Petaling Jaya, 1 Mac 2025 – Menjadi seorang ibu adalah anugerah yang penuh dengan cabaran dan kegembiraan. Kini, penonton berpeluang menyelami kehidupan seorang ibu selebriti menerusi program istimewa, Oh Mummy!, yang menampilkan sisi peribadi Fasha Sandha bersama keluarganya. Program ini membawa penonton menyaksikan perjalanan harian Fasha sebagai ibu, dari tugasan biasa sehinggalah ke persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.

Dengan lima episod yang bakal bersiaran mulai 1 Mac 2025, setiap hari Sabtu jam 6.00 petang di TV3, Oh Mummy! juga boleh distrim secara langsung dalam kualiti HD melalui platform Tonton di www.tonton.com.my atau menerusi aplikasi Tonton yang tersedia di Google Play dan App Store.
Dalam program ini, peminat akan dapat melihat sendiri bagaimana Fasha mengimbangi kehidupan sebagai seorang ibu yang penyayang dan selebriti terkenal. Dari menghantar anak ke sekolah hingga merancang aktiviti hujung minggu, setiap episod dipenuhi dengan detik-detik istimewa dan penuh kasih sayang. Penonton turut berpeluang mengikuti perjalanan Fasha sekeluarga ke kampung halaman di Kangar untuk menghadiri kenduri keluarga yang sarat dengan nostalgia dan keakraban.

Menjelang Ramadan, suasana dalam rumah semakin meriah dengan pelbagai persiapan raya seperti membeli baju, membuat kuih, mengemas rumah, serta memasak hidangan istimewa seperti rendang. Setiap detik yang dikongsi dalam Oh Mummy! bukan sekadar hiburan, tetapi juga menggambarkan ikatan erat dalam keluarga serta kepentingan nilai kekeluargaan yang menjadi tunjang kebahagiaan.
Raikan Ramadan dengan penuh kehangatan bersama Oh Mummy! – program yang menampilkan kasih sayang ibu dan anak, keceriaan keluarga, serta momen-momen indah sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kehidupan sebenar seorang selebriti yang bergelar ibu, bersama keluarga tercinta yang menjadikan setiap momen lebih bermakna!
