Tag: #TontonOriginalSeries

  • BRU: MASIN & MANIS TAMPIL DENGAN KISAH DAN CITA RASA BAHARU

    KUALA LUMPUR, 13 Julai 2026 — Kejayaan luar biasa Tonton Original Series: BRU yang mencatat lebih 244 juta capaian dan 14 juta tontonan membuktikan sambutan hangat penonton terhadap kisah yang mengetengahkan dunia kopi. Siri berkenaan turut mencipta pencapaian tersendiri apabila diiktiraf sebagai National Winner bagi kategori Best Original Production by a Streamer (Fiction) di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2025.

    Meneruskan kejayaan tersebut, BRU: Masin & Manis hadir sebagai kesinambungan baharu yang membawa penonton mengikuti perjalanan Mohsin, lakonan Imranul Effendy, seorang barista berbakat yang berdepan cabaran besar apabila gangguan keresahan mula mengganggu impiannya untuk menjuarai pertandingan barista berprestij.

    Dalam usaha membina semula keyakinan diri, Mohsin mengambil keputusan untuk berhijrah ke sebuah kampung. Di sana, dia bertemu dengan Manis yang dilakonkan Ellyza Azizi, dan pertemuan tersebut membuka lembaran baharu dalam hidupnya. Kehadiran Manis bukan sahaja memberi warna kepada perjalanan Mohsin, malah membantu menghidupkan kembali semangatnya terhadap kopi serta cara dia berhubung dengan orang di sekeliling.

    Daripada pengalaman tersebut, lahirnya Salted Series yang menjadi antara elemen penting dalam perkembangan jalan cerita BRU: Masin & Manis. Konsep berkenaan turut menjadi penghubung antara kisah dalam siri dengan pengalaman sebenar penonton menerusi kolaborasi yang diperkenalkan bersama HWC COFFEE.

    Menggabungkan elemen drama ringan, komedi dan kisah kehidupan seharian, BRU: Masin & Manis diterbitkan dalam format drama vertikal yang mengandungi 45 episod. Setiap episod berdurasi sekitar dua hingga tiga minit dan bakal menemui penonton bermula 22 Julai 2026, dengan episod baharu disiarkan setiap hari Rabu secara eksklusif di Tonton.

    Siri ini menampilkan Imranul Effendy dan Ellyza Azizi sebagai peneraju utama, selain penampilan istimewa Siti Hariesa yang kembali membawa wataknya daripada musim pertama BRU. Kehadirannya sebagai cameo dengan memegang peranan sebagai majikan kepada Mohsin turut menghubungkan kesinambungan antara dunia BRU terdahulu dengan kisah baharu yang diketengahkan.

    Bersempena pelancaran BRU: Masin & Manis, Tonton turut menjalinkan kerjasama dengan HWC COFFEE untuk membawa pengalaman siri tersebut keluar daripada skrin. Menerusi kolaborasi itu, peminat berpeluang menikmati tiga menu eksklusif yang diinspirasikan daripada kisah dan elemen Salted Series dalam siri berkenaan.

    Tiga minuman edisi terhad tersebut ialah Salted Spanish Latte, Salted Hazelnut Cocoa Latte dan Salted Matcha Latte. Kesemua menu berkenaan mula ditawarkan di cawangan HWC COFFEE yang mengambil bahagian bermula 6 Julai 2026, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk merasai sendiri cita rasa yang diinspirasikan daripada dunia BRU: Masin & Manis.

    Menurut penerbit BRU: Masin & Manis, Nik Amir Mustapha, kopi sejak awal lagi bukan sekadar menjadi prop dalam siri tersebut, sebaliknya berfungsi sebagai medium yang menyatukan watak serta perjalanan mereka. Kerjasama bersama HWC COFFEE pula dilihat sebagai peluang untuk membawa pengalaman tersebut ke dunia nyata supaya penonton bukan sahaja dapat mengikuti jalan cerita, malah turut merasai inspirasi di sebalik Salted Series.

    Beliau turut berharap kolaborasi berkenaan dapat membuka ruang lebih luas antara dunia penceritaan dengan pengalaman sebenar penonton. Pada masa sama, setiap elemen yang diketengahkan dalam drama itu diharapkan dapat terasa lebih dekat, hidup dan boleh dinikmati di luar skrin.

    Dengan kesinambungan kisah, barisan pelakon serta pendekatan penceritaan yang lebih ringkas menerusi format vertikal, BRU: Masin & Manis dijangka memberikan pengalaman baharu kepada peminat siri berkenaan. Penonton boleh mengikuti kisah Mohsin dan Manis bermula 22 Julai 2026, dengan episod baharu setiap hari Rabu hanya di Tonton.

    Dalam masa sama, peminat juga boleh menikmati Salted Spanish Latte, Salted Hazelnut Cocoa Latte dan Salted Matcha Latte di cawangan HWC COFFEE yang mengambil bahagian sebagai sebahagian daripada pengalaman BRU: Masin & Manis di luar skrin.

  • EMMA MAEMBONG KONGSI PENGALAMAN MAKAN DAGING MENTAH? MENYERAMKAN!

    EMMA MAEMBONG KONGSI PENGALAMAN MAKAN DAGING MENTAH? MENYERAMKAN!

    Teaser ringkas drama seram Santau Perempuan Terlarang yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini telah mencuri perhatian warganet, dengan satu dialog, “Aku akan mencari dan terus mencari keturunanmu,” berjaya menimbulkan rasa seram dan membuat penonton tidak sabar untuk menonton episod penuh. Salah satu babak paling mencuri tumpuan menampilkan watak Sapora lakonan Emma Maembong yang dilihat meratah daging mentah, dipercayai sebagai sebahagian daripada ritual ilmu sihir demi memenuhi permintaan Iqbal, lakonan Nabil Aqil. Reaksi penonton pula sangat meriah, ada yang terus bertanya tentang waktu tayangan seterusnya, malah ramai yang memuji keberanian paparan babak-babak seram serta persembahan mantap Emma Maembong yang semakin menyerlah.

