Tag: #WALIExclusiveOneNightOnly

  • Wali Band Kembali Temui Peminat Malaysia Menerusi Konsert Exclusive One Night Only

    Wali Band Kembali Temui Peminat Malaysia Menerusi Konsert Exclusive One Night Only

    Kumpulan popular Indonesia, Wali Band bakal kembali menghiburkan peminat di Kuala Lumpur menerusi WALI Exclusive One Night Only yang akan berlangsung di Megastar Arena pada 21 November 2026.

    Dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture, konsert ini bakal membawa pengalaman istimewa buat peminat menerusi persembahan khas yang menampilkan lagu lagu popular Wali Band sepanjang perjalanan muzik mereka.

    Berbeza daripada persembahan berskala besar sebelum ini, konsert kali ini hanya dibuka kepada 5,000 penonton sahaja bagi memberikan pengalaman yang lebih eksklusif dan dekat bersama kumpulan muzik Indonesia tersebut.

    Dengan kapasiti penonton yang terhad, peminat berpeluang menikmati persembahan Wali Band dalam suasana yang lebih intim sambil menghayati lagu lagu yang telah menjadi sebahagian daripada kenangan mereka.

    Kehadiran Wali Band di Kuala Lumpur kali ini menyusuli kejayaan Konsert Wali Kembali yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 1 Mei 2026, yang menyaksikan hampir 12,000 peminat hadir menyaksikan persembahan kumpulan tersebut.

    Bagaimanapun, konsert tersebut merupakan penganjuran berasingan oleh pihak penganjur terdahulu, manakala WALI Exclusive One Night Only pada November ini dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Venture.

    Selain Kuala Lumpur, Wali Band turut dijadualkan menemui peminat menerusi WALI Live In JB yang akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di EduCity Complex, Johor Bahru.

    Menambahkan lagi tarikan konsert ini, penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif akan tampil sebagai artis undangan khas untuk membuka tirai persembahan sebelum Wali Band mengambil alih pentas utama.

    Kehadiran Najwa Latif bakal mempertemukan dua nama dari Malaysia dan Indonesia dalam sebuah persembahan yang sama, sekali gus memberikan pengalaman hiburan yang lebih menarik kepada penonton.

    Sepanjang perjalanan muzik mereka, Wali Band dikenali menerusi lagu lagu popular seperti Baik Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat.

    Lagu lagu tersebut terus menjadi pilihan peminat dan kekal sebagai antara karya yang sinonim dengan nama Wali Band di Malaysia.

    Tiket bagi WALI Exclusive One Night Only akan mula dijual pada 23 September 2026, jam 12.00 tengah hari menerusi www.myticket.asia.

    Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori termasuk CAT 1 Dik berharga RM182 untuk Free Standing, CAT 2 Baik Baik Sayang berharga RM482 untuk Numbered Seating, CAT 3 Doaku Untukmu Sayang berharga RM322 untuk Numbered Seating, CAT 4 Tobat berharga RM252 untuk Numbered Seating, VIP Berkah berharga RM782 untuk Numbered Seating dan VVIP Cari Jodoh berharga RM2,222 untuk Numbered Seating.

    Dengan sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi, WALI Exclusive One Night Only bakal menjadi peluang buat peminat menikmati semula lagu lagu popular Wali Band secara langsung di atas pentas.