Astro sekali lagi mengejutkan industri nyanyian dengan program realiti baharu yang menjadi kegemaran ramai, ‘The Chosen One 2024’. Musim keduanya akan memulakan siaran pada 20 September ini, setiap Jumaat pada pukul 9 malam di Astro Ceria (saluran 611), dan secara serentak di Astro Ria (saluran 104).
Kejayaan musim pertamanya mencipta fenomena besar dengan lebih 3.5 juta penonton di televisyen. Juara musim lalu, Amir Sisi, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dari perkampungan orang asli di Gerik, Perak, menjadi tular dengan lebih 235 juta tontonan di TikTok. Suaranya yang memukau telah mendapat pujian termasuk daripada Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia. Kini, Amir merupakan bakat eksklusif Rocketfuel dan telah melancarkan single pertamanya berjudul Ayah Ibu.
Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Naib Presiden Strategi Kandungan GenNext, menyatakan, “Selepas mendapat sambutan luar biasa pada musim pertama, kami mempersembahkan musim kedua yang lebih hebat dan kompetitif. Kami sedar terdapat ramai kanak-kanak berbakat dalam nyanyian, dan kami mahu memberi mereka pentas untuk bersinar. Juara musim pertama, Amir Sisi, telah menunjukkan bahawa latar belakang tidak menghalang seseorang untuk mencapai kejayaan, dan kami berharap mesej ini dapat diterima seluruh Malaysia melalui program ini.”
Sejajar dengan matlamat Astro, program ini bertujuan memperkenalkan bakat baharu yang berpotensi untuk memajukan industri hiburan Malaysia. Musim kedua masih menggunakan format yang sama, dengan menggandingkan kanak-kanak berbakat bersama penyanyi popular yang akan bertindak sebagai coach mereka.
Seramai 16 peserta berusia antara 11 hingga 17 tahun dari seluruh Malaysia telah terpilih melalui uji bakat untuk bersaing dalam ‘The Chosen One 2024’. Mereka terdiri daripada juara pertandingan nyanyian kebangsaan, bakat yang tular di media sosial, serta wajah-wajah baharu tanpa pengalaman bertanding sebelum ini. Lapan daripada mereka yang paling menonjol akan digandingkan dengan selebriti sebagai pasangan dan bersaing merebut gelaran juara.
Musim kedua ini menampilkan Dato’ Awie sebagai juri tetap bersama dengan Jaclyn Victor yang terkenal dengan suara emas dan pencapaian anugerahnya. Setiap episod akan dipimpin oleh gandingan hos baharu, Jihan Muse, seorang pelawak dan pelakon terkenal, bersama Haziq Hussni, personaliti radio ERA.
Program ini juga akan menampilkan penyanyi-penyanyi terkenal Malaysia sebagai coach dan pasangan peserta, termasuk Tomok, Aepul Roza, Amir Jahari, Sufian Suhaimi, Suki Low, Adira Suhaimi, Wany Hasrita, dan kembar Firdaus Rahmat & Fahimi Rahmat.
‘The Chosen One 2024’ juga boleh distrim melalui On Demand di Astro Ultra/Ulti Box, serta aplikasi Astro GO dan sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel. Dapatkan Pek Astro sekarang dengan diskaun 30%* dan pemasangan percuma, bermula dari RM41.99/sebulan. Nikmati hiburan terbaik bersama keluarga dengan #AstroBaharu – hiburan kini lebih menarik. Layari astro.com.my untuk maklumat lanjut.