGAT PERPADUAN DAN MENDORONG HARIMAU MALAYA KE PENTAS ANTARABANGSA

    Wonda Coffee Malaysia, salah satu jenama kopi sedia diminum (RTD) terkemuka di Malaysia yang menawarkan rasa seperti baru dibru dalam tin kini mengumumkan satu kerjasama yang mengujakan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk terus mengetengahkan dedikasi jenama ini terhadap sukan bola sepak serta aspirasinya dalam menyokong pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya untuk mencapai lebih banyak pencapaian yang luar biasa dalam sejarah bola sepak negara.

    Sebagai rakan jenama kopi pertama Malaysia bekerjasama bersama Harimau Malaya, kerjasama ini bermatlamat untuk memberikan sokongan yang lebih padu serta menginspirasikan rakyat Malaysia untuk terus menyokong Harimau Malaya dalam melangkah lebih jauh bagi merealisasikan impian kolektif yang sentiasa mekar untuk bertanding di Piala Dunia FIFA.

    Bukan lagi jenama yang asing buat peminat bola sepak Malaysia, Wonda aktif mempromosikan usaha berfokuskan bola sepak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Komited untuk terus mencipta sejarah menerusi sukan yang digemari rakyat Malaysia, kerjasama ini merupakan langkah penting dalam menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan peminat bola sepak Malaysia dan mendorong skuad bola sepak kebangsaan Malaysia untuk terus mengukir kejayaan di pentas antarabangsa.

    Mengumumkan kerjasama ini sebelum perlawanan persahabatan di antara Malaysia dan Kepulauan Solomon di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu di mana Malaysia meraih kemenenangan 4:1, kerjasama ini diharap untuk mempertingkatkan persediaan Harimau Malaya bertanding di Piala Asia 2023. Ini juga merupakan kali pertama Malaysia layak bertanding berdasarkan merit buat pertama kali dalam tempoh 43 tahun, berikutan kali terakhir Malaysia beraksi berdasarkan merit pada tahun 1980.

    Kerjasama yang menggabungkan budaya kecemerlangan Wonda dan usaha FAM bagi memartabatkan industri bola sepak Malaysia diharap menjadi pemangkin inspirasi buat pemain bola sepak muda serta seluruh Malaysia untuk bersatu di bawah satu minat yang sama, di samping turut menggapai mimpi dan menyokong pasukan kebangsaan dalam merealisasikan aspirasi mereka untuk bertanding di Piala Dunia FIFA.

    Ketua Pegawai Eksekutif Etika, Santharuban T. Sundram berkata “Kami percaya pada impian dan bahawa apa sahaja boleh direalisasikan. Oleh itu, kami sangat teruja untuk bekerjasama bersama FAM dengan harapan untuk mencetuskan revolusi bola sepak di Malaysia dan memberi inspirasi kepada negara untuk terus menggapai mimpi. Melalui usaha bersama FAM, kami berharap untuk menyatukan rakyat Malaysia dan mengukuhkan asas bagi membolehkan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia bersaing di peringkat antarabangsa terbesar, Piala Dunia FIFA.”

    Beliau juga berkata “Dengan kerjasama ini, Wonda Coffee berharap untuk bersama rakyat Malaysia serta semangat jitu mereka untuk bersatu menerusi minat yang sama iaitu bola sepak, terutamanya ketika menyokong pasukan kebangsaan kita. Sebagai pemain ke-12 yang menyokong pasukan kebangsaan kita di setiap langkah, kami berharap untuk terus menyemarakkan semangat skuad bola sepak negara dalam terus mengukir kejayaan dalam sejarah bola sepak negara kita.”

    Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata “FAM ingin mengalu-alukan Wonda Coffee Malaysia sebagai rakan kopi rasmi kami. Kami gembira diberi peluang untuk bekerja dengan jenama yang mempunyai matlamat dan prinsip yang sama. Kerjasama ini menandakan permulaan era baru buat bola sepak Malaysia. Dengan memupuk rasa cinta yang kuat terhadap sukan ini di kalangan rakyat Malaysia, kami berharap dapat membina ekosistem bola sepak yang kukuh. Kami berhasrat untuk memotivasikan negara untuk terus menggapai mimpi dan mencapai kejayaan melalui kerjasama ini.”

    Kerjasama ini turut merangkumi pelbagai aktiviti termasuk program penglibatan bersama peminat, sesi ramah mesra eksklusif bersama pemain pasukan kebangsaan, kempen promosi, dan inisiatif lain yang bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pasukan kebangsaan dan peminatnya yang cukup bersemangat.

