Cakra Khan “Divine Concert”: Takluk Malaysia dan Singapura

Setelah lebih satu dekad mencipta nama dalam industri muzik dengan suara serak yang begitu memikat, Cakra Khan kembali dengan kejutan yang benar-benar istimewa. Menyusul peluncuran album keduanya yang diberi judul Divine pada tahun 2024, penyanyi asal Indonesia ini bakal menghiburkan peminat menerusi konsert solo yang sangat dinanti-nantikan: Divine Concert – Cakra Khan.

Konsert ini bukan sekadar persembahan muzik, tetapi sebuah pengalaman magis yang menampilkan sisi terbaik Cakra Khan sebagai penyanyi dan penghibur. Diterbitkan oleh Shiraz Projects, konsert ini akan dipersembahkan di dua buah negara iaitu Singapura dan Malaysia. Peminat di Singapura akan menikmati konsert pada 18 Julai 2025 di The Star Theatre manakala peminat di Malaysia bakal menyaksikan persembahan ini pada 2 Ogos 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur.

Menurut Pengarah Urusan Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, konsert ini membawa makna yang sangat signifikan. Selepas 11 tahun bergiat aktif dalam dunia muzik, Cakra Khan akhirnya melancarkan album keduanya yang dinanti-nantikan ramai. Maka, konsert ini hadir untuk memberi penghargaan kepada perjalanan kariernya yang panjang dan penuh warna. Divine yang bermaksud luar biasa, hebat dan mega, diterjemahkan bukan sahaja melalui muzik tetapi juga keseluruhan konsep konsert yang menjanjikan sebuah persembahan yang penuh emosi dan menyentuh hati.

Divine Concert bukan sekadar tentang lagu-lagu baharu seperti Kepada Hati, Salah Tapi Baik dan Mencari Cinta Sejati. Konsert ini juga membawa penonton menelusuri nostalgia bersama lagu-lagu malar segar seperti Harus Terpisah dan Kekasih Bayangan. Gabungan tembang lama dan baharu ini memberi peluang kepada semua generasi peminat untuk sama-sama menikmati keindahan vokal unik Cakra Khan secara langsung.

Permintaan tinggi daripada peminat di kedua-dua negara mendorong penganjuran konsert ini di Singapura dan Malaysia. Shirazdeen berkata bahawa mereka mahu memberikan pilihan kepada peminat sama ada untuk hadir di Singapura, di Malaysia, atau kedua-duanya. Bagi mereka yang ingin menikmati konsert di Singapura, ia akan berlangsung di The Star Theatre pada 18 Julai 2025. Manakala di Malaysia, konsert akan berlangsung pada 2 Ogos 2025 di Plenary Hall, Kuala Lumpur.

Cakra Khan sendiri menyatakan keterujaannya terhadap penganjuran konsert ini. Beliau berkata ringkas bahawa para peminat akan menikmati Divine Concert seperti mana beliau selalu menghargai sokongan mereka selama ini.

Untuk peminat di Singapura, tiket boleh dibeli menerusi laman web www.sistic.com.sg. Harga tiket bermula dari SGD128 sehingga SGD248 untuk pakej Meet & Greet. Manakala di Malaysia, tiket dijual melalui www.myticket.asia dengan harga bermula dari RM225 hingga RM1,295. Tiket kategori Silver dan Bronze di Kuala Lumpur telah pun habis terjual, menunjukkan betapa hangatnya sambutan peminat terhadap konsert ini.

Konsert ini turut mendapat sokongan daripada MyMusic Records, B.A.Z, INCORPGURU serta rakan media seperti TV3, TV9, Hot FM, Kool 101, Harian Metro, OH Bulan dan SAYS. Paparan visual dan promosi turut disokong oleh BigTree sebagai media billboard rasmi.

Divine Concert – Cakra Khan menjanjikan sebuah malam yang penuh magis, kenangan dan emosi. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah muzik ini. Sampai jumpa di Singapura dan Kuala Lumpur.