Kejayaan Gula Cakery yang kini berkembang pesat bukan sahaja bergantung kepada kek viral atau pembukaan cawangan baharu, tetapi turut disandarkan pada perhatian terhadap kebajikan pekerjanya. Pengasasnya, Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, menekankan bahawa sejak hari pertama, fokus utama syarikat adalah memastikan setiap ahli pasukan merasa dihargai dan mempunyai peluang untuk berkembang. “Kalau mereka grow, bisnes akan grow. Apabila pekerja rasa dijaga, mereka akan menjaga pelanggan dengan hati yang gembira,” ujar beliau. Pendekatan ini terbukti menjadi salah satu faktor utama yang menjadikan Gula Cakery terus kukuh dalam industri makanan dan minuman (F&B).
Pendekatan tersebut terserlah semasa majlis makan malam tahunan bertemakan hitam dan putih baru-baru ini, yang menghimpunkan ratusan staf dari pelbagai cawangan. Majlis itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi platform untuk menghargai segala usaha dan tenaga pasukan sepanjang tahun. Antara yang diraikan termasuk staf yang telah berkhidmat antara tiga hingga lapan tahun melalui Long Service Award, manakala hadiah cabutan bertuah seperti iPad, TV 65 inci dan pakej percutian menaikkan lagi semangat pekerja.
Perjalanan Gula Cakery bermula daripada dapur rumah dengan satu ketuhar dan resepi warisan nenek Arieni, kini berkembang menjadi jenama popular dengan menu viral seperti Tiramisu. Arieni menekankan bahawa latihan bukan sekadar untuk mengajar teknik atau SOP, tetapi juga membentuk keyakinan diri staf dan menggilap bakat mereka. Budaya kerja syarikat menekankan nilai hormat, tanggungjawab, layanan mesra, dan semangat untuk belajar.

Kini, Gula Cakery berada pada fasa pertumbuhan lebih agresif, dengan perancangan membuka cawangan baharu di Johor dan Bangi, berpindah ke central kitchen yang lebih besar, serta membangunkan Training Academy Gula Cakery dan program kesetiaan pelanggan. Menurut Arieni, momen paling mengharukan adalah melihat staf yang dahulu malu memegang tanggungjawab kini menjadi ketua, membuktikan bahawa perhatian terhadap kebajikan pekerja adalah “resipi” sebenar kejayaan Gula Cakery.
Dengan semangat pasukan yang mantap, budaya kerja positif, dan perancangan masa depan yang jelas, Gula Cakery membuktikan bahawa menjaga kebajikan pekerja bukan sahaja memupuk keluarga profesional yang kukuh, tetapi juga menjadi kunci pertumbuhan bisnes yang berterusan.
