Tag: #TVALHIJRAH

  • Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani

    Dengan melancarkan realiti TV realiti berjudul Pentas Marhaban, TV AlHijrah meningkatkan kedudukan stesen itu sebagai agen penggerak dakwah di platform penyiaran.

    Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan realiti TV Islamik bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

    Bercerita mengenai buah tangan terbaru TV AlHijrah, Namanzee Harris selaku Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata, TV AlHijrah senantiasa memposisikan kedudukannya sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya.

    “Selepas kejayaan rancangan realiti Hijrahkan Laguku pada tahun 2021 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 1.7 juta penonton  dan rancangan realiti Akademi Qurra’ pada tahun 2022 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 4.4 juta penonton,  TV AlHijrah perlu konsisten menghidangkan rancangan hiburan kekeluargaan mengikut syarak.

    “Tambah pula, baru-baru ini mengikut laporan data AC Nielson, TV AlHijrah terus memenangi hati penonton apabila berjaya melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran (channel share) sehingga menduduki tangga lima teratas (top five) stesen tv terbaik di Malaysia sekaligus mengatasi saluran hiburan di negara ini.

    “Kejayaan ini adalah penanda aras buat stesen tv kami untuk terus berjuang mengangkat martabat program-program yang bersifat spiritual dan Islamik ke mata dunia, insya-Allah. Peningkatan yang baik ini juga adalah petanda baik bahawa rancangan Pentas Marhaban yang akan diterbit dan disiar secara langsung ini bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran.

    Dalam pada itu, Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah merupakan satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke kaca televisyen dan seluruh medium penyiaran sebagai program realiti.

    “Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak. Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal,” jelas Namanzee.

    “Pentas Marhaban akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 11 November akan datang,” katanya lagi.

    Tambah beliau, Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, dan dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’  musim pertama, Tilmiz Fahmi.

    Ustaz Husaini Mahmur, qari negara yang juga merupakan qari bagi rancangan Quran@114 di TV AlHijrah akan bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, serta diadili dua  juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus. Tidak dilupakan juga sesi penjurian daripada juri jemputan mingguan.

    Sewaktu ditebak mengenai peserta-peserta yang akan bersaing di Pentas Marhaban, beliau berkata, sebanyak dua belas kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW  serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

    “Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Suka saya kongsikan, kesemua dua belas kumpulan bukan berada di sini semata-mata untuk merebut gelaran juara. Namun apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil,” katanya.

    “Dua belas kumpulan tersebut adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee,” tuturnya menutup bicara.

    TV AlHijrah berkeyakinan bahawa Pentas Marhaban yang diterbitkan secara kreatif, bersifat malar segar, sesuai dengan selera dan penerimaan masyarakat mampu melahirkan masyarakat penonton yang berjiwa tauhid dalam kerangka dan batas syariat.

    Maklumat lanjut serta perkembangan terkini rancangan Pentas Marhaban  boleh didapati di laman sesawang TV AlHijrah, laman media sosial TV AlHijrah, portal Alhijrahnews.com serta portal HBIT.my.

  • MAULIDUR RASUL: MENCINTAI RASULULLAH BERSAMA-SAMA TV AL-HIJRAH.

    Salah satu cara orang Islam menunjukkan cinta dan kasih mereka kepada Nabi Muhammad SAW ialah menyambut Maulidur Rasul. Kelahiran Baginda Nabi Muhammad menjadi simbol kesempurnaan agama Islam, yang menggalakkan kasih sayang, anti-kekerasan dan rahmat kepada semua makhluk.

    Bersempena kelahiran Nabi Muhammad SAW, TV AlHijrah bakal menayangkan enam program istimewa iaitu Cinta Ilmu Maulidur Rasul, Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul, Peristiwa Maulid, Dakwah Live Maulid, Hijrah Berselawat Maulidur Rasul dan Ketika Cinta Bertasbih 2.

    Memulakan siaran, Cinta Ilmu, sebuah program pengajian berkitab akan menemui penonton pada setiap Isnin hingga Rabu, mula jam 7.30 malam dan tamat pada jam 8 malam. Untuk minggu Maulidur Rasul kali ini, tiga segmen istimewa telah disusun khas buat penonton. Segmen pertama iaitu segmen Islam membincangkan sifat wajib dan sifat kemanusiaan rasul. Untuk segmen kedua iaitu segmen Iman pula akan berkongsi cerita tentang perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW. Terakhir, segmen ketiga iaitu segmen Ihsan akan memfokuskan topik makna cinta kepada Allah. Untuk perkongsian lebih terperinci, saksikan Cinta Ilmu Khas Maulidur Rasul pada 25 September 2023, jam 7.30 malam di TV AlHijrah.

    Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul pula akan menemani penonton pada Khamis 28 September 2023 pada jam 7 pagi. Assalamualaikum Khas Maulidur Rasul akan membawa penonton untuk mengenali dan memahami sunnah-sunnah yang dilakukan oleh Rasulullah dari sekecil-kecil perbuatan yang boleh dijadikan sebagai amalan harian dalam hidup kita. Turut diselitkan juga dalam program Assalamualaikum, siaran langsung sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan yang membawa tema “Perpaduan Teras Malaysia Madani”. 

    Sambutan Maulidur Rasul di TV AlHijrah kian menarik dengan tayangan program khas Maulidur Rasul berjudul Peristiwa Maulid.  Program yang berlangsung selama 60 minit ini akan menayangkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku di dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW. Objektif program ini adalah untuk memberikan iktibar kepada penonton menerusi kisah-kisah dan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah ketika diuji dengan pelbagai ujian daripada Allah SWT. Jadi, mari bersama-sama kita hayati perjuangan Nabi Muhammad SAW pada 28 September 2023, jam 9 malam dengan penampilan istimewa Habib Nael Ben Tahir.

