
Tatkala kebanyakan pembikin filem moden memilih jalan pintas menggunakan teknologi Computer-Generated Imagery (CGI) untuk babak aksi berskala besar, produksi filem thriller aksi tempatan yang dinanti-nantikan, CHELOT, mengambil langkah berani dengan mempertaruhkan kesan letupan serta aksi sebenar (practical effects). Menerusi pendedahan terkini di media sosial, pihak produksi mengesahkan visual letupan yang dipaparkan dalam bahan promosi filem berkenaan bukanlah hasil manipulasi digital, sebaliknya dilakukan secara fizikal melalui perancangan rapi dan kawalan keselamatan yang ketat. Pendekatan realistik yang menyamai amalan pembikin filem bertaraf antarabangsa ini diambil khusus bagi menyuntik impak visual autentik sekali gus menghidangkan debaran maksima buat penonton di layar perak.
Bagi merealisasikan skala aksi yang ekstrem dan meyakinkan, penggambaran naskhah ini dijalankan di pelbagai latar lokasi unik seperti Makmal MARDI Semenyih, Kompleks Beli-Belah Campbell, dan Kampung Bukit Manchong, Rawang. Lebih istimewa, produksi turut mendapat bimbingan serta sokongan penuh daripada Unit Tindak Khas (UTK) bagi memastikan setiap koordinasi taktikal dan pergerakan fizikal mematuhi piawaian keselamatan tertinggi. Cabaran penggambaran terbukti bukan mudah apabila salah satu babak aksi berisiko tinggi yang menggabungkan koreografi fizikal dan letupan sebenar dirakam secara satu ambilan (one-take). Dedikasi luar biasa ini dilaporkan menuntut pengorbanan tenaga sehingga beberapa kru dan pelakon mengalami kecederaan ringan demi memastikan babak berkenaan tampil sempurna tanpa kompromi.
Diarahkan oleh sutradara berkaliber tinggi, Adrian Teh, dengan Primeworks Studios bertindak sebagai Rakan Pemasaran, CHELOT membariskan gabungan bintang handalan tanah air seperti Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Shukri Yahaya, Nadhir Nasar, Alicia Amin, Azhan Rani, dan Theeban G. Naskhah sarat adrenalin ini mengangkat kisah mengenai keberanian, pengorbanan, dan pertarungan sengit antara prinsip keadilan menentang dunia jenayah yang penuh muslihat. Bakal menggegar pawagam seluruh negara bermula 27 Ogos 2026, para peminat boleh mengikuti perkembangan terkini serta bahan eksklusif menerusi platform media sosial rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X, dan YouTube.