    Wonda Coffee dan FAM teruja untuk memulakan perjalanan istimewa yang menyatukan penggemar kopi dan peminat bola sepak. Melalui kerjasama ini, kedua-dua jenama akan berusaha untuk mengukuhkan semangat perpaduan dan semangat yang tinggi bagi mengukuhkan ikatan antara rakyat Malaysia dan pasukan bola sepak kebangsaan mereka, sekaligus merapatkan jurang di antara mereka.

  • PAKEJ RAHMAH ITTV E-LEARNING, PAKEJ TUISYEN RAHMAH PERTAMA DI MALAYSIA

    Yang Berhormat Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup hari ini telah melancarkan “Pakej RAHMAH iTTV e-Learning” semasa Perhimpunan Bulanan dan Apresiasi Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru Tahun 2023 yang diadakan di White Hall Event Space, Johor Bahru, Johor.

    Untuk makluman, pihak iTTV Education Sdn Bhd akan melaksanakan Program Pakej RAHMAH di bawah Inisiatif Payung RAHMAH yang bertujuan untuk membantu kumpulan miskin tegar dan golongan kurang berkemampuan dalam mendepani isu kenaikan kos sara hidup. iTTV Education Sdn Bhd adalah perintis di Malaysia dalam sektor pembelajaran online atau e-Learning sejak tahun 2008.

    Seiring dengan pelancaran ini, iTTV Education Sdn Bhd berhasrat untuk memantapkan perkhidmatan pendidikan di Malaysia melalui koleksi lebih 3,000 tutorial video berdasarkan sukatan kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia untuk kegunaan murid-murid Tahun 4 hingga Tingkatan 5. Video-video tersebut sesuai digunakan sebagai bahan pembelajaran kendiri, sama ada untuk aktiviti, ulang kaji, pengayaan ataupun pengukuhan mengikut kelapangan masing[1]masing

    KPDN terus komited untuk memastikan seluruh warga Malaysia MADANI dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup (cost of living) dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini. Pada masa yang sama, KPDN sentiasa menyokong usaha baik yang dilaksanakan oleh warga industri dari pelbagai sektor di negara ini untuk menggalakkan rakyat Malaysia berbelanja dengan memberi ganjaran tambahan atau nilai tambah kepada pengguna.

    Program Payung RAHMAH adalah manifestasi keprihatinan dan konsep kasih sayang Kerajaan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan berpendapatan rendah dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang terlibat. KPDN amat berharap agar usaha seperti ini mampu menarik perhatian rakyat Malaysia, khususnya pengguna untuk mendapatkan barangan atau servis dengan harga yang murah dan berpatutan tetapi berkualiti seiring dengan produk yang ditawarkan.

     

     

     

     

     

  • MAJALAH 3 DINOBATKAN SEBAGAI ‘BEST IN NATIONAL DOCUMENTARY PROGRAM’ MENERUSI ANUGERAH PERNIAGAAN TERBAIK MALAYSIA 2023

    Majalah 3 sekali lagi berjaya merangkul pencapaian yang membanggakan dengan meraih anugerah Best In National Documentary Program di Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia 2023 pada hari Sabtu yang lepas.

    Ini merupakan pencapaian kedua diraih Majalah 3 bagi tahun 2023 setelah program dokumentari yang berusia hampir 4 dekad ini turut memenangi anugerah Dokumentari Terbaik menerusi majlis Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM), MPI Petronas baru-baru ini. Pencapaian seperti ini merupakan satu penanda aras kepada peningkatan kualiti program dan juga bukti kecemerlangan di peringkat kebangsaan serta di peringkat global.

    Menurut Christine Lee Mei Chin, Penerbit Kanan dan Ketua Produksi Majalah 3, “Program dokumentari ini telah mencapai usia hampir 40 tahun dan saya amat terharu atas pencapaian yang diperoleh. Pengiktirafan sebegini secara tidak langsung menyuntik lagi semangat pasukan saya yang telah dipertanggungjawabkan untuk menyambung legasi yang diamanahkan kepada kami. Jutaan terima kasih diucapkan kepada penonton kerana terus percaya dan setia menyokong Majalah 3. Sokongan mereka menyuntik semangat kami menerbitkan kandungan yang lebih baik dan berkualiti serta berinformasi khas untuk tontonan semua.”

    Bertemakan Faces of Excellence, Majlis Anugerah Perniagaan Terbaik Malaysia atau Malaysia Best Business Award 2023 anjuran Media Home Communication telah mengumpulkan 50 usahawan yang berjaya dalam pelbagai kategori perniagaan masing masing. Majlis yang gilang gemilang ini bertujuan untuk meraikan golongan usahawan sama ada secara individu mahupun syarikat yang berjaya meneruskan usaha masing-masing tatkala ekonomi dilanda cabaran getir tanpa menyerah kalah dan terus berjuang dalam bidang tersendiri.

