Industri hiburan tempatan terus diserikan dengan karya raya baharu apabila Kimbab melancarkan “Drama Raya”, sebuah lagu yang memadukan elemen komedi, realiti kehidupan dan rentak moden. Dihasilkan oleh Zulin Aziz, lagu ini mengetengahkan pelbagai kisah yang relatable — menggambarkan betapa ‘pagi raya’ sering hadir bersama cabaran kecil yang akhirnya menjadi memori lucu setiap tahun.
Keistimewaan lagu ini bukan sahaja pada melodinya yang catchy, malah keberanian menampilkan rap Bahasa Melayu oleh Maryam DurianKimchi, menjadikan “Drama Raya” lebih dinamik dan berwarna. Rakaman yang berjalan lancar membuktikan komitmen tinggi ketiga-tiga ahli Kimbab, yang hubungan akrabnya sudah lama terjalin sejak program Muzikal Lawak Superstar.

Menariknya, lagu ini juga dikhabarkan bakal menjadi lagu tema telefilem raya mereka berjudul Andartu Cancel Raya di Astro, sekali gus memperluas impak karya tersebut merentasi platform muzik dan televisyen. Dengan mesej santai namun penuh makna, “Drama Raya” berpotensi menjadi siulan ramai dan menyuntik keceriaan sepanjang Syawal.
