Khadam Tampil Dengan Pelancaran Poster dan Treler Rasmi

Menjelang tayangan rasminya di pawagam pada 11 Jun 2026, Khadam semakin mencuri perhatian apabila poster dan treler rasminya dilancarkan, sekali gus memberi gambaran lebih jelas mengenai arah penceritaan filem seram tempatan berskala besar ini. Berlatarbelakangkan era 1950-an, Khadam tampil dengan pendekatan berbeza daripada naratif saka konvensional apabila menggabungkan unsur emosi, psikologi dan konflik kekeluargaan dalam sebuah kisah yang lebih mendalam dan penuh ketegangan.

Diarahkan oleh Shamyl Othman, filem ini mengangkat sudut pandang seorang ibu bernama Melor yang berdepan ancaman entiti warisan keluarganya. Selepas kematian ibunya, Melor terpaksa menerima saka turun-temurun yang bukan sekadar menghuni dirinya, malah menjelma sebagai versi dirinya yang lebih “sempurna”. Kehadiran entiti tersebut perlahan-lahan mula mengambil alih kehidupannya, menggantikan peranan sebagai isteri dan ibu sehingga Melor semakin terasing dalam dunia yang pernah dimilikinya sendiri.

Khadam diterbitkan oleh Red Communications dan Komet Productions bersama beberapa rakan strategik dari Malaysia, Indonesia, Hong Kong dan India termasuk Magma Entertainment, VMS Studios, Sil Metropole, Applause Entertainment, Primeworks Studios serta Golden Screen Cinemas dengan sokongan FINAS. Kolaborasi rentas negara ini memperlihatkan usaha membangunkan sebuah filem yang bukan sahaja memiliki skala produksi besar, malah berpotensi memperkukuhkan kedudukannya di peringkat serantau.

Barisan pelakon filem ini turut menjadi kekuatan utama dengan gandingan Aghniny Haque sebagai Melor dan Datuk Remy Ishak sebagai Awang, bersama Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El serta penampilan khas Jun Lojong. Watak Awang dibawakan sebagai seorang suami yang menyimpan kasih sayang namun gagal meluahkannya, sehingga tercetus tragedi yang mengubah kehidupan keluarganya. Menurut Datuk Remy Ishak, watak itu mencerminkan sosok lelaki yang wujud dalam realiti, penuh rasa tetapi enggan mengakuinya.

Kehadiran pelakon Indonesia, Aghniny Haque, yang dikenali menerusi karya seperti KKN di Desa Penari, Mencuri Raden Saleh dan Qorin, turut menambah kredibiliti filem ini. Dalam penampilan sulungnya di Malaysia, Aghniny membawakan karakter Melor, seorang ibu bisu yang bergantung sepenuhnya kepada ekspresi dan bahasa tubuh untuk menyampaikan kehilangan, ketakutan serta perjuangannya mempertahankan keluarga.

Dengan gabungan visual sinematik, naratif yang sarat emosi dan elemen seram psikologi yang kuat, Khadam dilihat berpotensi menjadi antara filem seram tempatan paling dinanti tahun ini. Treler rasmi filem tersebut kini boleh ditonton, manakala perkembangan terkini boleh diikuti menerusi akaun rasmi @khadamthemovie di pelbagai platform media sosial.