Tag: #TontonOriginal

  • Dibesarkan Dengan Kasih Sayang, Apa Yang Sebenarnya Terjadi Pada Puteri Balqis?

    Dibesarkan Dengan Kasih Sayang, Apa Yang Sebenarnya Terjadi Pada Puteri Balqis?

    Kuala Lumpur, 9 Mac 2026 – Hubungan antara ibu bapa dan anak sering kali dipenuhi kasih sayang, harapan serta doa yang tidak pernah putus. Namun, apabila seorang anak mula melangkah jauh daripada nilai yang membesarkannya, persoalan tentang di mana silapnya didikan mula timbul. Tema inilah yang diketengahkan dalam siri terbaharu Anugerah Tanpa Cahaya, sebuah Tonton Original Series yang menyelami sisi rapuh hubungan keluarga serta pilihan hidup yang boleh membawa padah. Drama 10 episod arahan Amor Rizan ini menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Puteri Balqis, Azhan Rani, Amyza Aznan, Zairi Aziz dan Hafeez Mikail. Siri ini mula bersiaran pada 16 Mac 2026 dengan episod baharu setiap Isnin dan Selasa, jam 12.00 tengah malam.

    Kisahnya bermula apabila Bahar dan Tijah menemui seorang bayi yang ditinggalkan di hadapan rumah mereka. Bayi tersebut dibesarkan dengan penuh kasih sayang sebagai anak angkat dan diberi nama Husna. Dalam lakonan yang penuh emosi oleh Puteri Balqis, Husna menjadi pusat perhatian Bahar yang terlalu memanjakannya sejak kecil. Namun, keadaan mula berubah apabila Husna meningkat remaja dan mula memberontak, sering ponteng sekolah serta melakukan pelbagai kesalahan kerana keinginannya untuk keluar daripada kehidupan serba sederhana yang dirasainya.

    Pergolakan emosi semakin memuncak apabila Husna mengambil keputusan melarikan diri dari rumah dan terjebak dalam hubungan dengan Zafran, seorang lelaki yang mempunyai sisi gelap dalam hidupnya. Keputusan itu secara tidak langsung menjauhkan Husna daripada keluarga yang telah membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Konflik ini membuka ruang kepada penonton untuk menyelami persoalan tentang kasih, pengorbanan dan pencarian identiti diri yang sering dilalui oleh remaja.

    Menurut Puteri Balqis, watak Husna bukanlah seorang remaja yang sememangnya bermasalah, sebaliknya seorang anak biasa yang sedang berusaha memahami dunia di sekelilingnya. Proses mencari jati diri sering dipenuhi kesilapan dan pilihan yang sukar, namun daripada pengalaman itulah seseorang belajar untuk bangkit dan menyedari nilai sebenar kehidupan. Dengan jalan cerita yang sarat emosi serta mesej kekeluargaan yang mendalam, Anugerah Tanpa Cahaya dijangka memberi kesan kepada penonton, khususnya sepanjang bulan Ramadan apabila nilai kasih sayang dan pengampunan menjadi lebih bermakna.

    Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti akaun rasmi Tonton di Facebook, X, TikTok dan Instagram @tontonmy.

  • DI SEBALIK PERUBAHAN: AZIRA SHAFINAZ & DAIYAN TRISHA TERPALIT ISU PENYELEWENGAN DANA KEBAJIKAN

    DI SEBALIK PERUBAHAN: AZIRA SHAFINAZ & DAIYAN TRISHA TERPALIT ISU PENYELEWENGAN DANA KEBAJIKAN

    Apabila agama dijadikan alat manipulasi dan kepercayaan diperdagangkan demi kepentingan peribadi, kebenaran sering menjadi mangsa paling awal. Bermula 22 Januari 2026, siri jenayah Di Sebalik Jubah membawa penonton menyelami sisi gelap dunia kebajikan menerusi lapan episod penuh ketegangan yang disiarkan secara eksklusif di Tonton setiap Isnin dan Khamis. Siri ini mengangkat persoalan sensitif tentang penyalahgunaan imej kesucian, pengaruh media sosial dan kepercayaan awam dalam konteks masyarakat moden.

    Di Sebalik Jubah memfokuskan kisah dua beradik pempengaruh Islamik, Layla lakonan Azira Shafinaz dan Amina yang dibawakan oleh Daiyan Trisha, yang dipuja ramai sebagai simbol kebaikan dan keikhlasan. Dengan penampilan berjubah serta aura keagamaan, mereka mengetuai Laymina Shares, sebuah yayasan kebajikan yang berjaya mengumpul dana besar hasil kepercayaan masyarakat dan sokongan ribuan pengikut setia. Namun di sebalik imej murni itu, timbul persoalan apabila sebahagian sumbangan tidak sampai kepada golongan sasaran, sebaliknya diseleweng untuk kepentingan peribadi.