    Teruskan menyokong dan menonton Majalah 3 kerana program ini akan terus memaparkan topik-topik yang segar dan menarik khusus kepada penonton setia TV3.

  • Sambutan Ulangtahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-17

    Menurut Datuk Bandar, Mohamad Azhan Md Amir, “PJ Love U” dipilih sebagai subjek untuk sambutan ulang tahun ke-17 Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya, yang akan ditandai dengan pelaksanaan 21 program sepanjang Jun.

    Beliau berkata, keraian itu akan disempurnakan dengan acara kemuncak Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandaraya Petaling Jaya ke-17 yang dijadual berlangsung di Laman MBPJ di hadapan Ibu Pejabat MBPJ di Jalan Yong Shook Lin, di sini, pada 24 Jun ini, bermula jam 8 malam. Pengisytiharaan rasmi Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya dibuat pada 20 Jun 2006.

    Jelasnya, sambutan tahun ini meliputi pelbagai program berbentuk jualan dan pameran, pertandingan dan kejohanan, sumbangan, dan perkhidmatan percuma yang dirangka Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi mendekatkan diri dengan komuniti setempat.

    “Tahun 2023 ini merupakan tahun yang ke-17 Petaling Jaya menjadi sebuah bandar raya. ‘PJ Love U’ diangkat sebagai tema, kali ini dengan mengambil kira Petaling Jaya sebagai sebuah bandar raya yang inklusif, manakala program dan aktiviti yang diatur juga melibatkan penyertaan dan memberi manfaat kepada semua peringkat komuniti.

    “Kemuncak sambutannya ialah pada 24 Jun ini, iaitu acara perasmian yang akan diserikan dengan persembahan istimewa oleh Firman dan Nabila Maharani dari Indonesia, di samping Neeta Manis, Mr 5k dan Aliff Aziz,” katanya mengenai keraian tahun ini yang turut menyaksikan Laman MBPJ, di Lorong Tengah dan sekeliling Menara MBPJ, Dataran Boulevard dan sebahagian Jalan Yong Shook Lin, Jalan Selangor dan Jalan Sultan bermandi cahaya oleh lampu hiasan pada malam.

    Mohamad Azhan berkata, buat julung kalinya juga pada malam perasmian nanti akan diadakan pertandingan bagi acara perarakan, membabitkan kategori Agensi/ Badan Kerajaan, Badan Korporat, Majlis Perwakilan Penduduk/ Persatuan dan Pusat Pengajian Tinggi (Universiti/ Kolej) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM6,500, selain sijil dan hadiah iringan.

    “Majlis awalnya mensasarkan sebanyak 16 pasukan bakal menyertai pertandingan ini dan tidak menduga ia telah menarik penyertaan 18 pasukan, setakat ini. Suka saya memaklumkan, perarakan tahun ini juga akan turut disertai Sahabat Radio Suria FM dan Sahabat Motorsikal MBPJ,” katanya. Pemenang Keseluruhan Terbaik bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat pertama diperuntukkan RM1,500, diikuti kedua dengan RM1,000 dan ketiga, RM500. Sebanyak RM500 juga menanti Pemenang Kostum Terbaik.

    Pelaksanaan program juga, menurutnya bertumpu di Taman Bandaran Kelana Jaya, The Spine, Dewan D’Kelana, selain lokasi utama di Laman MBPJ, Dataran Boulevard dan Pusat Bandar Seksyen 52. “Pemilihan lokasi ini selaras dengan hasrat Majlis menghidupkan persekitaran Pusat Bandar Seksyen 52 dan seterusnya mempergiatkan usaha mempromosi Bandar Raya Petaling Jaya sebagai Kota Seni,” jelasnya.

    Ini disusuli acara PJ Smart Ride pada esoknya, 25 Jun, yang menyaksikan selebriti popular, Baggio Damasutra bakal memberi cabaran dalam pertandingan kayuhan berbasikal sejauh 45km itu yang menawarkan pendaftaran percuma. Manakala pada malamnya, MBPJ menjemput umat Islam, khususnya warga Petaling Jaya menghadiri majlis PJ Berselawat di Laman MBPJ yang akan turut dihadiri agamawan seperti Habib Nael Ben Taher, Ustaz Basyir Azhari, Ustaz Fitri Abdullah dan Ustaz Adlu Kan Yong Sheng.

    Menjelang minggu perasmian, beberapa program seperti Larian Bandaraya PJ (10KM) dan Pertandingan Push Bike juga dijangka menarik perhatian orang ramai, selain program amal seperti Sumbangan PJ Prihatin kepada golongan miskin tegar, iaitu Program Pembasmian Kemiskinan Bandar & PJ City Food Bank.

