Selain menampilkan kelainan dari sudut susunan muzik yang lebih santai, pelancaran single terbaharu Haiza berjudul Pencuri turut mencuri tumpuan ramai menerusi jalan cerita muzik videonya yang unik. Meneruskan kesinambungan naratif daripada karya terdahulunya, Haiza sekali lagi mengekalkan pelakon dan pelawak terkenal, Ropie sebagai watak utama atau hero dalam muzik video kali ini.
Mengulas mengenai pemilihan Ropie, Haiza menyifatkan pelakon berpengalaman itu sebagai rakan gandingan yang paling serasi memandangkan mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain. Tambahnya lagi, sikap profesional Ropie yang sentiasa komited, mudah bekerjasama dan sangat menepati masa sepanjang sesi penggambaran berlangsung membuatkan proses penghasilan muzik video tersebut berjalan dengan sangat lancar dan menyeronokkan.

Lebih menarik, muzik video Pencuri sebenarnya berfungsi sebagai prekuel yang membawa penonton kembali menelusuri garis masa awal perkenalan watak mereka berdua, iaitu sebelum berlakunya kejadian yang pernah dipaparkan dalam muzik video Young & Gentleman sebelum ini. Menurut penyampai radio Kool FM itu, muzik video kali ini mengangkat konsep ‘Siapa Dia Sebelum Dia’, di mana ia menjadi episod pertama yang merungkai bagaimana detik permulaan kisah cinta antara kedua-dua watak tersebut tercetus.
Jalan cerita visual tersebut selari dengan lirik lagu Pencuri yang mengisahkan tentang debaran seorang wanita yang jatuh cinta pandang pertama sehingga perasaannya menjadi tidak keruan apabila hatinya berjaya dicuri. Melalui naskhah ini, Haiza berharap agar karya yang sudah hampir sembilan tahun dinantikannya untuk menemui peminat ini dapat diterima baik serta menghiburkan pendengar daripada pelbagai lapisan usia. Muzik video rasmi Pencuri yang mula ditayangkan pada 20 November, jam 3 petang kini boleh ditonton sepenuhnya menerusi saluran YouTube Indigital Music di pautan https://youtu.be/iz7WhS2q74g.











