Tag: #SindromIsteriPertama

  • Antara Dua Hati: Dilema Isteri Pertama

    Antara Dua Hati: Dilema Isteri Pertama

    Poligami sering kali dijadikan solusi “halal” dalam menyelesaikan isu rumah tangga namun sejauh mana ia benar-benar membawa bahagia kepada semua pihak? Drama terbaharu, Seindah Hujan Cinta, membongkar sisi kelam institusi poligami, bukan dengan klise atau romantisme, tetapi melalui konflik emosi yang menyayat hati dan terlalu dekat dengan realiti.

    Mengisahkan Zarita (Nelydia Senrose), seorang isteri berdikari yang tidak mampu melahirkan zuriat. Demi cinta, dia merelakan suaminya, Wassim (Yusuf Bahrin), bernikah lagi lebih mengejutkan, dengan adik angkatnya sendiri, Aneesa (Ezzanie Jasny). Niat asal penuh pengorbanan ini akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila restu Zarita bertukar menjadi cemburu yang membinasakan.

    Di hadapan, Zarita kekal manis dan tenang. Namun di belakang, helah dan manipulasi perlahan-lahan menggugat keharmonian rumah tangga. Dia tidak mampu menerima kehadiran Aneesa yang suatu ketika dulu disanjung sebagai “penyelamat”, kini dianggap sebagai “perampas”.

    Keadaan menjadi lebih parah apabila Umi (Norma Damanhuri), ibu mertua yang menyimpan dendam, menolak mentah-mentah kehadiran Aneesa dan sanggup merancang pelbagai onar. Aneesa tersepit bukan sahaja antara dua hati, malah dua musuh dalam satu rumah. Sementara itu, Wassim pula gagal menjadi lelaki yang adil, hanya hadir untuk Aneesa saat memerlukan, dan sering memihak kepada isteri pertamanya.

    “Sindrom Isteri Pertama” inilah gambaran sebenar yang dipaparkan dalam drama ini. Cemburu, manipulasi, tekanan emosi, dan ketidakadilan menjadi racun dalam perkahwinan yang kononnya berlandaskan kasih sayang dan restu.

    Seindah Hujan Cinta bukan sekadar kisah cinta tiga segi. Ia membuka mata penonton tentang beban emosi wanita yang tersisih, realiti pahit bermadu, dan kegagalan lelaki dalam memainkan peranan sebenar sebagai pemimpin adil dalam poligami.

    Adakah keikhlasan mampu bertahan apabila kasih mula berbelah bahagi? Sampai bila madu boleh berpura-pura manis, sedangkan luka kian dalam?

    Saksikan kesudahannya dalam Seindah Hujan Cinta, eksklusif di Tonton setiap Isnin hingga Khamis. Strim dan muat turun serendah RM9.90! Ikuti @tontonmy untuk info terkini dan sertai perbualan menggunakan #SeindahHujanCinta #TontonOriginal #DramaPoligami