CelcomDigi Pelawa Graduan dan Profesional Muda Sertai Young Talent Programme
5 min read
CelcomDigi Berhad (“CelcomDigi”) membuka permohonan bagi pengambilan kedua Young Talent Programme (YTP), sebuah program pecutan kerjaya berstruktur selama dua tahun yang dirangka untuk melahirkan bakat muda Malaysia berpotensi tinggi sebagai pemimpin digital generasi akan datang. Program ini merupakan sebahagian daripada komitmen CelcomDigi dalam memperkasa aspirasi digital negara menerusi pembangunan bakat yang memiliki kemahiran teknikal kukuh, pemahaman perniagaan yang mendalam serta keupayaan kepimpinan yang tinggi.
YTP disasarkan kepada individu yang bersedia berkembang dalam persekitaran kerja yang dinamik, dipacu data dan berteraskan pelanggan, sambil menyumbang kepada pembangunan penyelesaian serta hasil perniagaan yang memberi impak bermakna. Program ini turut memberi peluang kepada peserta untuk memperkukuh kepakaran profesional dan membina pengalaman dalam landskap digital yang sentiasa berkembang.
Ketua Pegawai Sumber Manusia CelcomDigi, Azmi Ujang berkata, kepesatan transformasi digital ketika ini memerlukan generasi bakat yang mempunyai asas teknikal kukuh, memahami keperluan perniagaan, mampu menyesuaikan diri serta sentiasa bersedia untuk belajar dan berkembang dalam persekitaran yang pantas berubah. Menurut beliau, menerusi CelcomDigi YTP, syarikat itu membina barisan bakat digital yang mampu memainkan peranan penting dalam membentuk bagaimana teknologi dapat memberi impak bermakna kepada pelanggan, perniagaan dan negara. Beliau berkata, berbeza daripada program graduan konvensional, YTP direka sebagai platform pecutan kerjaya yang membolehkan bakat muda membina kepakaran mendalam, memperoleh pendedahan kepada cabaran sebenar perniagaan serta berkembang bersama pasukan yang menerajui agenda transformasi utama CelcomDigi.
Susulan sambutan memberangsangkan bagi pengambilan sulung yang menerima hampir 3,600 permohonan untuk 20 tempat yang ditawarkan, CelcomDigi sekali lagi mencari bakat muda Malaysia yang cemerlang dan bersedia berkembang dalam persekitaran kerja pantas serta menyumbang kepada impak sebenar perniagaan. Permohonan dibuka mulai 13 Mei hingga 3 Julai 2026 kepada graduan Malaysia dan profesional muda yang mempunyai pengalaman kerja kurang daripada dua tahun.
Calon yang berjaya akan mengikuti penempatan berstruktur dalam salah satu daripada lima bidang kepakaran utama iaitu Cloud Engineering, Cybersecurity, Data & Business Analytics, Digital Product Development serta AI & Automation. Sepanjang tempoh dua tahun program, peserta akan bekerjasama dengan pasukan dan pemimpin berpengalaman dalam menangani cabaran sebenar perniagaan selain membangunkan penyelesaian teknologi yang menyokong transformasi berterusan CelcomDigi sebagai syarikat yang dipacu teknologi 5G dan AI.
CelcomDigi YTP merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan bakat syarikat di bawah CD:NXT, iaitu strategi jangka panjang CelcomDigi dalam membangunkan tenaga kerja digital masa hadapan Malaysia. Melalui pelaburan berterusan dalam memperkasa bakat muda berpotensi tinggi, CelcomDigi komited memperkukuh keupayaan negara dalam bidang utama seperti AI, teknologi, data dan analitik, di samping menyokong pertumbuhan digital serta daya saing negara untuk jangka panjang.
Maklumat lanjut dan permohonan boleh dibuat menerusi laman rasmi Young Talent Programme CelcomDigi