Tag: #SeoulInternationalDramaAwards2025

  • Anna Jobling Terajui Undian, Seoul Jadi Destinasi Kemenangan!

    Anna Jobling Terajui Undian, Seoul Jadi Destinasi Kemenangan!

    Debaran semakin memuncak apabila pelakon kesayangan Malaysia, Anna Jobling, bakal berangkat ke Seoul, Korea Selatan bagi menghadiri Seoul International Drama Awards (SDA) 2025. Dengan tercalon dalam kategori Outstanding Asian Star – Malaysia, kehadirannya bukan sekadar membawa nama peribadi, malah mewakili semangat jutaan peminat yang sentiasa mendukung perjalanan seninya. Anna dijadualkan berlepas ke Seoul pada 1 Oktober, membawa bersama harapan seluruh rakyat Malaysia untuk melihatnya mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.

    Pencalonan Anna dalam kategori tersebut menjadi bukti nyata terhadap bakat besar yang dimilikinya. Pengiktirafan di pentas berprestij antarabangsa ini sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjayanya serta mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai antara bintang muda paling berpengaruh di rantau Asia.

    Fenomena Anna bermula dengan kejayaan luar biasa drama Melur Untuk Firdaus yang memperkenalkan dirinya kepada peminat serantau. Kali ini, namanya terus menyerlah apabila drama Hai Cinta, Dengarkanlah berjaya menambat hati penonton, bukan sahaja di Malaysia tetapi turut mendapat perhatian di platform penstriman Tonton di seluruh Asia. Populariti drama itu melonjakkan gelombang sokongan peminat sehingga Anna mendahului carta undian, seakan nadi semangat penyokong yang mahu melihatnya menjulang nama negara di pentas dunia.

    Dalam reaksinya, Anna meluahkan rasa terharu atas sokongan luar biasa daripada peminat yang sentiasa bersamanya. Menurutnya, pencalonan ini adalah hadiah terbesar dalam kerjayanya dan peluang mewakili Malaysia di Seoul adalah sesuatu yang sangat dihargai. Anna turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan undian dan doa sehingga malam kemuncak, kerana kemenangan yang diraih nanti bukan hanya miliknya, tetapi juga milik seluruh negara.

    Bagi meraikan kejayaan tersebut, Tonton menghadiahkan penonton dengan promosi eksklusif ‘Koleksi Pujaan Hati’ yang menawarkan langganan istimewa berharga RM20 untuk tiga bulan. Tawaran ini boleh didapati menggunakan kod diskaun eksklusif ‘ANNAJOBLING’, sekali gus memberi peluang kepada peminat menonton semua karya lakonan Anna sambil terus menyokong perjalanannya dari skrin tempatan ke pentas antarabangsa.

    Seoul International Drama Awards 2025 akan berlangsung pada 2 Oktober di Yeouido KBS Hall, Seoul. Majlis anugerah berprestij ini bakal menyaksikan Anna berdiri sebaris dengan bintang-bintang besar Asia. Acara berkenaan akan disiarkan secara langsung di YouTube pada 2 Oktober, manakala tayangan di SBS TV dijadualkan pada 3 Oktober 2025, jam 6 petang waktu Korea. Karpet Merah dijangka bermula jam 3.30 petang diikuti acara kemuncak dari jam 5 hingga 7 malam.

    Untuk maklumat lanjut mengenai rancangan kegemaran anda, ikuti Tonton di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram di @tontonmy.