“Berapa Harga Sebuah Maruah?” EZZANIE JASNY ANGKAT REALITI PAHIT DALAM “NERAKA YANG TERHIJAB”
5 min readDunia hiburan tempatan bakal disajikan dengan sebuah drama yang sarat emosi dan penuh persoalan moral menerusi Neraka Yang Terhijab, siri Tonton Originals terbaharu yang mula bersiaran pada 4 Jun 2026. Mengangkat genre melodrama gelap dan realisme sosial, drama 20 episod ini membawa penonton menyelami kehidupan seorang wanita muda yang terpaksa membuat pilihan sukar demi memastikan keluarganya terus bertahan dalam tekanan hidup yang semakin menghimpit.
Diterajui oleh Ezzanie Jasny sebagai Adda, siri arahan Azri Izhar dan hasil nukilan Liza Nur ini mengangkat kisah seorang pelajar universiti yang berdepan cabaran besar apabila wang biasiswanya disalahgunakan oleh bapanya sendiri. Dalam keadaan ibunya yang uzur dan keluarga yang berdepan kesempitan hidup, Adda terpaksa memikul tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada usianya. Keadaan itu akhirnya mendorongnya untuk mencari jalan keluar yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.
Perjalanan hidup Adda menjadi semakin rumit apabila dia diperkenalkan kepada “The Floor”, sebuah dunia elit yang dipenuhi kemewahan, pengaruh dan gaya hidup eksklusif. Pada mulanya dia menolak untuk terlibat, namun tekanan kewangan yang berterusan memaksanya menjalani kehidupan berganda sebagai wanita peneman golongan atasan demi mendapatkan wang. Keputusan tersebut membuka pintu kepada pelbagai konflik, termasuk persoalan maruah, harga diri dan pengorbanan yang perlu dibayar demi kelangsungan hidup.
Dalam masa sama, Adda turut terperangkap dalam konflik melibatkan dua beradik tiri, Annas dan Zakwan, yang masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Ketika Zakwan memanipulasi dirinya untuk mencapai matlamat peribadi, Annas pula mula melihat Adda sebagai seorang wanita yang sedang bergelut dengan nasib dan bukannya individu yang wajar dipersalahkan. Hubungan yang terjalin antara mereka membuka ruang kepada persoalan sama ada masih wujud peluang untuk penebusan dalam dunia yang dipenuhi rahsia dan kepura-puraan.
Menurut Ezzanie Jasny, watak Adda merupakan antara karakter paling mencabar yang pernah dibawanya kerana sarat dengan emosi dan konflik dalaman. Watak tersebut menggambarkan realiti segelintir individu yang terpaksa membuat keputusan sukar akibat tekanan hidup dan keadaan yang tidak memihak kepada mereka. Melalui Adda, penonton diajak memahami bahawa tidak semua pilihan yang dibuat lahir daripada kehendak sendiri, sebaliknya kadangkala dipaksa oleh keadaan.
Neraka Yang Terhijab bukan sekadar sebuah drama tentang kemiskinan atau percintaan, tetapi turut mengangkat isu sosial yang dekat dengan realiti masyarakat. Ia mengetengahkan bagaimana tekanan ekonomi, keruntuhan institusi keluarga dan ketidakseimbangan kuasa boleh mempengaruhi keputusan seseorang sehingga mengubah seluruh kehidupannya. Dengan jalan cerita yang berani, lakonan yang penuh penghayatan dan konflik yang menyentuh emosi, siri ini dijangka menjadi antara naskhah yang mencuri perhatian penonton sepanjang tahun ini.
Sama ada Adda mampu menemukan kembali dirinya atau terus tenggelam dalam dunia yang dipilih demi menyelamatkan keluarganya, semuanya bakal terjawab menerusi Neraka Yang Terhijab yang boleh disaksikan setiap Khamis hingga Ahad secara eksklusif di Tonton.
Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X,
TikTok dan Instagram @tontonmy.