    Kecurigaan mula timbul menerusi watak Rashid lakonan Nafiz Muaz, seorang dermawan muda yang pada awalnya mengagumi perjuangan mereka sebelum mula mempersoalkan ketelusan projek kebajikan yang dijalankan. Dengan bantuannya, satu demi satu rahsia terbongkar, sekali gus menguji kepercayaan orang ramai serta hubungan dua beradik itu apabila kebenaran semakin sukar disembunyikan. Konflik yang tercetus bukan sahaja melibatkan isu penyelewengan dana, malah memperlihatkan pertarungan antara imej, kuasa dan nilai sebenar keikhlasan.

    Menurut Daiyan Trisha, watak Amina mencerminkan dilema moral yang sering berlaku dalam realiti hari ini, apabila seseorang terperangkap antara kesetiaan terhadap keluarga dan kesedaran bahawa sesuatu yang dilakukan adalah salah. Elemen inilah yang menjadikan Di Sebalik Jubah sebuah naskhah yang relevan dan mencabar pemikiran, kerana ia mengupas bagaimana pengaruh dan populariti mampu membentuk keputusan yang sepatutnya berpaksikan nilai dan kebenaran.

    Lebih daripada sekadar hiburan, Di Sebalik Jubah mengajak penonton merenung semula sejauh mana kepercayaan diberikan, siapa yang wajar dipercayai, dan bagaimana agama serta kebajikan boleh disalahgunakan jika tiada integriti. Saksikan siri yang mengupas pengkhianatan kepercayaan, agenda tersembunyi dan konflik kasih sayang keluarga ini secara eksklusif di Tonton.

    Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti kami di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.

  • First Lady Di Balik Senyuman Dan Keanggunan Tersimpan Rahsia Yang Mampu Meruntuhkan Sebuah Empayar Kuasa

    First Lady Di Balik Senyuman Dan Keanggunan Tersimpan Rahsia Yang Mampu Meruntuhkan Sebuah Empayar Kuasa

    Drama Korea terbaru berjudul First Lady kini boleh distrim di Tonton, membawa penonton menyelami dunia kuasa, cinta dan pengkhianatan yang sarat dengan emosi dan konflik. Naskhah ini bukan sekadar kisah tentang kedudukan dan status, tetapi juga tentang harga sebuah cinta, pengorbanan, serta perjuangan seorang wanita yang terperangkap dalam permainan politik yang penuh tipu daya.

    Dengan sinematografi yang memukau dan jalan cerita yang semakin memuncak di setiap episod, First Lady membuka tirai kepada dunia istana presiden yang mewah di luar, tetapi sarat dengan rahsia gelap, dendam dan cinta yang semakin retak di dalamnya.

    Kisahnya bermula dengan Hyun Min-Cheol, lakonan Ji Hyun Woo, seorang lelaki yang membesar di rumah anak yatim dan menempuh pelbagai dugaan dalam hidupnya. Dengan semangat yang kuat dan kerja keras yang tiada henti, dia berjaya menukar nasibnya hingga akhirnya dinobatkan sebagai Presiden terpilih Korea Selatan. Di sisi Min-Cheol ialah Cha Soo-Yeon, lakonan Eugene, seorang wanita tabah dan setia yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaannya, menantikan hari di mana dia diiktiraf sebagai First Lady – lambang cinta dan perjuangan mereka bersama.

    Namun, kebahagiaan yang dibina selama ini mula goyah apabila hanya tinggal 67 hari sebelum majlis perlantikan, Min-Cheol membuat keputusan mengejutkan untuk menamatkan perkahwinan mereka. Keputusan itu bukan sahaja menggegarkan hubungan mereka, malah membuka kembali rahsia gelap yang telah lama disembunyikan di balik wajah bahagia dan kehidupan penuh glamor itu.

    Dari luar, pasangan ini tampak sempurna, seolah-olah bersedia memimpin negara bersama. Namun di sebalik senyuman mereka tersimpan permainan kuasa dan pengkhianatan yang mampu menghancurkan segala-galanya. Soo-Yeon kini terpaksa berdepan dengan pilihan sukar antara mengalah demi takdir atau bangkit melawan demi maruah dan kebenaran.

