Polong Raih RM12 Juta, Terus Dominasi Pawagam Tempatan

Written by

in

Gelombang Polong terus menunjukkan taring apabila berjaya mencatat kutipan RM12 juta hasil gabungan tayangan awal dan 11 hari tayangan rasmi di pawagam seluruh negara. Pencapaian ini sekali gus membuktikan filem seram tempatan masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam menarik penonton ke pawagam, malah terus mendapat sokongan luar biasa daripada rakyat Malaysia sejak hari pertama tayangan.

Lebih bermakna, kejayaan menembusi angka RM12 juta ini jelas menunjukkan bahawa apabila sesebuah karya tempatan dihasilkan dengan kualiti, keberanian dan identiti tersendiri, ia mampu meraih sokongan besar penonton serta mencipta fenomena sendiri di pawagam.

Selain sambutan hangat di layar perak, promosi filem ini turut diperhebat menerusi Jelajah Bisikan Polong yang berlangsung di Terengganu dan Pahang pada 6 dan 7 Jun lalu. Dihadiri barisan pelakon utama seperti Mimi Lana, Fad Anuar dan Jun Lojong, jelajah ini singgah di lima lokasi bagi memberi peluang kepada peminat bertemu lebih dekat dengan para pelakon. Keghairahan penonton sepanjang jelajah tersebut jelas menggambarkan sokongan berterusan yang diterima.

Sejak mula ditayangkan pada 28 Mei lalu, Polong bukan sahaja mencetuskan perbualan hangat di media sosial, malah terus menerima reaksi positif daripada pelbagai lapisan penonton yang memuji kekuatan penceritaan, suasana seram yang menekan emosi serta elemen kejutan yang meninggalkan kesan mendalam.

Diarahkan oleh Zulkarnain Azhar, Polong mengangkat kisah legasi ilmu hitam, dosa silam dan sumpahan yang merentasi generasi. Gabungan elemen seram tradisional tempatan dengan naratif psikologi yang lebih mendalam menjadikan filem ini tampil berbeza dan berjaya mencuri perhatian peminat genre seram.

Diterbitkan oleh Golden Star Pictures Sdn. Bhd. (GSPSB) dengan sokongan pengedaran 10 Star Cinemas Sdn Bhd serta kerjasama pemasaran Primeworks Studios dan Astro Shaw, Polong turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mimi Lana, Jun Lojong, Fad Anuar, Namron, Nadiya Nisaa, Amir Nafis dan ramai lagi. Filem ini terus mencatat kehadiran penonton yang memberangsangkan di pawagam seluruh negara termasuk sepanjang musim cuti sekolah dan hujung minggu.

Melihat kepada trend semasa dan sambutan yang masih kuat, Polong dijangka terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem tempatan paling berjaya tahun ini.

Terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberikan.

Polong masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jangan lepaskan peluang untuk saksikan sendiri filem seram yang sedang “menghantui” satu Malaysia.