Villa Marhaen – Kisah Kayangan dan Rakyat

monoloQue kembali membuka tirai muzik tahun ini dengan karya terbaharu berjudul Villa Marhaen (Mereka Vs Kami), sebuah lagu yang memancarkan realiti sosial melalui bingkai alegori puitis. Single ini turut menjadi pembuka jalan kepada album penuh ketiga monoloQue yang diberi nama Tunjuk Langit, yang bakal menemui pendengar pada tahun ini.

Terinspirasi daripada sajak ikonik Marhaenville karya Sasterawan Negara A. Samad Said, loQue sebagai arkitek utama di sebalik monoloQue memetik getar makna daripada puisi tersebut dan menyaringnya menjadi bentuk baharu bernama Villa Marhaen. Jika Marhaenville menyentuh sisi sarkastik masyarakat marhaen, Villa Marhaen pula menenun naratif tentang jurang sosial, pertembungan dua darjat, dan kisah tersirat antara kayangan dan rakyat. Ia bukan untuk menghukum, tetapi untuk membayangkan. Seperti kata loQue, “Villa Marhaen adalah alegori. Kita biarkan pendengar mentafsir, siapa makan cili dia yang rasa pedas.”

Dari segi bunyi, Villa Marhaen mengekalkan DNA eksperimental monoloQue dengan sentuhan baharu yang lebih berani. Irama padang pasir yang eksotik, ketukan drum berganda yang seakan ritualistik, gitar yang bergerak antara realisme dan surealisme, serta gema vokal yang seolah-olah mewakili suara rakyat yang jarang didengar, menjadikan karya ini lebih daripada sekadar lagu. Herda ‘Geroda’, pemain bass monoloQue, menyifatkan komposisi lagu ini mencabar namun membebaskan kerana loQue dilihat lebih “lepas”, bebas menumpahkan segala rasa tanpa batasan. Bakri ‘Halia’ Ismail, pemain dram, pula melihatnya sebagai sebuah karya yang lebih berjiwa rakyat kerana rentaknya lurus, mudah diikuti dan sesuai untuk dinyanyikan bersama khalayak. Sementara itu, Loko yang kembali sebagai dram senior dalam monoloQue, menyifatkan lagu ini sarat dengan kritikan sosial yang halus, namun tetap membawa DNA monoloQue yang dikenali sejak awal.

Keunikan Villa Marhaen turut diperkaya dengan suara latar kanak-kanak daripada Kumpulan Nasyid Farabi, yang menambah lapisan simbolik seolah-olah suara rakyat bermula sejak akar paling muda. Pemilihan judul Marhaen dengan imej Villa juga memberi nuansa pertembungan dua dunia – rakyat dengan elit – manakala sentuhan bunyi berakar dari Timur Tengah lahir secara organik daripada konsep judulnya sendiri.

Lebih daripada sekadar eksperimentasi bunyi, Villa Marhaen adalah satira sosial yang tenang tetapi menikam. Di sebalik melodi yang merdu dan harmoni yang kaya, terselit sindiran dan kiasan tentang realiti masyarakat. Lagu ini mengimbangi ruang antara fantasi dan realiti, antara ilusi kemewahan dan kebenaran rakyat. Seperti yang dipetik daripada liriknya, “Baca kontrak sebelum sign”, Villa Marhaen hadir bukan sekadar untuk didengar, tetapi untuk direnung, dicerna dan mungkin dipersoalkan.

Lagu ini menjadi pintu masuk kepada album penuh Tunjuk Langit, yang bakal menghidangkan pelbagai lorong bunyi daripada rentak joget dan dangdut, ke balada piano, eksperimen elektronik, hinggalah ke rasa rindu dendam dalam suasana perayaan. Album ini akan melanjutkan perjalanan monoloQue yang sentiasa menolak klise dan mencari bahasa muzik baharu untuk menyampaikan denyut nadi rakyat.

Ditubuhkan pada tahun 2009 oleh Khairil Ridzwan Anuar atau loQue, bekas gitaris Butterfingers, monoloQue sejak awal dikenali sebagai kumpulan yang berani dengan muzik eksperimental disulam lirik puitis. Lebih satu dekad kemudian, selepas pelbagai pertukaran anggota dan fasa pencarian bunyi, monoloQue kini lahir semula dengan “bunyi baru” pasca pandemik yang menggabungkan tenaga lama dan semangat baharu. Gabungan pemain seperti Dino ‘Tekukor’, RZQ, dan kemunculan semula Loko bersama loQue telah merombak landskap bunyi monoloQue, membuka jalan kepada sebuah era yang lebih segar dan tidak terikat.

Dengan Villa Marhaen, monoloQue sekali lagi membuktikan bahawa seni muzik boleh menjadi jendela tafsiran, lorong antara suara rakyat dan gema kuasa, antara kayangan yang penuh ilusi dan marhaen yang menanggung realiti.