Nama Yah! mungkin sinonim dengan watak lucu dan dialog ikonik “Mi Kari Kuah Laksa”, namun di sebalik persona ceria itu tersembunyi sisi lain yang kini mula menyerlah – sebagai penyanyi dan penulis lagu. Afea Deanna Baharudean, atau lebih dikenali sebagai Yah!, bakal melancarkan single sulungnya berbahasa Inggeris berjudul My Song To You pada 6 Jun 2025 di semua platform digital, dengan pelancaran awal di TikTok pada 30 Mei 2025.
Single ini bukan sekadar langkah sulung dalam muzik, tetapi juga sebuah luahan jiwa yang sangat peribadi bagi Yah!. Ditulis sendiri olehnya bersama Ku Yen, Barr Hadif dan Rudy Nastia, lagu ini membawa mesej cinta, penghargaan dan pemulihan diri – ditujukan kepada sesiapa sahaja yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya.
“Lagu ini saya tulis dengan penuh rasa, kerana saya mahu pendengar merasai kehadiran dan kasih sayang walau dari jauh,” ujar Yah! yang mengakui menulis lagu ini dalam Bahasa Inggeris adalah satu bentuk ekspresi semula jadi, memandangkan latar belakang akademiknya dalam bidang TESL di UPSI.
Bagi Yah!, My Song To You bukan eksperimen suka-suka. Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada impian yang telah lama disimpan – untuk menjadi penyanyi yang mampu menghubungkan hati melalui muzik.
“Ramai kenal saya sebagai pelakon komedi, tapi melalui lagu ini saya harap orang boleh lihat sisi yang lebih mendalam dalam diri saya,” jelasnya. “Saya nak jadi suara buat mereka yang mungkin sunyi atau terluka – dan muzik ini salurannya.”
Lagu ini dilancarkan dengan kerjasama dua label iaitu Buduck Records dan Sony Music Malaysia yang memberikan sokongan penuh terhadap perjalanan muzik Yah!. Malah, Yah! turut menyuarakan hasrat untuk membawa karyanya melangkaui sempadan dan mendapat tempat di hati pendengar antarabangsa.
“Saya yakin muzik adalah bahasa sejagat. Saya mahu dunia tahu, bakat Malaysia juga ada cerita yang mampu menyentuh hati,” katanya penuh semangat.
Yah! juga menyeru para peminat yang selama ini menyokongnya sebagai pelakon untuk terus bersama dalam fasa baharu kerjayanya. Baginya, My Song To You adalah permulaan yang bukan sahaja bermakna secara peribadi, tetapi juga potensi untuk membuka lembaran baharu dalam seni suaranya.
Ikuti Yah!:
Instagram: @afea_de_anna
TikTok: @afeadeanna
Untuk pertanyaan media:
📞 Elly Jalil – 017-3258562