    Sebagai simbolik hari pengisytiharaan rasmi Petaling Jaya sebagai bandar raya, pada 20 Jun ini, MBPJ memberi penawaran percuma bagi penggunaan tempat letak kereta, kolam renang, gelanggang badminton dan tenis, selain 300 pendaftaran perpustakaan dan pemberian 1,000 anak pokok. Mohamad Azhan yang menyambut ulang tahun Petaling Jaya buat kali kedua, mengimpikan bandar raya terkemuka Selangor ini akan dikenali bukan saja di Malaysia, malah luar negara.

    “Selain mengimpikan Petaling Jaya dikenali sebagai Kota Seni yang penuh dengan aktiviti kebudayaan dan pelancongan, saya berharap MBPJ menjadi Pihak Berkuasa Tempatan yang memberi perkhidmatan terbaik kepadapenduduk Petaling Jaya dan menjadi contoh atau model kepada agensi kerajaan, mahu pun swasta.

    “Kenalilah Petaling Jaya ini sebagai satu bandar raya yang maju dan sejahtera, selaras pelan strategik PJSSR 2023, ‘PJ Smart, Sustainable and Resilience 2030,” katanya, seraya mengalu-alukan kehadiran pengunjung dalam dan luar negara, selain penduduk dan komuniti Petaling Jaya.

  • SINGLE ‘SALAH HATI’ ‘KUCAIMARS’

    Penyanyi muda berbakat bersuara lunak, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan, Kucaimars kini beralih arah di bawah naungan syarikat rakaman paling sensasi, Armani Entertainment Group (AEG) dengan kemunculan single terbaharu berjudul ‘SALAH HATI’ hasil ciptaan komposer terkenal dari Indonesia David dan Dewangga, dan diterbitkan oleh AEG. Perjalanan seni yang bermula sekitar tahun 2018 dengan menyanyikan lagu-lagu cover mula mendapat perhatian sehingga melayakkan dirinya menjadi salah satu finalis Big Stage 2019 dan berjaya sehingga ke peringkat separuh akhir.

    “Syukur Alhamdulillah kini saya menjadi telah pun menjadi sebahagian dari keluarga besar AEG yang nampak dengan bakat yang saya miliki dan diberi peluang untuk menghasilkan single terbaharu ini,” jelas pemilik nama sebenar Amirul Husyairi Nani, 25 tahun.

    Hampir setahun Kucaimars tidak muncul dengan mana-mana single kerana berehat seketika dan sibuk menguruskan perniagaan yang dijalankan keluarganya.

    “Saya gembira dengan this new adventure bersama AEG dan tidak sabar untuk menghasilkan lebih banyak lagi karya-karya bermutu pada masa akan datang.

    “Sebagai permulaan, SALAH HATI adalah buah tangan pertama saya bersama AEG yang merupakan idea mereka sepenuhnya. Pihak pengurusan faham akan citarasa saya yang gemarkan lagu-lagu ‘galau’ dari Indonesia.

    “SALAH HATI menceritakan tentang kisah cinta di antara sepasang kekasih yang mencintai orang lain, walaupun teman lelakinya memberikan segalanya, teman wanitanya tegar mengasihi jejaka lain, ternyata SALAH HATI dan akhirnya kecewa.

    Lagu dalam genre pop yang berdurasi 3:41 minit ini ternyata ‘galau’ atau dalam bahasa Melayunya bermaksud ‘sendu’ yang lebih mengusik jiwa-jiwa lara nan terluka kerana silap mencintai seseorang yang telah berubah hati, walaupun ringkas, namun tetap menjentik hati dengan melodinya yang melankolik.

    Tambah Kuzaimars lagi, “Saya mengambil masa selama 2 bulan untuk menyiapkan single ini kerana mahukan sebuah karya yang betul-betul bermutu dan sedap didengar oleh semua.

    “Penggambaran video muziknya (MV) tidak mengambil masa yang lama dan dijalankan di pesisir pantai menggambarkan perasaan yang ‘galau’, konsepnya simple dan mudah difahami oleh penonton.

    “Saya berharap agar pendengar Malaysia atau luar boleh menerima genre ‘galau’ versi moden yang saya bawakan dan jangan lupa teruskan menyokong kerjaya saya sampai bila-bila.

    Menurut Dato’ KK Chua, Pengasas & Ketua Pegawai AEG, “Kucaimars merupakan penyanyi pelapis negara yang berbakat dan harus diberi perhatian, di AEG kami membuka peluang kepada mereka yang mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam industri muzik tempatan.

    “Semoga journey Kucaimars bersama-sama AEG akan membuahkan hasil pada masa-masa akan datang.

    Lagu SALAH HATI boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian utama seperti Apple Music, Spotify, YouTube  Music, KKBox dan Deezer.

    Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran istimewa YouTube Armani Entertainment.