    First Lady memadukan elemen melodrama politik dan thriller dengan kisah penuh emosi, misteri serta kejutan yang tidak disangka-sangka hingga ke penghujung. Setiap babak membawa penonton semakin dekat kepada persoalan utama sejauh mana cinta dan kuasa mampu bertahan apabila kepercayaan mula hancur.

    Drama ini kini boleh ditonton secara eksklusif di Tonton. Strim sekarang dan alami sendiri kisah di sebalik kuasa, cinta, dan pengkhianatan yang akan membuat penonton terus terpaku di depan skrin. Untuk maklumat lanjut tentang rancangan kegemaran anda, ikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram melalui akaun @tontonmy.

  • Antara Dua Hati: Dilema Isteri Pertama

    Antara Dua Hati: Dilema Isteri Pertama

    Poligami sering kali dijadikan solusi “halal” dalam menyelesaikan isu rumah tangga namun sejauh mana ia benar-benar membawa bahagia kepada semua pihak? Drama terbaharu, Seindah Hujan Cinta, membongkar sisi kelam institusi poligami, bukan dengan klise atau romantisme, tetapi melalui konflik emosi yang menyayat hati dan terlalu dekat dengan realiti.

    Mengisahkan Zarita (Nelydia Senrose), seorang isteri berdikari yang tidak mampu melahirkan zuriat. Demi cinta, dia merelakan suaminya, Wassim (Yusuf Bahrin), bernikah lagi lebih mengejutkan, dengan adik angkatnya sendiri, Aneesa (Ezzanie Jasny). Niat asal penuh pengorbanan ini akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila restu Zarita bertukar menjadi cemburu yang membinasakan.

    Di hadapan, Zarita kekal manis dan tenang. Namun di belakang, helah dan manipulasi perlahan-lahan menggugat keharmonian rumah tangga. Dia tidak mampu menerima kehadiran Aneesa yang suatu ketika dulu disanjung sebagai “penyelamat”, kini dianggap sebagai “perampas”.

    Keadaan menjadi lebih parah apabila Umi (Norma Damanhuri), ibu mertua yang menyimpan dendam, menolak mentah-mentah kehadiran Aneesa dan sanggup merancang pelbagai onar. Aneesa tersepit bukan sahaja antara dua hati, malah dua musuh dalam satu rumah. Sementara itu, Wassim pula gagal menjadi lelaki yang adil, hanya hadir untuk Aneesa saat memerlukan, dan sering memihak kepada isteri pertamanya.

    “Sindrom Isteri Pertama” inilah gambaran sebenar yang dipaparkan dalam drama ini. Cemburu, manipulasi, tekanan emosi, dan ketidakadilan menjadi racun dalam perkahwinan yang kononnya berlandaskan kasih sayang dan restu.

    Seindah Hujan Cinta bukan sekadar kisah cinta tiga segi. Ia membuka mata penonton tentang beban emosi wanita yang tersisih, realiti pahit bermadu, dan kegagalan lelaki dalam memainkan peranan sebenar sebagai pemimpin adil dalam poligami.

    Adakah keikhlasan mampu bertahan apabila kasih mula berbelah bahagi? Sampai bila madu boleh berpura-pura manis, sedangkan luka kian dalam?

    Saksikan kesudahannya dalam Seindah Hujan Cinta, eksklusif di Tonton setiap Isnin hingga Khamis. Strim dan muat turun serendah RM9.90! Ikuti @tontonmy untuk info terkini dan sertai perbualan menggunakan #SeindahHujanCinta #TontonOriginal #DramaPoligami

  • Dari Rider Menjadi Raja! Raja Naga Membawa Aksi Luar Biasa Deepavali Ini

    Dari Rider Menjadi Raja! Raja Naga Membawa Aksi Luar Biasa Deepavali Ini

    Apabila desakan hidup menghimpit, keberanian sering kali menjadi penyelamat. Itulah tema yang diketengahkan dalam filem terbaharu Tonton Original, Raja Naga. Karya ini menggabungkan elemen thriller dan mistik sambil menghiasi penceritaannya dengan keunikan budaya masyarakat tempatan, menggambarkan realiti kehidupan yang penuh cabaran dan harapan.

    Diarahkan oleh pengarah berpengalaman Azizi ‘Chunk’ Adnan dan diterbitkan oleh Razor Edge, Raja Naga dijadualkan untuk tayangan pada 30 Oktober 2024, bertepatan dengan perayaan Deepavali. Filem ini bukan sahaja sebuah kisah inspirasi, tetapi juga diharap dapat mencuit hati penonton dari pelbagai lapisan masyarakat, menjadikannya pilihan ideal untuk ditonton seisi keluarga.

