Pusat Konvensyen Kuala Lumpur Rai 20 Tahun Kecemerlangan Tempatan dan Global

Genap dua dekad sejak pertama kali membuka pintunya kepada dunia, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur meraikan ulang tahun ke-20 dengan tema “Celebrating the Past 20. Shaping the Next 20.” dalam sebuah majlis istimewa bersama rakan-rakan industri, pelanggan setia dan pihak berkepentingan.

Majlis sambutan yang berlangsung pada 12 Jun lalu menyatukan pemain utama dalam dunia acara dan hospitaliti, menyambut pencapaian dua puluh tahun Pusat ini sebagai mercu tanda kepada dialog global, pertumbuhan ekonomi dan pertukaran budaya. Dihoskan oleh penyanyi dan pelakon terkenal, Atilia Haron, acara tersebut diserikan dengan persembahan muzikal memukau dan sajian eksklusif hasil sentuhan kulinari pasukan Pusat, yang turut mengetengahkan bahan-bahan tempatan dari sumber lestari — termasuk hidangan yang dihidangkan di atas arca ais direka khas.

Menurut Pengurus Besar Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, John Burke, kejayaan masa lalu menjadi asas penting dalam membina masa depan yang lebih kukuh. “Industri pengurusan acara terus berevolusi dan keperluan pelanggan turut berubah. Untuk kekal relevan, kami telah memperbaharui perkhidmatan, mempertingkatkan kelestarian dan menyesuaikan ruang acara dengan keperluan semasa. Kami kini menggunakan 100% tenaga hijau, mengompos sepenuhnya sisa makanan dan memastikan 70% bahan makanan serta minuman diperoleh daripada sumber tempatan.”

Sejak mula beroperasi pada tahun 2005, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur telah menjadi lokasi pilihan lebih 22,000 acara dan menerima kunjungan lebih 29 juta orang, dengan sumbangan ekonomi mencecah RM12.6 bilion. Ia juga menjadi satu-satunya venue di Malaysia yang pernah menjadi tuan rumah tiga Sidang Kemuncak ASEAN – pada tahun 2005, 2015, dan yang terkini pada Mei 2025. Antara tokoh ternama yang pernah menjejak kaki ke sini termasuk Duke dan Duchess of Cambridge, bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan legenda bola sepak David Beckham.

John turut menzahirkan penghargaan kepada tenaga kerja yang setia sejak hari pertama pembukaan Pusat ini, menyifatkan ulang tahun ini sebagai penghargaan khas buat dedikasi mereka. Beliau turut merakamkan terima kasih kepada KLCC (Holdings) Sdn Bhd atas sokongan padu sepanjang perjalanan ini, serta mengiktiraf peranan penting Convex Malaysia Sdn Bhd, usaha sama antara KLCC (Holdings) Sdn Bhd dan ASM Global, yang menguruskan Pusat ini.

Majlis sambutan juga menjadi medan untuk mengiktiraf kerjasama erat dalam kalangan ahli Kuala Lumpur Convention Centre Business Events Alliance (KLCCBEA), termasuk Mandarin Oriental Kuala Lumpur, Traders Hotel, Impiana KLCC Hotel, Suria KLCC, dan rakan-rakan dalam sektor penerbangan serta pasukan KLCC secara keseluruhan.

Sokongan daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), dan Malaysian Association of Convention and Exhibition Organisers and Suppliers (MACEOS) turut dihargai. Begitu juga dengan jaringan antarabangsa seperti ICCA, UFI, AIPC dan PCMA yang telah menyumbang kepada pengukuhan reputasi Malaysia di pentas global dalam industri acara dan konvensyen.

Sebagai sebahagian daripada visinya ke hadapan, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur turut memperkenalkan inisiatif baharu bernama KLCC Connects pada awal tahun ini. Inisiatif jangka panjang ini memfokuskan kepada usaha kelestarian dan pembangunan komuniti, menyatukan pemain industri, institusi pendidikan, NGO dan agensi berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (UNSDG), termasuk Urbanice Malaysia.

Dengan pandangan ke hadapan, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur komited untuk terus menjadi ruang yang menghubungkan idea, budaya dan komuniti. Dua puluh tahun pertama adalah permulaan – dan masa depan dijanjikan lebih dinamik, inklusif dan lestari.

Untuk maklumat lanjut dan berita terkini, sila layari www.klccconventioncentre.com atau ikuti saluran media sosial rasmi di Facebook (@klccconventioncentre), LinkedIn (Kuala Lumpur Convention Centre), Twitter (@klccconvention), dan Instagram (@klccconventioncentre).