Magis Malam Purnama: Pamungkas, Fugo & Bilal Indrajaya Gegar Zepp KL

Panggung Purnama bukan lagi sekadar acara muzik biasa. Dengan pengumuman line up kedua dan ketiga, pentas ini kini berubah menjadi sebuah medan emosi yang dijangka akan menggetarkan jiwa peminat pada malam 28 September 2025 di Zepp Kuala Lumpur.

Pamungkas, penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia yang pernah mencetus fenomena dengan lagu “To The Bone”, akan tampil buat pertama kali di pentas Panggung Purnama secara solo. Beliau bukan hadir seorang diri, sebaliknya bergandingan dengan Fugo, kugiran alternatif dari Malaysia yang semakin mendapat tempat di hati pendengar dengan karya seperti As Long As We Stay dan Lagu Balada Kala Hujan. Bersama mereka, Bilal Indrajaya yang telah lebih awal diumumkan sebagai line up pembuka, melengkapkan gabungan tiga pemuzik yang punya kekuatan karya dan pesona tersendiri.

Menurut penganjur UdaraLaskhar, pemilihan nama-nama ini adalah hasil perancangan teliti sejak awal. Mereka bukan hanya dipilih atas populariti, tetapi kerana kemampuan untuk menghidupkan Panggung Purnama dengan nuansa yang intim, emosional dan penuh resonansi. Gabungan Pamungkas yang flamboyan, Fugo yang menyenangkan serta Bilal Indrajaya yang dikenali dengan suara dan lirik penuh perasaan, dijangka menjadikan malam tersebut sebagai satu pengalaman konsert yang luar biasa.

John Labu, wakil rasmi UdaraLaskhar, meluahkan keterujaannya atas pengumuman line up kali ini. Katanya, pihak mereka amat percaya kepada kekuatan muzik ketiga-tiga artis ini, yang menurutnya ibarat candu yang membuat peminat sentiasa ingin kembali menikmati persembahan mereka secara langsung. Malah, beliau menyifatkan Panggung Purnama kali ini sebagai malam mimpi yang akhirnya direalisasikan hasil permintaan ramai peminat yang dahagakan pengalaman muzik lebih dekat dan menyentuh.

Dengan pendekatan pementasan yang lebih peribadi dan emosional, Panggung Purnama menjanjikan malam yang bukan sekadar hiburan, tetapi sebuah perayaan kepada muzik, emosi dan jiwa. Ia adalah malam di mana penonton bukan sekadar menyaksikan persembahan, tetapi turut tenggelam dalam setiap lirik, nada dan bisikan yang lahir dari pentas.

Tiket untuk menyertai malam penuh magis ini kini boleh diperoleh menerusi laman web rasmi ilassotickets.com. Peminat disarankan untuk mendapatkan tiket lebih awal kerana sambutan yang dijangka luar biasa. Melepaskan peluang menyertai Panggung Purnama umpama menolak lamaran cinta yang mungkin tak akan datang kali kedua.

Dengan kombinasi yang jarang sekali disatukan dalam satu malam, mampukah anda menolak pelawaan Purnama kali ini?