Selepas empat dekad menjadi pentas penghargaan karya terbaik negara, Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) terus melakar sejarah dengan memperkenalkan pelbagai pembaharuan sempena sambutan ulang tahunnya yang ke-40. Menerusi majlis AJL40: Pandangan Pertama (The First Look), TV3 mengumumkan pelbagai inisiatif serta pengisian istimewa yang bakal mewarnai penganjuran edisi bersejarah ini, termasuk pelantikan komposer dan penerbit muzik terkenal, Aubrey Suwito, sebagai Pengarah Muzik AJL40.
Bertemakan “Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia” dengan mesej “Love Your Legacy, Elevate Your Future”, AJL40 membawa aspirasi untuk meraikan perjalanan panjang industri muzik tempatan sambil membuka ruang kepada generasi baharu meneruskan legasi tersebut. Tema ini mencerminkan komitmen AJL dalam menghargai karya-karya terdahulu serta menjadi pemangkin kepada masa depan muzik Malaysia.
Sejak diperkenalkan, Anugerah Juara Lagu telah berkembang daripada sebuah pertandingan nyanyian kepada sebuah produksi muzik berskala besar yang menjadi penanda aras persembahan pentas di Malaysia. Lebih daripada sekadar pertandingan, AJL menjadi platform yang mengangkat kreativiti komposer, penulis lirik dan penyanyi, di samping memperkukuhkan ekosistem industri muzik dengan menghimpunkan pelbagai generasi penggiat seni.
Bagi merealisasikan visi kreatif AJL40, Aubrey Suwito diberi kepercayaan untuk menerajui aspek pengarahan muzik. Selari dengan tema sambutan ulang tahun ke-40, beliau bakal membawa pendekatan yang menggabungkan elemen legasi dan inovasi menerusi susunan muzik yang lebih segar, kontemporari serta bertaraf antarabangsa.

Majlis AJL40: Pandangan Pertama turut menyaksikan pengumuman penerima Anugerah Ikon AJL40 yang diberikan kepada Faizal Tahir dan Hael Husaini sebagai penghargaan terhadap sumbangan besar mereka dalam pembangunan industri muzik Malaysia. Pengiktirafan istimewa yang dibawakan semula sempena ulang tahun ke-40 ini bertujuan menghargai individu yang banyak menyumbang melalui penciptaan karya, pembangunan bakat dan pengukuhan ekosistem muzik tempatan.
Faizal Tahir menerima pengiktirafan atas peranannya sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit muzik dan mentor yang berjaya melahirkan ramai bakat baharu dalam industri. Sementara itu, Hael Husaini diiktiraf atas kecemerlangannya menghasilkan karya-karya berkualiti tinggi secara konsisten, bukan sahaja untuk dirinya sendiri malah untuk pelbagai artis tempatan.
AJL40 turut mengekalkan gandingan Naz Rahman dan Sissy Imann sebagai hos utama selepas menerima sambutan positif daripada penonton pada edisi lalu. Fizi Ali dan Fiza Frizzy pula akan mengendalikan liputan karpet merah serta belakang pentas, sekali gus membawa penonton lebih dekat dengan suasana dan momen eksklusif sepanjang acara berlangsung.
Majlis tersebut turut diserikan dengan tayangan tiga video khas yang menampilkan perkongsian daripada pemuzik tersohor Datuk Acis, Aubrey Suwito dan Biduanita Negara Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Ketiga-tiga tokoh muzik ini berkongsi pandangan mengenai peranan AJL dalam memartabatkan karya tempatan, membentuk landskap industri muzik negara serta melahirkan generasi baharu pengkarya.
Sempena sambutan ulang tahun ke-40, AJL40 turut memperkenalkan Muzik Lab buat julung kalinya yang akan berlangsung pada 11 Julai 2026 di McDonald’s Pantai Sentral Park. Dibawakan oleh McDonald’s Malaysia bersama Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia), hab kreatif ini akan menghimpunkan sesi perkongsian bersama penggiat industri, persembahan artis, sesi bertemu peminat bersama Mekdi Superfans serta pelbagai aktiviti interaktif bagi mendekatkan masyarakat dengan dunia muzik tempatan.
Bagi terus memeriahkan musim AJL40, siri jelajah Meet & Greet Yang Ke-40 turut dianjurkan bagi memberi peluang kepada peminat bertemu barisan finalis secara lebih dekat di beberapa cawangan McDonald’s terpilih. Jelajah ini akan bermula di Ipoh pada 12 Julai 2026 sebelum diteruskan ke Kuantan pada 18 Julai, Johor Bahru pada 25 Julai dan berakhir di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2026.
Majlis AJL40: Pandangan Pertama dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Mariam OIAM bersama Rio Jazz Band menerusi medley 10 lagu finalis AJL40. Persembahan diteruskan dengan medley lagu-lagu Vokal Terbaik oleh Hafiz Suip yang membawakan Noktah Cinta, Awan Nano, Ku Akui, Bahagiamu Deritaku dan Kisah Cinta Kita, sebelum majlis ditutup dengan persembahan Ning Baizura menerusi lagu Curiga dan Awan Yang Terpilu.
AJL40 dibawakan oleh McDonald’s Malaysia dengan Ronald McDonald House Charities (RMHC) sebagai badan kebajikan pilihan. Shopee tampil sebagai Rakan E-Dagang, Grab sebagai Rakan E-Hailing Rasmi dan Volvo sebagai Rakan Selamat bagi penganjuran edisi berprestij ini.
Dalam perkembangan sama, jualan tiket AJL40 yang dibuka sejak 26 Jun 2026 terus menerima sambutan menggalakkan daripada peminat. Orang ramai yang ingin menyaksikan malam kemuncak AJL40 secara langsung masih boleh mendapatkan tiket menerusi platform WowTix selagi stok masih ada.
Malam kemuncak Anugerah Juara Lagu Ke-40 akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026, jam 9.00 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta Tonton. Peminat juga boleh mengikuti perkembangan terkini AJL40 menerusi semua platform digital rasmi TV3 dan menyertai kemeriahan di media sosial menggunakan tanda pagar #AJL40 dan #GENERASISELAMANYAJUARA.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai AJL40 serta program-program TV3 yang lain, orang ramai boleh mengikuti Facebook, Instagram, X dan Threads di @TV3Malaysia serta TikTok di @TV3MalaysiaOfficial.
