Drama popular “Mandul Bukan Pilihan” menutup tirai dengan penuh emosi apabila episod akhirnya ditayangkan semalam. Sepanjang tujuh minggu bersiaran, penonton dibawa melalui jalan cerita yang sarat dengan permainan perasaan, ibarat sebuah perjalanan “roller coaster” yang akhirnya berakhir dengan babak penuh menyayat hati.
Dalam episod terakhir itu, kebahagiaan yang dikecapi oleh watak Aldi dan Billa selepas melalui pelbagai dugaan ternyata tidak kekal lama. Billa akhirnya pergi meninggalkan Aldi buat selamanya, sekali gus meruntun jiwa penonton yang setia mengikuti drama ini sejak mula. Reaksi daripada khalayak menjadi tumpuan apabila ramai mengakui tidak mampu menahan air mata ketika menyaksikan babak-babak terakhir yang penuh kesedihan.
Meskipun ada penonton cuba menahan sebak kerana menonton bersama keluarga, lakonan berkesan daripada dua bintang utama, Hun Haqeem dan Mira Filzah, membuatkan ramai akhirnya tewas dengan emosi. Bukan sahaja dari sudut lakonan, malah kekuatan naskhah ini turut terletak pada mutu produksi, jalan cerita, serta muzik latar yang berjaya menghidupkan suasana.
Pelbagai komentar ditinggalkan oleh penonton di media sosial. Ada yang mengakui sudah lama tidak menonton drama Melayu namun kembali menontonnya kerana “Mandul Bukan Pilihan”. Tidak kurang juga yang memuji kualiti keseluruhan drama ini, termasuk pelakon, jalan cerita dan lagu runut bunyi yang disifatkan berada di tahap luar biasa. Ramai menyifatkan ia sebagai drama yang berjaya menyentuh hati mereka di setiap episod sehingga ada yang menitiskan air mata sejak awal tayangan hinggalah ke penghujung.

Pelakon utama, Mira Filzah, turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi menerusi hantaran di laman sosialnya. Beliau mengucapkan terima kasih atas kerja keras, dedikasi dan semangat yang ditunjukkan sepanjang menjayakan drama ini. Mira menyifatkan ia sebagai pengalaman yang sangat bermakna, bukan sahaja kerana hasil kerja yang membanggakan tetapi juga kerana dapat berkongsi perjalanan itu bersama sebuah pasukan yang komited dan memberi inspirasi.
Selain itu, Mira turut menitipkan mesej menyentuh hati buat semua pejuang garis dua melalui sebuah video khas di Instagramnya, sekali gus memperlihatkan betapa dekatnya drama ini dengan realiti hidup yang dihadapi oleh sesetengah penonton.
Dengan berakhirnya “Mandul Bukan Pilihan”, ia menandakan bermulanya sebuah kisah baharu di slot Megadrama Astro Ria. Drama “Rumah Tanpa Luka” akan mengambil alih slot tersebut bermula 1 September, bersiaran setiap Isnin hingga Khamis pada jam 10 malam.
