Kini menjadi bualan hangat penonton, drama Samarinda berjudul Seindah Hujan Cinta hadir dengan jalan cerita penuh konflik yang berani. Watak utama Zarita lakonan Nelydia Senrose digambarkan sebagai seorang isteri yang terlalu mementingkan diri sehingga sanggup mengenepikan nilai kasih sayang dan tanggungjawab demi mengejar kesempurnaan hidup.
Zarita ditonjolkan sebagai seorang influencer glamor yang sentiasa menjadi perhatian ramai. Namun, di balik kemewahan dan senyumannya, dia menyimpan obsesi melampau terhadap kecantikan serta penampilan fizikal. Demi memastikan dirinya kekal di puncak populariti, Zarita menolak untuk hamil kerana bimbang kerjayanya akan terjejas. Sikap dingin dan keengganannya itu mengundang kecaman apabila dianggap menolak fitrah serta naluri semula jadi seorang wanita.
Konflik semakin meruncing apabila sahabat karibnya, Aneesa lakonan Ezzanie Jazny, mencadangkan agar Zarita mencarikan calon isteri kedua buat suaminya yang dilakonkan oleh Yusuf Bahrin. Tanpa diduga, cadangan itu kembali menghantui dirinya apabila Zarita sanggup menawarkan Aneesa sendiri untuk menjadi madunya.

Tindakan Zarita bukan sahaja mengejutkan penonton, malah menimbulkan persoalan tentang erti sebenar persahabatan dan pengorbanan. Ramai melihatnya sebagai satu bentuk pengkhianatan kerana seolah-olah sanggup mempergunakan orang yang paling rapat semata-mata untuk mempertahankan tubuh, imej dan kedudukannya.
Apakah Aneesa benar-benar rela menerima takdir tersebut, atau sekadar menjadi mangsa permainan manipulasi Zarita? Jawapannya hanya dapat disaksikan dalam Seindah Hujan Cinta, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam menerusi slot Samarinda di TV3.

