Abu Si Raksasa Tampil Kelainan Dalam Industri Filem Tempatan

Industri perfileman tempatan sekali lagi melakar sejarah apabila filem sains fiksyen berjudul Abu Si Raksasa terbitan M Toons Media Sdn. Bhd. mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula hari ini. Filem ini dianggap istimewa kerana ia merupakan karya bergenre kaiju pertama dihasilkan di Malaysia, mengangkat kisah seekor cicak salamander bernama Abu yang bertukar menjadi raksasa akibat pencemaran bahan kimia.

Penerbitnya, Zamin Fakry menjelaskan idea menghasilkan filem ini tercetus selepas perbincangan bersama Profesor Dr Hezri Adnan, seorang ahli akademik alam sekitar. Perbincangan tersebut memberi inspirasi kepada produksi untuk menampilkan sebuah naskhah sains fiksyen yang sarat dengan mesej kesedaran tentang alam sekitar. Menurutnya, Abu Si Raksasa tampil berbeza daripada kebiasaan industri yang lebih banyak menghasilkan filem bergenre seram, aksi dan komedi.

Kisahnya bermula dengan Zaara, lakonan Sophia Al Barakbah, yang memelihara seekor cicak salamander bernama Abu. Namun, haiwan itu terlepas ke sebuah empangan yang tercemar dengan bahan kimia daripada pencuci jamban berjenama ROXCCID, sehingga menyebabkan Abu mengalami mutasi dan membesar menjadi raksasa. Situasi itu memaksa Zaara bersama dua rakannya, Sofiyan lakonan Jaa Suzuran dan Zidan lakonan Zalif Sidek, untuk bergabung tenaga menyelamatkan Abu daripada ancaman pihak berkuasa. Antara yang mengetuai operasi memburu raksasa tersebut ialah Kolonel Zamrose dan Kapten Fayyad.

Pengarah filem ini, Ramdan Che Hassan yang turut menulis skrip, menjelaskan cicak salamander dipilih sebagai tunjang penceritaan kerana sifat uniknya sebagai haiwan amfibia yang hidup di dua alam. Tambahnya, terdapat laporan saintifik yang menyatakan salamander mampu membesar sehingga saiz yang cukup besar. Pilihan ini juga dibuat kerana salamander bukan haiwan ganas, sebaliknya sesuai dijadikan haiwan peliharaan, sekali gus menepati naratif filem yang menampilkan Abu sebagai makhluk jinak namun salah faham manusia menjadikannya sasaran.

Dari sudut teknikal, Abu Si Raksasa turut berdepan cabaran tersendiri kerana memerlukan hampir 40 peratus penggunaan teknologi CGI. Dengan kos produksi sekitar RM2 juta termasuk perbelanjaan kesan khas, pihak produksi mengakui bajet tersebut agak terhad. Namun usaha keras tenaga produksi dan sokongan dana daripada Kementerian Komunikasi serta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membantu merealisasikan projek ini.

Barisan pelakon yang terlibat turut memberi warna pada penceritaan termasuk Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman, Maria Farida, Adam Shahz, Samarinna Tolhip, Farid Amirul Hisham, Azri Iskandar, Along Eyzendy serta penampilan khas Dato Rizal Mansor, Ayahanda Rani Kulop, Mustaqim Bahadon dan Kamarool Hj Yusof.

Menurut Zamin, keunikan jalan cerita yang disesuaikan dengan masyarakat tempatan menjadikan filem ini menarik untuk ditonton. Ia bukan sahaja membawa elemen hiburan, malah turut menyelitkan mesej tentang kesan pencemaran alam sekitar yang mampu menjejaskan ekosistem.

Dengan gabungan teknologi visual, lakonan mantap serta sentuhan sinematik yang jarang diketengahkan dalam industri filem Malaysia, Abu Si Raksasa dijangka mencuri perhatian peminat dan menjadi permulaan kepada lebih banyak karya bergenre sains fiksyen pada masa hadapan.