    Seterusnya, Dakwah Live edisi istimewa Maulidur Rasul dihidangkan dengan kupasan topik kasih Rasulullah SAW terhadap umatnya meskipun baginda sudah lama meninggalkan dunia. Kuatnya kasih dan cinta Rasulullah terhadap umatnya masih dapat dirasai sehingga kini. Bersama-sama dengan pengacara Faizal Ismail, Ustazah Isfadiah dan pengacara bersama Wasiril Aswad serta undangan Prof Madya Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi membincangkan topik ini dengan lebih lanjut pada 27 September 2023, jam 9 malam.

    Istimewa, program Hijrah Berselawat juga akan bergema kembali dengan alunan selawat kepada junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. Selawat dan qasidah yang dialunkan bertujuan untuk menyampaikan kerinduan, kasih dan sayang kepada Rasulullah. Masih mengekalkan Ustaz Don Daniyal sebagai pentausiyah, namun kali ini Ustaz Don Daniyal ditemani oleh Ustaz Megat Mohd Zain, kumpulan InTeam, Ustaz Husaini, Amer Munawer, Azan Addin, Pot Amir, Naqiu dan adik Umar Razeeq. Sama-sama kita meriahkan program Hijrah Berselawat bersempena Maulidur Rasul pada 30 September 2023, jam 9 malam. 

    Bagi penggemar filem Indonesia, ayuh saksikan filem Ketika Cinta Bertasbih 2 pada 1 Oktober 2023, jam 9 malam. Filem ini mengisahkan tentang seorang pemuda bernama Azzam yang bergelut dalam mencari kerja usai menamatkan pengajianya di Universiti Mesir. Kegusaran Azzam kian menebal apabila gadis yang dicintainya iaitu Anna bakal berkahwin dengan rakannya sendiri. Saksikan kesudahan perjalanan hidup Azzam dalam Filem Ketika Cinta Bertasbih 2.

    Kesemua rancangan istimewa Maulidur Rasul ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi digital AlHijrah Plus. Aplikasi digital AlHijrah Plus adalah platform alternatif untuk para penonton menonton rancangan hiburan kekeluargaan di stesen TV AlHijrah walau di mana jua mereka berada.

    Sekian.

  • BEST ISLAMIC TOURISM TV STATION DIRAIH OLEH TV ALHIJRAH.

    Pada 13 sehingga 15 September 2023 bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, akan berlangsungnya Persidangan dan Pameran Haji, Umrah dan Pelancongan Islam Asia (AITEX) 2023. Ekspo juga diadakan di Sunway Hotel Resort dan Sunway Pyramid Convention Centre.

    Pelbagai acara telah disusun sepanjang tiga hari tersebut. Kemuncaknya adalah acara anugerah The World Islamic Tourism Award (WITA 2023) yang telah di adakan Sunway Resort Hotel, Selangor. Malam anugerah dilaksanakan bertujuan untuk mengangkat dan menghargai jasa pemain industri pelancongan untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

    TV AlHijrah selaku stesen televisyen yang memperjuangkan gaya hidup Islam telah dinobatkan sebagai pemenang anugerah khas bagi kategori Best Islamic Tourism TV Station. 

    Majlis penyampaian anugerah itu telah disempurnakan oleh Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din dan disaksikan oleh Presiden Persatuan Agensi Pelancongan, Datuk Dr Mohd Khalid Harun. Anugerah disampaikan kepada kepada Pegawai Khas Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Salehhuddin Jurimi yang hadir mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris.

    Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris sewaktu ditebak tentang kejayaan anugerah ini berkata, pengiktirafan bertaraf global itu dibuat oleh panel juri yang sangat mahir dan berpengalaman luas bagi menentukan kriteria pemilihan pemenang.

    “Pihak penganjur sepandapat bahawa TV AlHijrah sentiasa cakna tentang keperluan menyokong industri pelancongan negara. Kita terbitkan dan siarkan banyak program-program yang menyokong industri pelancongan Islam. Tidak dinafikan, industri ini banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

    “Kemanisan kejayaan ini saya tujukan khas kepada kakitangan TV AlHijrah yang sentiasa dedikasi dan komited dalam menjalankan tugas mereka sehingga berjaya mengharumkan nama baik TV AlHijrah ke persada antarabangsa.

    “Kejayaan ini menjadi pembakar semangat kepada TV AlHijrah dalam melaksanakan gerak kerja dakwah kontemporari dengan istiqamah.  Penghargaan turut saya zahirkan kepada barisan asatizah yang selama ini sentiasa bersama-sama TV AlHijrah.

    “Penganugerahan ini pastinya membantu TV AlHijrah melonjak pada tahap yang lebih tinggi dan mencapai lebih banyak kejayaan di masa hadapan selari dengan visi kami iaitu sesuai dan relavan untuk masyarakat tempatan dan antarabangsa,” kata Namanzee.

    Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurus Kanan Kumpulan Integrasi Media dan Hal Ehwal Korporat TV AlHijrah, Saifulizan Sidek. Hadir sama meraikan kejayaan TV AlHijrah, Mohd Ashrudy Borhan, Pengurus Jabatan Penerbitan dan Zulkarnaen Mokhtar, Pengurus Penjenamaan dan Kajian Pengguna TV AlHijrah.

    Sekian.