Sharul Kamal Sertai Rocketfuel Entertainment, Lancar Single Pertama “Emas”

Penyanyi, komposer dan pelakon berbakat besar, Sharul Kamal kini melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan seninya apabila secara rasmi menandatangani kontrak bersama label ternama Rocketfuel Entertainment. Sebagai seorang pemuzik versatil yang sebelum ini bergerak secara bebas, langkah ini menjadi titik permulaan penting buat dirinya untuk berkembang lebih jauh dalam dunia seni suara.

Sharul tampil dengan dua buah karya istimewa sebagai pembuka lembaran baharu, iaitu single pertamanya berjudul “Emas” dan single kedua “Bayangan” yang bakal menjadi runut bunyi rasmi filem aksi Magik Rompak. Lagu “Emas”, sebuah balada mellow yang sarat dengan nuansa rock, telah pun dilancarkan pada 18 Ogos lalu lengkap dengan video muzik rasmi. Bagi Sharul, karya ini bukan sekadar sebuah lagu tetapi simbolik kepada permulaan baharu dalam kerjaya muziknya, selain memperlihatkan sisi emosinya yang penuh perasaan namun tetap mengekalkan identiti rock yang sudah sinonim dengan dirinya.

Tidak lama selepas itu, Sharul akan mempersembahkan single keduanya berjudul “Bayangan”, sebuah lagu ciptaannya sendiri bersama sahabat serta kolaborator lama, Aepul Roza. Lagu ini lebih istimewa apabila dipilih sebagai lagu tema rasmi filem Magik Rompak, sebuah karya aksi berskala besar yang menampilkan barisan pelakon popular tanah air seperti Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson dan Nadhir Nasar. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam bermula 11 September 2025. Sharul meluahkan rasa bangga apabila “Bayangan” diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada nadi emosi dalam jalan cerita filem tersebut, manakala Aepul pula menyifatkan kerjasama ini sebagai satu bukti keyakinannya terhadap bakat dan visi muzik Sharul.

Langkah Sharul bersama Rocketfuel turut dilihat sebagai peluang besar untuk mengembangkan bakatnya bukan sahaja di Malaysia tetapi juga ke peringkat serantau. Beliau menekankan betapa pentingnya sokongan sebuah pasukan yang mempercayai visinya sebagai seorang artis. Dengan dua single yang sarat dengan jiwa dan keikhlasan, Sharul berharap muziknya mampu diterima bukan hanya sebagai hiburan tetapi juga sebagai karya yang meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

Kini, dengan vokal bertenaga, sentuhan emosi yang tulus serta sokongan padu daripada Rocketfuel Entertainment, Sharul Kamal bersedia melangkah lebih jauh mewarnai industri muzik tanah air. Single “Emas” boleh didengarkan di semua platform digital utama termasuk Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music, manakala “Bayangan” bakal menemui peminat bermula 5 September 2025.