Peminat muzik tempatan bakal disajikan dengan sebuah festival berskala besar apabila Ultra Kalcer Malaysia 2026 menghimpunkan 19 artis terkenal dari Malaysia dan Indonesia untuk dua malam penuh persembahan di KL Festival Park, Kuala Lumpur pada 7 dan 8 November 2026.
Dianjurkan oleh Neptunes Presents, festival ini menampilkan gabungan artis popular serantau yang membawa pelbagai genre dan warna muzik, sekali gus meraikan hubungan kreatif antara dua negara menerusi industri hiburan.

Antara artis Indonesia yang bakal tampil ialah diva terkenal Kris Dayanti, selain persembahan daripada Naykilla, Barasuara, Biru Baru, Pamungkas, Sal Priadi, Danilla, Good Morning Everyone, Lomba Sihir, Rumah Sakit, Hindia, Romantic Echoes dan The Moonlight Knights.
Barisan artis Malaysia pula akan diwakili oleh Okirama, Dukes, The Alif, Belia Benci Club, Citykops dan Rangkaian Fugo yang bakal membawa karya tempatan ke pentas festival tersebut.
Jurucakap penganjur Neptunes Presents, Nabila Huda Suhaimi berkata, pihaknya berbangga dapat menganjurkan sebuah festival yang mempertemukan bakat terbaik dari Malaysia dan Indonesia.
Menurut beliau, pasukan produksi telah berusaha memilih barisan artis yang mempunyai pengaruh besar serta mempunyai hubungan kuat dengan peminat di kedua-dua negara.
Setiap artis yang terlibat kini sedang membuat persiapan bagi memastikan persembahan terbaik buat pengunjung, manakala senarai lagu yang bakal dipersembahkan masih dirahsiakan sehingga acara berlangsung.
Ultra Kalcer Malaysia 2026 akan berlangsung di KL Festival Park, Kuala Lumpur, sebuah lokasi strategik yang mampu menampung kapasiti lebih 20,000 penonton pada satu-satu masa.
Tiket festival ini telah mula dijual sejak 4 September 2026 menerusi platform rasmi BBO Events untuk peminat yang ingin menyaksikan sendiri gabungan muzik Malaysia dan Indonesia dalam satu pentas.
Sebelum ini, Neptunes Presents turut terlibat dalam penganjuran Festival Muzik Nyalafest pada 2024 yang menampilkan beberapa artis popular dari Malaysia dan Indonesia.
Dengan gabungan artis ternama, suasana festival yang meriah serta kekuatan muzik Nusantara, Ultra Kalcer Malaysia 2026 dijangka menjadi antara acara hiburan paling dinantikan tahun ini.
