Makan Malam Amal Legends Menyatukan Irama Muzik dan Semangat Kemanusiaan

Konsert Legends yang berlangsung pada 27 Disember di World Trade Centre Kuala Lumpur sebagai acara kemuncak perayaan jubli perak Persatuan Karyawan menutup tirainya dengan kejayaan gemilang, menggabungkan hiburan muzik dan misi kebajikan. Majlis ini berjaya menghimpunkan lebih 500 penderma dan peminat muzik tanah air, sambil mengumpul dana untuk membantu golongan memerlukan, khususnya penggiat seni yang menghadapi kesukaran hidup, dengan kehadiran Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin sebagai Tetamu Kehormat.

Acara makan malam amal ini diwarnai dengan persembahan penuh tenaga dan emosi daripada barisan legenda muzik Malaysia. Sweet Charity menjadi tarikan utama, manakala Datuk Khadijah Ibrahim, Kopratasa, Helen Velu, Datuk Andre Goh, Datuk Ito Blues Gang, Mariam Ahmad, dan Soma turut menghidupkan pentas dengan lagu-lagu ikonik merentas generasi. Slot khas gitaris legenda tanah air menampilkan Man Kidal, Kid Search, Simon Carefree, dan Sharul Ekamatra, memukau penonton dengan gabungan harmonik rock yang membawa nostalgia kepada generasi lama.

Konsert ini bukan sahaja meraikan legasi seni, malah berjaya mencapai objektif kebajikan apabila kutipan jualan tiket dan sumbangan, termasuk lelongan lukisan tangan oleh Cheb Ali, berjaya mengumpul sebanyak RM100,000. Bantuan telah disalurkan kepada enam penggiat seni yang memerlukan iaitu Murali Abdullah, Olie Heavy Machine, Salleh Yaacob, Mak Jah, Opie Black Maria, dan pelakon Sahronizam. Penampilan pemain saxophone muda, Kenanga Juwita, anak kepada Olie Heavy Machine, turut menambah keistimewaan majlis.

Pengacara dan pelawak Helmi Gimmick memastikan suasana malam itu penuh gelak tawa, menjadikan pengalaman hiburan lebih lengkap. Penganjur turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja, rakan media, pasukan produksi, dan penonton yang hadir, menjadikan Makan Malam Amal Legends sebuah acara bermakna yang menyatukan muzik, kenangan, dan semangat kemanusiaan.