Advancecon Umum Pelantikan Alicia Chin Mei Yoke Sebagai Ketua Pegawai Kewangan Baharu
Advancecon Holdings Berhad (“Advancecon” atau “Kumpulan”) (Bursa: 5281), syarikat terkemuka dalam kerja tanah dan perkhidmatan kejuruteraan awam di Malaysia, hari ini mengumumkan pelantikan Alicia Chin Mei Yoke sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) yang baharu, berkuat kuasa serta-merta. Pelantikan ini menyusuli peletakan jawatan Tan Chee Keong, yang berundur bagi mengejar peluang profesional yang lain. Lembaga Pengarah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan cemerlang beliau kepada Kumpulan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Alicia hadir dengan lebih 25 tahun pengalaman dalam kepimpinan kewangan, khususnya dalam industri minyak dan gas bertaraf global. Beliau pernah memegang jawatan penting di seluruh rantau Asia Pasifik bersama syarikat multinasional terkemuka seperti General Electric dan Baker Hughes. Terkini, beliau berkhidmat sebagai Penolong Pengawal & Peneraju Transformasi dalam Organisasi Kewangan Global Baker Hughes, bertanggungjawab ke atas operasi kewangan merentas dua hab utama serta pelaksanaan inisiatif transformasi melibatkan lebih 600 kakitangan.
Kepakaran strategik beliau terbukti berkesan dalam meningkatkan kecekapan operasi, memaksimumkan keuntungan dan memperkukuh daya saing organisasi. Sepanjang kerjayanya di Baker Hughes dan GE Oil & Gas, Alicia telah mengetuai perancangan kewangan berskala besar serta pengurusan aliran tunai untuk perniagaan dengan hasil melebihi AS$1 bilion, selain membina pasukan kewangan yang mantap dan berprestasi tinggi. Kepakarannya akan memberi nilai tambah dalam menyokong strategi pertumbuhan jangka panjang Advancecon.
Dato’ Phum Ang Kia, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon Holdings Berhad berkata, “Kami amat berbesar hati menyambut penyertaan Alicia ke dalam keluarga Advancecon. Pengalaman luas beliau dalam kepimpinan kewangan global dan minat mendalam dalam membina pasukan berdaya saing sangat bersesuaian dengan aspirasi kami. Kami yakin peranan Alicia akan mengukuhkan keupayaan kewangan Kumpulan, memacu transformasi yang dipacu data serta menambah nilai jangka panjang kepada semua pemegang kepentingan.”
Alicia Chin Mei Yoke turut meluahkan keterujaannya menyertai Advancecon, “Saya berasa amat terhormat diberi peluang menyertai Advancecon pada fasa yang sangat strategik ini. Kumpulan mempunyai asas perniagaan yang kukuh dan visi yang jelas dalam sektor infrastruktur serta tenaga boleh diperbaharui. Saya bertekad untuk bekerjasama rapat dengan barisan kepimpinan dalam memperkukuh disiplin kewangan, meningkatkan tahap tadbir urus dan menyokong pelaksanaan agenda transformasi yang mampan.”
Pelantikan ini hadir pada waktu penting bagi Advancecon, yang sedang giat memperluaskan operasi dalam sektor infrastruktur, memperkukuh portfolio tenaga boleh diperbaharui dan meningkatkan amalan tadbir urus serta pelaporan kewangan bagi memenuhi ekspektasi pihak berkepentingan yang semakin tinggi.