Tag: #SedikitCahaya

  • MARIAM SAIM HADIR DENGAN “SEDIKIT CAHAYA”, PAPAR LUAHAN JIWA PENUH MAKNA

    Kuala Lumpur, 27 Julai 2026 — Selepas mencuri perhatian menerusi karya-karya beremosi seperti Bulan, Puaskah dan lagu ciptaannya sendiri, Cinta Gila, penyanyi dan komposer Mariam Saim kembali dengan single terbaharu berjudul “Sedikit Cahaya”, yang diterbitkan di bawah naungan Alternate Records & Talents. Lagu tersebut turut dipilih sebagai runut bunyi rasmi (OST) bagi drama Tonton Originals, Neraka Yang Terhijab.

    Dihasilkan menerusi nukilan komposer dan penulis lirik tersohor John Jeeves bersama Firdaus Rahmat, Sedikit Cahaya mengangkat kisah penuh emosi tentang perjuangan seorang wanita yang berdepan pelbagai ujian kehidupan, termasuk pengkhianatan, kehilangan dan luka yang mendalam. Namun, di sebalik segala kegelapan yang dilalui, watak tersebut tetap berusaha mencari sekelumit sinar harapan sebagai kekuatan untuk terus bertahan dan meneruskan kehidupan.

    Menurut Mariam, tajuk Sedikit Cahaya sendiri membawa simbolik yang dekat dengan perjalanan cerita lagu berkenaan kerana seseorang tidak semestinya memerlukan cahaya yang besar untuk kembali bangkit. Sebaliknya, sedikit sinar sudah memadai untuk memberikan kekuatan dan harapan ketika berdepan dengan saat-saat sukar. Penghayatan terhadap kisah heroin drama turut membolehkan Mariam menyampaikan lagu tersebut dengan emosi yang lebih dekat dan peribadi.

    Bagi penyanyi itu, Sedikit Cahaya juga bukan sekadar sebuah lagu OST, sebaliknya mempunyai kaitan dengan perjalanan seninya sendiri. Pengalaman melalui fasa Semifinal AJL40 menerusi lagu Puaskah menjadi antara titik yang mengajarnya untuk terus percaya bahawa setiap perjalanan mempunyai hikmah dan setiap penantian hadir dengan waktunya tersendiri. Pengalaman tersebut turut diterjemahkan menerusi cara Mariam menghayati setiap bait lirik ketika proses rakaman.

    Mariam turut mengakui sokongan keluarga, rakan-rakan, pasukan kerja, pihak media dan peminat menjadi antara sumber kekuatan terbesar dalam perjalanan seninya. Justeru, ketika merakamkan Sedikit Cahaya, beliau tidak hanya membawa identiti sebagai penyanyi atau cuba menghidupkan watak dalam drama, tetapi turut menyampaikan lirik berdasarkan pengalaman, perasaan dan harapan yang pernah dilaluinya sendiri.

    Bekerja di bawah bimbingan John Jeeves dan Firdaus Rahmat di studio turut memberi ruang kepada Mariam untuk memperlihatkan perkembangan vokalnya yang lebih matang. Jika sebelum ini kekuatan vokal menjadi antara aspek utama persembahannya, kali ini Mariam lebih menumpukan kepada penceritaan dan penyampaian emosi bagi memastikan lagu tersebut dapat diterima daripada pelbagai sudut pengalaman pendengar, khususnya mereka yang pernah berdepan kehilangan, perjuangan hidup atau mengejar impian.

    Bagi melengkapkan perjalanan emosi lagu, muzik video Sedikit Cahaya pula diarahkan oleh Boboy Jehori dengan pendekatan visual minimalis yang membawa penonton daripada suasana gelap menuju kepada cahaya. Penggunaan tona gelap teal atau biru kehijauan menggambarkan kesunyian dan kegelapan, sebelum pencahayaan kuning diperkenalkan sebagai simbol harapan serta peluang untuk memulakan lembaran baharu.

    Menariknya, muzik video tersebut menggunakan teknik one continuous shot, iaitu penggambaran dalam satu syot berterusan tanpa henti dari awal hingga akhir. Pendekatan ini menuntut fokus, stamina dan komitmen tinggi daripada Mariam serta seluruh kru produksi kerana sebarang kesilapan boleh menyebabkan keseluruhan penggambaran perlu diulang dari permulaan.

    Menurut Boboy Jehori, pendekatan tersebut dipilih bagi membolehkan penonton seolah-olah berjalan bersama Mariam sepanjang perjalanan mencari “Sedikit Cahaya”. Lebih daripada sekadar menghasilkan visual yang menarik, beliau berharap muzik video itu mampu menyampaikan mesej tentang kekuatan untuk bangkit dan mencari harapan selepas melalui fasa kegelapan.

    Muzik video Sedikit Cahaya kini boleh ditonton menerusi YouTube, manakala lagu tersebut turut tersedia di pelbagai platform penstriman digital termasuk Spotify. Karya terbaharu Mariam Saim ini menjadi satu lagi kesinambungan perjalanan seninya dalam mengetengahkan muzik yang sarat dengan emosi, pengalaman hidup dan mesej tentang harapan.