    Drama ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Emma Maembong, Nabil Aqil, Fadlan Hazim, Farid Kamil, Hanna Qeela, Azri Iskandar, Marc Sadique dan Amin Iman. Santau Perempuan Terlarang menjanjikan penceritaan penuh misteri, seram psikologi, serta konflik yang dekat dengan kepercayaan masyarakat, sambil mengetengahkan persoalan mendalam: apakah harga sebenar yang perlu dibayar apabila seseorang sanggup menggadaikan diri demi sebuah hajat? Penonton boleh menyelami kisah gelap ini setiap Isnin dan Khamis, eksklusif di platform Tonton.

  • Erma Fatima Dedah Realiti Gelap di Sebalik Cinta dalam Toksik Cinta

    Erma Fatima Dedah Realiti Gelap di Sebalik Cinta dalam Toksik Cinta

    Di sebalik indahnya cinta, terkadang tersembunyi racun yang tidak terlihat oleh mata. Itulah inti kisah yang diangkat menerusi Tonton Original Series berjudul Toksik Cinta, sebuah naskhah terbaharu di platform Tonton yang membongkar sisi gelap cinta dalam dunia glamor hiburan. Drama arahan Pali Yahya dengan skrip oleh Erma Fatima ini menghadirkan gabungan elemen melodrama, thriller rumah tangga dan jenayah yang sarat dengan emosi dan permainan psikologi mendalam.

    Selepas kejayaan drama Keluarga Itu, Erma Fatima kembali dengan karya yang memperlihatkan kematangan dan keberaniannya sebagai penulis serta penerbit. Dalam Toksik Cinta, beliau menyelami sisi gelap psikologi manusia dan menyingkap bagaimana cinta yang pada awalnya indah boleh bertukar menjadi racun apabila diresapi oleh obsesi dan keinginan untuk memiliki sepenuhnya. Gaya penceritaan yang sarat emosi serta realiti kehidupan yang sering menjadi identiti karya Erma menjadikan naskhah ini lebih daripada sekadar kisah cinta, sebaliknya satu renungan terhadap sifat manusia yang kompleks.

    Barisan pelakon hebat seperti Riena Diana, Aqasha, Keith Foo, Cristina Suzanne, Dayang Areeda, Ruzana Ibrahim, Tony Eusoff, Esma Daniel dan Izzue Islam menghidupkan kisah ini dengan penuh intensiti. Drama bersiri 30 episod ini bakal menemui penonton mulai 27 Oktober 2025 secara eksklusif di Tonton. Setiap episod dijanjikan membawa penonton ke dalam dunia cinta yang penuh tipu daya, dendam dan kebenaran yang kabur antara mangsa dan pemangsa.

    Kisah bermula dengan Alfi, lakonan Aqasha, seorang pengarah filem terkenal yang jatuh cinta dengan Karmila, watak yang dilakonkan oleh Riena Diana, seorang pempengaruh dan pelakon muda yang semakin meningkat naik. Percintaan mereka bermula indah dan berakhir di jinjang pelamin, namun kebahagiaan itu tidak kekal lama apabila Karmila memfailkan penceraian setelah mendakwa dirinya menjadi mangsa penderaan. Dibantu oleh peguamnya, Amsyar, lakonan Keith Foo, Karmila membawa kes tersebut ke mahkamah dan membuka kisah sebenar yang dipenuhi rahsia, manipulasi dan permainan emosi.

    Riena Diana ketika ditanya mengenai wataknya berkata bahawa membawa karakter Karmila bukan sesuatu yang mudah kerana watak itu dibentuk oleh pengalaman hidup yang penuh luka. Menurutnya, Karmila bukan sekadar wanita yang keliru tetapi seseorang yang pernah dikhianati dan teraniaya, menjadikan dirinya kuat di luar namun rapuh di dalam. Bagi Riena, Toksik Cinta adalah perjalanan emosi seorang wanita yang berusaha memahami cinta, luka silam dan kekuatan untuk terus bertahan.

    Toksik Cinta bukan hanya sekadar kisah rumah tangga yang retak, tetapi turut mencerminkan realiti sosial yang jarang dibicarakan. Ia menggambarkan bagaimana kasih boleh berubah menjadi beban apabila dikuasai oleh ego, dendam dan obsesi. Penonton dibawa menilai semula konsep cinta sejati dan melihat bagaimana batas antara kasih dan kawalan, antara sayang dan keinginan memiliki, boleh menjadi kabur hingga menghancurkan kehidupan dua insan.

    Sebagai pelengkap pengalaman menonton, Tonton turut memperkenalkan tawaran istimewa menerusi langganan TontonUp selama tiga bulan. Pelanggan berpeluang menikmati ganjaran eksklusif melalui Tonton Rewards, termasuk baucar diskaun Pizza Hut bernilai RM20 dan baucar Baskin-Robbins bernilai RM10. Tawaran ini membolehkan penonton menikmati hiburan berkualiti sambil menikmati ganjaran menarik sepanjang tempoh langganan.

    Saksikan Tonton Original Series Toksik Cinta bermula 27 Oktober 2025, eksklusif hanya di Tonton. Ikuti perkembangan terkini drama ini serta rancangan menarik lain melalui media sosial rasmi Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram @tontonmy.