Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan cadangan pertukaran juruaudit luarnya, Kreston John & Gan, sebagai sebahagian daripada pengaturan tadbir urus korporat dan pelaporan kewangan syarikat yang sedang dilaksanakan.
Syarikat yang terlibat dalam sektor pembinaan serta perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu memaklumkan bahawa hasrat berkenaan telah disampaikan secara rasmi kepada Kreston John & Gan menerusi surat bertarikh 7 Oktober 2026.
Sehubungan itu, SCIB telah mencalonkan Morison LC PLT sebagai juruaudit luar baharu yang dicadangkan, tertakluk kepada penyempurnaan prosedur berkaitan serta pematuhan terhadap keperluan berkanun dan kawal selia yang ditetapkan.
Menurut SCIB, cadangan pertukaran juruaudit berkenaan dijangka tidak memberikan sebarang kesan terhadap operasi perniagaan atau pelaksanaan projek sedia ada syarikat.
Aktiviti pembinaan, EPCC dan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) kumpulan di Sarawak serta Sabah akan diteruskan seperti yang dirancang, selaras dengan komitmen syarikat terhadap pelaksanaan projek dan pematuhan kewajipan pelaporan kewangan.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif SCIB, Michael Tan Thian Zhi, merakamkan penghargaan kepada Kreston John & Gan atas perkhidmatan serta sumbangan profesional yang telah diberikan kepada syarikat.

Beliau berkata, keutamaan SCIB sepanjang proses peralihan itu adalah untuk memastikan kesinambungan pelaporan kewangan di samping mengekalkan piawaian tadbir urus dan ketelusan yang sewajarnya bagi sebuah syarikat tersenarai di Pasaran Utama.
Menurutnya, operasi kumpulan akan terus memberikan tumpuan kepada penyempurnaan projek sedia ada serta memenuhi komitmen terhadap pelanggan, rakan perniagaan dan pemegang saham.
Michael turut menjelaskan bahawa SCIB berhasrat bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan bagi memastikan proses pertukaran juruaudit dapat dilaksanakan dengan lancar.
Pada masa sama, kumpulan akan terus memberikan perhatian kepada pelaksanaan buku pesanan projek, peningkatan kecekapan operasi dan usaha memperkukuh pencapaian yang direkodkan di Sabah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Dalam perkembangan berkaitan, SCIB terus memperluas portfolio pembinaan dan pembangunan hartanahnya di Sabah menerusi beberapa projek yang diperoleh sepanjang tahun ini.
Sejak April 2026, kumpulan telah memperoleh empat projek di negeri berkenaan dengan nilai keseluruhan kira-kira RM90.28 juta.
Projek tersebut merangkumi kerja pembinaan dan pembangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan Balaban Jaya, Beluran, Universiti Malaysia Sabah, Sekolah Kebangsaan Kaingaran, Tambunan serta pembinaan blok asrama pelajar di Institut Pendidikan Guru Kampus Keningau.
Selain projek pembinaan, SCIB turut mengembangkan penglibatannya dalam sektor pembangunan hartanah melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Ecobuild Sdn Bhd.
Pada 19 Ogos 2026, anak syarikat itu telah memeterai perjanjian pembangunan bersama bagi cadangan projek kediaman bertingkat tinggi yang melibatkan 144 unit di Penampang, Sabah.
Pembangunan berkenaan mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar sekitar RM83.19 juta dan merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan untuk memperluas peluang perniagaan dalam sektor hartanah.
Pada September 2026 pula, SCIB mengumumkan cadangan pemerolehan tanah di Kolombong, Kota Kinabalu, pada harga RM15.20 juta.
Hartanah yang dicadangkan untuk diperoleh itu merangkumi enam lot kedai dua tingkat sedia ada yang sedang disewakan serta dua petak tanah yang belum dibangunkan.
Pemerolehan tersebut dijangka membuka peluang kepada kumpulan untuk menjana pendapatan sewa berulang, meneroka potensi pembangunan pada masa hadapan dan merealisasikan perancangan penubuhan pejabat cawangan SCIB di Sabah.
Melangkah ke hadapan, SCIB akan terus memberikan tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan kos yang berkesan serta amalan pembiayaan berhemat.
Pendekatan berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi kumpulan untuk memperkukuh buku pesanan projek, meningkatkan kecekapan operasi dan membina kehadiran perniagaan jangka panjang yang mampan di Malaysia Timur.