    Cerita Raja Naga berkisar tentang seorang lelaki bernama Raja yang bergelut dengan pelbagai kesukaran hidup, terpaksa menjaga dan menyara ibunya yang lumpuh serta menghidap kanser. Hidupnya semakin sukar apabila dia terpaksa menggadaikan motosikal kesayangannya demi membayar hutang sewa rumah yang tertunggak. Dalam keadaan yang sangat terdesak, Raja mendapat bantuan dari rakannya, Ali dan Bell, yang bersatu untuk mengumpul wang bagi membantunya membeli motosikal terpakai. Tanpa disedari, mereka telah membawa pulang sebuah motosikal yang menyimpan sejarah dan misteri yang tidak diketahui.

    Setelah mengalami beberapa insiden yang pelik dan misterius, roh penunggang asal motosikal itu muncul dan memberikan kuasa kepada Raja. Motosikal yang kelihatan usang ini ternyata menyimpan kekuatan luar biasa, membolehkan Raja bukan sahaja menyelamatkan dirinya sendiri tetapi juga menjadi wira yang membela keadilan dalam komuniti. Kini, Raja bukan lagi sekadar penghantar makanan, tetapi dia muncul sebagai wira jalanan yang berani melawan jenayah di bandar.

    Menurut Azizi ‘Chunk’ Adnan, pengarah yang terkenal dengan sentuhan uniknya, “Raja Naga adalah lebih daripada sekadar hiburan; ia menggambarkan kekuatan, pengorbanan, dan keajaiban yang boleh terjadi apabila kita bangkit melawan segala cabaran.” Beliau turut menekankan pentingnya watak Raja yang dimainkan dengan cemerlang oleh Sivasanthiran, yang menggambarkan sisi kemanusiaan dan keberanian yang jarang dipaparkan dalam penceritaan aksi.

    Filem ini bukan sahaja memaparkan kisah seorang pemuda berbangsa India yang berjuang dalam hidup, tetapi juga mengangkat tema kesetiaan kepada keluarga dan keberanian melawan ketidakadilan. Raja, yang sentiasa setia menjaga ibunya walaupun dalam kesusahan, menggunakan kuasa misteri yang diberikan oleh motosikalnya bukan untuk keangkuhan, tetapi demi melindungi masyarakat sekelilingnya. Transformasi Raja dari seorang penghantar makanan yang gemar bergaya retro 70-an kepada wira jalanan yang berkuasa menunjukkan betapa besarnya potensi yang ada dalam diri seseorang.

    Diterajui oleh Sivasanthiran sebagai Raja, filem ini juga menampilkan pelakon berbakat lain seperti Scha Elinnea yang memegang watak Sari, seorang gadis ceria dan funky yang memberi semangat kepada Raja, dan Hazama sebagai Johnny, ketua geng gelap yang penuh gaya tetapi kejam. Dengan barisan pelakon seperti Thagaraja Victor dan Wanns Ahmad, Raja Naga diisi dengan aksi yang mendebarkan, emosi yang mendalam, serta elemen humor yang pasti menghiburkan penonton.

    Sivasanthiran menyatakan bahawa Raja Naga mengisahkan tentang bagaimana seorang individu biasa dapat melakukan perkara luar biasa dengan mendapatkan peluang kedua dalam hidup. “Filem ini menggabungkan aksi, thriller, dan sedikit unsur misteri, menjadikannya sesuai untuk semua penonton, terutamanya ketika musim perayaan Deepavali yang melambangkan kemenangan kebaikan atas kejahatan,” tambahnya.

    Jadi, sambutlah perayaan Deepavali ini dengan sentuhan aksi yang menakjubkan dari Raja Naga – hanya di Tonton Original! Dengan plot penuh misteri dan aksi, Raja Naga pasti mencetuskan rasa kagum di kalangan penonton dengan mesej kemanusiaan yang kuat dan aksi mendebarkan – menjadikan ia pilihan terbaik untuk dinikmati seisi keluarga sempena perayaan yang bermakna.

    Untuk menonton filem Raja Naga secara eksklusif, kunjungi platform Tonton di www.tonton.com.my mulai 30 Oktober 2024. Anda juga boleh memuat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store, dan strim Tonton dalam kualiti HD di Smart TV. Untuk mendapatkan informasi terkini tentang rancangan kegemaran anda, ikuti laman sosial Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram Tonton di @tontonmy. Kembara Raja dalam Raja Naga akan mengajak anda menyaksikan sebuah cerita yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga penuh pengajaran.