Tag: #ThariqRidzuwan

  • Thariq Ridzuwan Tawan Hati Peminat Dengan Janji Manis & Permainan Kreatif

    Thariq Ridzuwan Tawan Hati Peminat Dengan Janji Manis & Permainan Kreatif

    Drama fenomena Thariq Ridzuwan: His Treasure terus mencipta sejarah apabila bukan sahaja meraih jutaan tontonan, malah memperkenalkan pengalaman interaktif yang mendekatkan lagi hubungan antara pelakon dan peminat. Dengan jalan cerita penuh emosi, konflik cinta yang mendalam serta lakonan mantap barisan pelakon popular seperti Meerqeen, Qasrina Karim, Evertt Gomes, Noki K-Clique dan Afiq Hamidon, drama ini telah mencatat lebih daripada 1 bilion tontonan di aplikasi TikTok, menjadikannya antara karya tempatan paling hangat tahun ini.

    Salah satu inisiatif yang paling mencuri perhatian ialah Janji 1 Minit – pengalaman peribadi yang cukup berharga buat peminat setia. Bertempat di acara Hello Inilah KITA di Pavilion Kuala Lumpur, seramai 15 peminat bertuah diberikan peluang eksklusif untuk bertemu secara bersemuka dengan sembilan pelakon utama. Setiap pertemuan berlangsung selama 60 saat, memberikan ruang cukup intim untuk bertanya soalan, berkongsi rasa ataupun sekadar menikmati detik bersama watak kegemaran. Acara tersebut diakhiri dengan laungan ikrar “JANJI!”, sebuah simbolik yang menggambarkan ikatan erat antara peminat dan drama yang sarat dengan nilai emosi.

    Bukan itu sahaja, peminat turut diajak menyertai pengalaman digital menerusi permainan interaktif di laman janjiuntukradwa.astro.com.my. Dalam permainan tersebut, penonton diberi peluang untuk menjadi Holy Dragon dan berjuang menentang Farez demi menyelamatkan Radwa. Walaupun ringkas, permainan ini berjaya membawa peminat menyelami dunia cerita dengan lebih dekat. Tambah menarik, setiap kali jumlah permainan mencapai tahap tertentu, akses kepada video istimewa yang belum pernah ditayangkan akan dibuka, menjadikan penglibatan penonton lebih bermakna.

    Selain itu, laman interaktif tersebut juga membuka ruang buat peminat menulis surat kepada watak utama, khususnya Holy Dragon. Ia memberi peluang untuk menyampaikan sokongan, pandangan serta kata-kata semangat, sekali gus menegaskan bahawa Thariq Ridzuwan: His Treasure bukan sekadar sebuah drama, tetapi juga sebuah wadah interaksi dua hala antara karya dan khalayaknya.

    Sebagai adaptasi daripada novel popular, drama ini membuktikan keupayaannya untuk mengekalkan momentum populariti hingga ke penghujung. Dengan hanya enam episod terakhir yang tinggal, ketegangan dan misteri yang masih belum terjawab pastinya akan terus memikat penonton. Astro sekali lagi membuktikan bahawa kandungan yang mereka bawakan bukan sekadar hiburan semata-mata, tetapi pengalaman menyeluruh yang menghubungkan peminat dengan dunia drama kegemaran mereka.

    Thariq Ridzuwan: His Treasure boleh terus diikuti setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104), selain distrim secara eksklusif menerusi Astro GO dan sooka.