
Permintaan yang terus meningkat terhadap emas mendorong Kedai Emas Sri Semantan Sdn Bhd (KESS) memperluaskan operasi perniagaannya dengan sasaran membuka antara 25 hingga 30 cawangan baharu di seluruh Malaysia tahun ini.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat berkata, pembukaan cawangan baharu di Bandar Baru Bangi bukan sahaja memperkukuh kehadiran syarikat di Lembah Klang, malah memudahkan pelanggan mendapatkan akses kepada produk emas berkualiti.
Beliau menjelaskan bahawa kesedaran masyarakat terhadap nilai emas sebagai aset yang stabil dan berpotensi untuk simpanan jangka panjang semakin meningkat, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan perniagaan syarikat.

Dalam masa sama, KESS turut menawarkan pelbagai promosi menarik sempena pembukaan cawangan baharu termasuk potongan harga dan cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik termasuk sebuah kereta.
Shaaini berkata, momentum pertumbuhan syarikat turut didorong oleh pembukaan lebih 15 cawangan dalam tempoh beberapa bulan lalu yang menyumbang kepada peningkatan hasil jualan melebihi 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.