Peruncit barangan kelengkapan rumah terbesar Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Berhad atau MR D.I.Y., melancarkan satu inisiatif menarik bertajuk “Minta Maaf, MR D.I.Y. Terlalu Memanjakan Anda”. Kempen ini merupakan pendekatan kreatif MR D.I.Y. dalam mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan yang setia menyokong jenama ini sebagai destinasi pilihan barangan keperluan pada harga yang sentiasa berpatutan.
Berlangsung dari 9 hingga 11 Mei 2025, inisiatif ini membawakan pengalaman unik yang dikenali sebagai MANJA Land di MR D.I.Y. PLUS, Mid Valley Megamall. Ruang beli-belah tersebut diubah menjadi lokasi menenangkan dan menyeronokkan dengan pelbagai aktiviti santai serta sesi memanjakan diri, sekaligus menambah nilai kepada pengalaman membeli-belah pelanggan.
Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk bengkel interaktif, sesi urutan, perkhidmatan rias kuku, serta menikmati pelbagai snek dan kopi. Terdapat juga zon khas untuk kanak-kanak bagi memastikan keseronokan dirasai oleh seluruh keluarga sepanjang lawatan ke MANJA Land.
Menurut Naib Presiden Pemasaran Kumpulan MR D.I.Y., Alex Goh, jenama ini sentiasa berusaha mencipta ruang untuk menghargai pelanggannya. Beliau menyatakan bahawa kempen ini bukan sekadar promosi produk, tetapi lebih kepada membina hubungan dan memberikan pengalaman menyeluruh yang lebih bermakna. MANJA Land dilihat sebagai salah satu cara MR D.I.Y. mengucapkan terima kasih atas kesetiaan dan sokongan berterusan pelanggan mereka.
Tambah beliau lagi, harapan MR D.I.Y. adalah agar semua pengunjung berasa dihargai dan pulang dengan hati yang gembira. Dengan suasana yang ceria dan penuh keistimewaan, pelanggan pasti akan berasa lebih dihargai dan disayangi ketika berada di MANJA Land.
Untuk menyertai aktiviti-aktiviti menarik di MANJA Land, pengunjung hanya perlu ke Kaunter Penebusan MANJA. Mereka boleh mengumpul token melalui pembelian atau aktiviti media sosial, dan kemudiannya menebus pelbagai hadiah menarik.
Antara tarikan utama yang ditawarkan termasuk Manja Lab yang menyediakan bengkel seperti Analisis Warna Peribadi, Pembuatan Minyak Wangi dan Gubahan Bunga. Terdapat juga Manja Lounge dengan suasana santai lengkap bersama kopi barista dan bertih jagung, serta Interactive Corner yang menampilkan pelbagai aktiviti menyeronokkan seperti dinding foto dan roda hadiah.
Bagi yang hadir bersama anak-anak, Lil’ Manja merupakan zon khas kanak-kanak dengan aktiviti seperti Slime Play dan Spa Mini. Sementara itu, Manja Spa menyediakan sesi urutan tangan dan bahu dengan kerusi urut istimewa daripada ITSU, manakala Manja Fingers pula menawarkan perkhidmatan rias kuku selama 20 minit bagi memanjakan tangan pelanggan.
Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif “Minta Maaf, MR D.I.Y. Terlalu Memanjakan Anda” serta pengalaman istimewa di MANJA Land boleh melayari laman web rasmi mrdiy.com atau mrdiy.com.my, serta mengikuti MR D.I.Y. di Facebook, Instagram dan TikTok untuk sebarang kemas kini terkini.
