Peminat muzik tanah air, khususnya generasi muda, disajikan dengan sebuah festival penuh emosi, inspirasi dan keseronokan menerusi Ruang Inspirasi Festival (RIF) 2025 yang berlangsung meriah di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Dipersembahkan oleh Expoindo dengan kerjasama penganjur tempatan Thrive, edisi pertama festival ini tampil dengan konsep segar yang menggabungkan persembahan muzik dengan elemen perkongsian kisah di sebalik karya popular artis jemputan. Tidak sekadar hiburan, RIF 2025 memberi peluang kepada penonton untuk menyelami makna muzik sebagai medium yang mampu menghubungkan emosi dan inspirasi.
Menurut wakil Expoindo, Bram Tulong, pemilihan nama “Ruang Inspirasi” lahir daripada hasrat untuk mewujudkan sebuah ruang di mana muzik bukan sahaja menghiburkan, malah dapat menyentuh jiwa dan meninggalkan kesan mendalam. Katanya lagi, RIF adalah sebuah festival yang mahu dikenang sebagai pertunjukan muzik yang membawa mesej positif serta inspiratif melalui setiap persembahan.

Tahun sulung penganjuran RIF lebih bermakna apabila mempersembahkan dua nama besar dari Indonesia yang tidak asing buat peminat di Malaysia. Penyanyi tersohor Tulus tampil di pentas pada sesi petang bermula jam 2.30 dengan persembahan penuh penghayatan yang menyentuh jiwa penonton. Sementara itu, kumpulan pop alternatif popular Juicy Luicy pula menggegarkan sesi malam bermula jam 8.30 dengan rangkaian lagu hits mereka seperti “Lantas”, “Lampu Kuning” dan “Sialan”, sekali gus memikat hati generasi muda yang begitu dekat dengan karya-karya mereka.
Dengan gabungan persembahan daripada dua artis hebat ini, Ruang Inspirasi Festival 2025 bukan sekadar sebuah konsert biasa. Ia menjadi medan untuk menyemai semangat positif, berkongsi kisah inspiratif, dan mencipta memori indah yang akan dikenang oleh para peminat yang membanjiri Mega Star Arena pada malam penuh magis itu.
