Peminat muzik tanah air khususnya di selatan tanah air bakal disajikan dengan sebuah konsert berprestij apabila penganjur acara terkemuka, Icon Entertainment mengumumkan penganjuran “Konsert Sengat Selatan Spider”. Konsert yang meraikan perjalanan lebih tiga dekad kugiran Spider itu bakal menggegarkan EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor pada 30 Januari 2027, pada jam 8.30 malam.

Menurut Pengasas Icon Entertainment Iman Tang, pemilihan Johor Bahru sebagai lokasi konsert adalah sangat bertepatan dengan konsep kepulangan semula ke akar umbi. Sejak memulakan langkah pada tahun 1996 dan menerima bimbingan daripada sifu muzik, Datuk M. Nasir menerusi Luncai Emas, Spider berjaya membentuk identiti muzik tersendiri sehingga merangkul pelbagai pengiktirafan besar termasuk Juara Lagu 2004 dan Album Terbaik AIM ke-12.

Konsert ini bukan sekadar mengimbau nostalgia semata-mata, tetapi menjadi ruang penghargaan tertinggi buat peminat setia yang menyokong perjalanan seni Tam, Iss, Pown dan Aie selama tiga dekad. Penonton bakal dihiburkan dengan deretan lagu popular yang masih menjadi siulan ramai sehingga kini seperti Aladin, Kacap Terlabik, Nazraku, Kasih Latifah, Relaku Pujuk serta Cinta Dewa Dewi. Gabungan irama ska, pop rock serta lirik penuh makna karya Allahyarham Loloq pastinya mencetuskan atmosfera luar biasa di EduCity Sports Complex kelak.

Bagi memudahkan peminat memilih kedudukan terbaik, pihak penganjur memperkenalkan kategori tiket unik yang dinamakan sempena daerah-daerah di negeri Johor. Harga tiket bermula serendah RM88 bagi kategori Pontian, diikuti RM128 (Mersing), RM168 (Pasir Gudang), RM188 (Batu Pahat), RM258 (Kota Tinggi) dan RM288 (Muar). Turut ditawarkan adalah kategori premium Johor Bahru pada harga RM888 yang merangkumi kemudahan sofa couple seat untuk dua penonton.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi laman rasmi www.ticket2u.com.my/sengatspider bermula Khamis, 26 November 2026 tepat jam 3 petang. Peminat dinasihatkan membuat pembelian awal bagi mengelakkan kekecewaan memandangkan sambutan hangat dijangka daripada peminat seluruh Malaysia dan Singapura.










