Ghaz Abu Bakar Uji Keberanian Penonton Menerusi Filem Seram “QIFARAH”

Dalam setiap bisikan gelap, tersimpan kebenaran yang menanti untuk terbongkar. Itulah yang dibawa oleh Qifarah, taruhan pertama arahan Ghaz Abu Bakar dalam genre seram yang bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Mengangkat tema penebusan dan pengampunan, filem ini menjanjikan penceritaan penuh misteri, suspens dan bayangan ghaib yang akan terus mengikat jiwa penonton hingga ke detik terakhir.

Diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama My Way Pictures dan Astro Shaw serta Primeworks Studios sebagai rakan pemasaran rasmi, Qifarah menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Remy Ishak, Sharifah Sakinah, Liyana Jasmay, Namron, Esma Daniel, Vanida Imran, Rita Nadira dan Rafique Iskandar.

Filem ini mengisahkan tentang entiti silam, dendam lama dan rahsia yang masih hidup. Qifarah membawa penonton menyelami kisah Yusoff, lakonan Remy Ishak, seorang perantau yang telah lama menetap di Kaherah bersama isterinya Marissa, lakonan Rita Nadira, dan anak mereka Mikhail, lakonan Rafique Iskandar. Namun, apabila menerima perkhabaran tentang bapanya yang sedang nazak, Yusoff pulang ke tanah air selepas tiga dekad dengan niat membantu ayahnya bertaubat daripada amalan ilmu hitam sambil merungkai kejadian mistik yang terus membelenggunya.

Kepulangannya membuka semula kisah silam yang gelap apabila Yusoff berdepan dengan ibu tirinya, Mawar, lakonan Sharifah Sakinah, yang seolah-olah tidak dimamah usia, serta adiknya Eykha, lakonan Liyana Jasmay, yang jiwanya kekal seperti anak kecil. Situasi menjadi semakin tegang apabila Marissa dan Mikhail tiba di rumah pusaka keluarga Yusoff, mencetuskan pelbagai kejadian aneh dan menyeramkan. Setiap langkah mereka dipenuhi tanda tanya dan ketakutan, menjadikan penonton turut terperangkap dalam dunia misteri yang menghantui keluarga itu.

Mengetengahkan unsur mistik dan kuasa ghaib, Qifarah dibalut dengan sinematografi bergaya yang mengajak penonton merenung makna dosa lampau dan peluang untuk penebusan. Setiap babak dihasilkan dengan teliti bagi memastikan pengalaman menonton terasa mendalam dan penuh impak.

Menurut pengarahnya, Ghaz Abu Bakar, filem ini dirangka dengan perhatian terhadap setiap perincian, daripada rekaan set dan pencahayaan hingga kepada prop, pakaian dan aksesori watak. Beliau menyatakan bahawa setiap elemen visual dan bunyi disusun bagi memberikan pengalaman seram yang bukan sahaja menakutkan tetapi juga menyentuh emosi penonton. “Saya mahu penonton merasai intensiti dunia Qifarah dan pengajaran yang ingin disampaikan. Setiap babak harus meninggalkan kesan mendalam yang tidak mudah dilupakan selepas meninggalkan pawagam,” jelasnya.

Qifarah bakal menggegarkan pawagam seluruh negara bermula 9 Oktober 2025. Bersedialah untuk menyelusuri perjalanan ngeri di mana setiap titisan darah menyimpan rahsia, setiap bisikan menjadi mantera dan setiap bayangan menuntut pembalasan. Untuk perkembangan terkini dan kandungan eksklusif Qifarah, ikuti Primeworks Studios di Facebook, Instagram, X dan YouTube.