MalaysianUpdates

Stay in the Loop with the Latest Local News: Discover Today's Must-Know Stories and Updates from Your Community!

Skala lebih besar dan mega, Sembilu 2.0 The Last Reunion temui peminat di Stadium Merdeka 16 Januari 2027

Peminat filem dan lagu-lagu era 90-an bakal disajikan dengan sebuah pengalaman hiburan luar biasa menerusi penganjuran Sembilu 2.0 The Last Reunion Live in Concert pada 16 Januari 2027 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Membawa tema The Last Reunion, konsert anjuran TJTM Entertainment ini menjanjikan sebuah pertemuan terakhir yang penuh emosi bagi meraikan legasi seni Dato’ Awie dan Erra Fazira yang pernah mencipta fenomena luar biasa melalui naskhah Sembilu.

Keputusan membawa konsert ini ke lokasi ikonik Stadium Merdeka dibuat selepas edisi sulungnya pada Februari 2026 menerima sambutan hangat di luar jangkaan. Justeru, edisi kedua ini direka dengan skala produksi yang jauh lebih besar, konsep persembahan segar serta susunan muzik baharu bagi memastikan setiap penonton merasai kehangatan nostalgia romantis, persahabatan dan drama yang pernah menambat hati jutaan rakyat Malaysia. Elemen kejutan turut disuntik apabila identiti barisan artis terlibat dirahsiakan sementara waktu sebelum pengumuman rasmi dibuat kelak.

Di bawah teraju pengasasnya, pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail, TJTM Entertainment terus membuktikan kredibilitinya dalam industri penganjuran konsert tempatan selepas kejayaan penganjuran Sembilu dan 40 Dekad Fauziah Latiff di KLCC sebelum ini. Pengalaman luas pasukan produksi tersebut memberi jaminan bahawa Sembilu 2.0 bakal menjadi antara konsert pembuka tirai tahun 2027 yang paling berprestij di ibu negara.

Peminat yang tidak mahu terlepas peluang menyertai malam bersejarah pada jam 8.30 malam itu boleh mula mendapatkan tiket bermula 27 November 2026 (Jumaat), tepat jam 12.00 tengah hari melalui www.ilassotickets.com/sembilu2. Harga tiket ditawarkan mengikut kategori eksklusif seperti Halaman Asmara (RM1,399), Senja Nan Merah (RM1,019), Di Ambang Wati (RM659), Setiaku Di Sini (RM409), Di Penjara Janji (RM359), Cinta Abadi (RM329) serta Pasrah (RM309).