Tag: #SoreIstridarMasaDepan

  • Sore: Istri dari Masa Depan Angkat Nama Indonesia ke Oscar 2026

    Selepas mencatat kejayaan besar dengan lebih daripada 3 juta penonton di pawagam Indonesia, filem drama romantis fantasi Sore: Istri dari Masa Depan kini melangkah ke pentas dunia apabila dipilih sebagai wakil Indonesia ke Anugerah Academy Awards (Oscar) ke-98. Filem arahan Yandy Laurens ini akan bersaing dalam kategori Best International Feature Film dan menjadi harapan baharu industri perfileman tanah air untuk menembusi anugerah paling berprestij di dunia.

    Pemilihan rasmi diumumkan oleh Komite Seleksi Oscar Indonesia pada 8 September 2025 selepas mengadakan rapat pleno. Komite ini dibentuk setiap tahun oleh Persatuan Perusahaan Film Indonesia (PPFI) dan telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Academy Awards untuk menentukan filem terbaik negara yang layak dihantar ke pertandingan tersebut.

    Produser filem ini, Suryana Paramita, meluahkan rasa syukur atas penghormatan yang diberikan. Menurutnya, peluang untuk mewakili Indonesia di Oscar adalah pencapaian besar selepas sambutan luar biasa yang diterima di tanah air. Beliau berharap perjalanan ini akan dipermudahkan dan mendapat sokongan daripada semua pihak. Sutradara sekaligus penulis naskhah, Yandy Laurens, turut berkongsi rasa bangga kerana hasil karyanya mendapat kepercayaan besar untuk membawa nama Indonesia ke peringkat antarabangsa.

    Sore: Istri dari Masa Depan dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti Sheila Dara, Dion Wiyoko, Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan, dan Mathias Muchus. Filem ini juga menandakan kerjasama produksi antara Indonesia dan Kroasia, sekali gus memperlihatkan kekuatan sinergi lintas negara dalam menghasilkan sebuah karya berkualiti. Ia merupakan filem panjang keempat Yandy Laurens dan setakat ini menjadi filem paling berjaya sepanjang kerjayanya.

    Selepas menuai kejayaan di Indonesia, filem ini akan diperluaskan tayangannya ke luar negara dengan mula menemui penonton di pawagam Malaysia pada 25 September 2025. Dari segi produksi, filem ini diterbitkan oleh Cerita Films bersama sokongan rakan kolaborasi seperti Melyana Tjahyadikarta, Queen Yeap, Slingshot Pictures, Imajinari, Miles Films, Studio Artemis, Jagartha, Trinity Entertainment Network, dan Dwidaya Amadeo Gemintang sebagai produser eksekutif. Ia turut mendapat kerjasama daripada rakan rasmi seperti Artotel Wanderlust, SukkhaCitta, dan HMNS.

    Perjalanan Sore: Istri dari Masa Depan ke Oscar bukan sahaja menjadi kebanggaan bagi pembikin filem tempatan, tetapi juga membuka lembaran baharu untuk perfileman Indonesia di mata dunia. Untuk mengikuti perkembangan terkini, peminat boleh melayari akaun Instagram rasmi @cerita_films.