TV AlHijrah terus melangkah maju dalam memperkukuh operasi penyiarannya dengan melancarkan 15 buah kenderaan baharu dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di ibu pejabat stesen tersebut hari ini. Majlis pelepasan ini disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Tuan Haji Namanzee Harris, barisan Ahli Lembaga Pengarah (ALP), Pengarah JAWI, serta warga kerja stesen.
Langkah strategik ini merupakan sebahagian daripada penstrukturan semula aset operasi TV AlHijrah, yang sebelum ini bergantung kepada kenderaan lama sejak penubuhan stesen lebih satu dekad lalu. Kenderaan-kenderaan sedia ada yang sudah usang seringkali menimbulkan kesukaran, khususnya dalam tugasan luar dan keperluan teknikal di lapangan.
Menurut Tuan Haji Namanzee Harris, pelancaran ini bukan sekadar soal menaik taraf logistik, tetapi mencerminkan hala tuju baharu TV AlHijrah dalam memperkukuh kedudukan sebagai penyiar Islam yang berdaya saing. “Kenderaan ini melambangkan semangat baharu kami untuk bergerak lebih efisien, profesional dan kompetitif. Ia selari dengan transformasi menyeluruh yang sedang dilaksanakan dalam aspek nilai, penyampaian dan visi kami,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan bahawa langkah ini turut menyokong usaha penjenamaan semula TV AlHijrah yang kini memberi fokus kepada profesionalisme, inovasi serta penyampaian mesej Islam yang progresif dan inklusif untuk seluruh lapisan masyarakat.

Kenderaan-kenderaan ini akan digunakan oleh jabatan-jabatan utama seperti Jabatan Berita dan Editorial, Jabatan Kandungan serta Unit Teknikal. Kesemua jabatan ini memainkan peranan penting dalam menjana kandungan berkualiti tinggi dan menyampaikannya ke serata pelosok negara.
Selain tugasan penyiaran harian, aset baharu ini juga bakal dimanfaatkan dalam program-program turun padang yang melibatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui inisiatif Hijrah Prihatin. Ini termasuk misi bantuan bencana, kerja-kerja kemasyarakatan serta projek kemanusiaan yang menyantuni masyarakat akar umbi secara langsung.
Inisiatif ini juga dijangka dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dalam jangka masa panjang serta meningkatkan kecekapan pergerakan luar, terutamanya dalam musim-musim penting seperti Ramadan, Syawal dan ketika berlakunya bencana alam.
Menariknya, semua kenderaan baharu ini tampil dengan rekaan identiti korporat TV AlHijrah yang lebih segar, moden dan profesional – mencerminkan aspirasi stesen sebagai sebuah entiti penyiaran Islam yang unggul, responsif dan dipercayai.
Majlis ini turut memperlihatkan semangat kebersamaan dan komitmen seluruh warga TV AlHijrah dalam mendokong misi untuk menjadi model penyiaran Islam yang bukan sahaja berpengaruh di Malaysia, tetapi juga di pentas antarabangsa dunia Islam.
