Penantian peminat setia kumpulan Insomniacks akhirnya berbaloi apabila mereka bakal melahirkan album sulung menerusi album bertajuk KAMI INSOMNIACKS pada 30 Oktober 2026. Selepas hampir sedekad mewarnai industri seni suara tanah air, album yang memuatkan 12 lagu ini disifatkan sebagai pencapaian paling membanggakan buat kumpulan berkenaan.
Menurut anggota Insomniacks, album ini merangkumkan pelbagai fasa kehidupan, suka duka perjalanan seni serta pengalaman peribadi mereka. Lebih istimewa, album ini turut mendapat kerjasama penggiat seni ternama tanah air termasuk Irfan Haris dan Hael Husaini, sekaligus memberikan dimensi bunyi yang lebih segar buat peminat.
Sebagai tanda penghargaan kepada sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat, Insomniacks telah menjelajah ke beberapa lokasi termasuk George Town dan Skudai menerusi siri jelajah pra-album. Sambutan luar biasa di setiap lokasi dengan kehadiran ratusan penonton membuktikan karya baharu mereka diterima baik biarpun belum dilancarkan secara rasmi ketika itu.
Kemuncak siri jelajah ini bakal dilabuhkan di ODEON KL pada 31 Oktober 2026. Showcase istimewa ini akan mempersembahkan 14 lagu termasuk kesemua runut daripada album sulung tersebut di hadapan kira-kira 1,500 peminat.



Peminat juga diingatkan agar tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan rasmi eksklusif seperti beg “messenger,” ““iron-on patch”’ dan baju yang dijual di tapak acara. Dengan sokongan penaja utama OPPO serta rakan strategik lain, malam kemuncak di ODEON KL dijangka menjadi sejarah manis buat Insomniacks dan peminat mereka.












