
SHAH ALAM – Perjalanan mengasuh dan membesarkan anak dengan palsi serebrum (CP) merupakan satu komitmen sepanjang hayat yang memerlukan sokongan mental, fizikal dan kewangan yang berpanjangan. Mesej mendalam ini ditegaskan sempena Cerebral Palsy Symposium 2026 di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam, yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, bersempena sambutan ulang tahun ke-10 Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS).
Pengerusi simposium merangkap Presiden GAPS, Puan Rafidah @ Rafizah Ahmad, menegaskan bahawa tiada keluarga yang sepatutnya dibiarkan mengharungi liku-liku kehidupan ini secara bersendirian atau tercicir akibat kekangan birokrasi dan jurang perkhidmatan. Menurut beliau, matlamat utama komuniti adalah memastikan anak-anak dan orang dewasa dengan palsi serebrum diberikan peluang untuk belajar, berkembang dan menjalani kehidupan dengan maruah yang terpelihara, disokong oleh ekosistem penjagaan di luar hospital yang mesra keluarga.
Antara inisiatif menyentuh hati sepanjang program ialah pengenalan sesi interaktif ‘CP Living Library’ berkonsepkan “Borrow a Story. Discover a Life.” Sesi ini membolehkan 150 hadirin mendengar perkongsian jujur daripada penjaga, ibu bapa, dan individu dewasa dengan CP mengenai realiti sebenar cabaran penjagaan harian. Simposium ini berjaya menggembleng suara komuniti agar jaringan kebajikan sosial diperluas, membekalkan sistem sokongan psikososial yang mantap untuk para penjaga, serta mengiktiraf peranan penting ibu bapa sebagai tonggak utama kesejahteraan pesakit palsi serebrum.






