Tag: #Redam

  • Jaclyn Chia & Yunk G Hadir dengan “Redam” – Kisah Hati yang Membalut Luka

    Jaclyn Chia & Yunk G Hadir dengan “Redam” – Kisah Hati yang Membalut Luka

    Dunia muzik tempatan terus meriah dengan kelahiran sebuah single duet istimewa berjudul “Redam”, hasil kerjasama penyanyi bersuara lunak dari Sabah, Jaclyn Chia, bersama rapper berkarisma, Yunk G.

    Menggabungkan elemen balada akustik dan rap, “Redam” tampil sebagai karya introspektif yang membawa pendengar menyelami kedalaman jiwa sebuah perjalanan emosi tentang luka, kehilangan, dan keperitan yang terpendam. Namun di sebalik kepedihan itu, wujud semangat untuk terus bertahan dan melangkah ke hadapan.

    “Lagu ini sangat sayu dan peribadi buat saya. Ia seperti menulis surat kepada diri sendiri yang sedang terluka, tetapi masih cuba untuk terus hidup,” kata Jaclyn Chia, yang sebelum ini dikenali menerusi lagu Joget Mengikut Rasa ciptaan Shaiffulhan dan lirik S. Amin Shahab, serta pernah dinobatkan sebagai Juara RTM Kemuncak Bintang Ai FM 2024.

    Dicipta oleh Shaiffulhan Saidin dengan lirik oleh D’Laila, single ini diterbitkan di bawah Zirbad Music Production dan diedarkan secara digital oleh Luncai Emas. Projek ini turut menerima sokongan Kementerian Komunikasi Malaysia melalui Dana Kreatif (MyCreative Ventures), sebagai dorongan terhadap karya asli anak tempatan.

    Menurut Shaiffulhan, gabungan vokal Jaclyn yang penuh emosi dengan rap Yunk G menghasilkan sebuah lagu yang sarat dengan jiwa.

    “Suara indah Jaclyn Chia disatukan dengan rap padu Yunk G, membentuk karya yang menyentuh hati serta mampu meredam luka,” ujarnya.

    Bagi Yunk G, atau nama sebenarnya AG Sri Iskandar Bahrin, “Redam” adalah medium untuk menzahirkan suara mereka yang sering menyorokkan luka kerana takut dianggap lemah.

    “Saya percaya muzik harus jujur. Dalam Redam, saya ingin membawa perspektif mereka yang menyembunyikan perasaan, namun dalam diam menanggung beban,” jelasnya.

    Nama Yunk G bukanlah asing di pentas muzik tempatan, khususnya di Sabah dan Semenanjung. Beliau aktif dengan beberapa single termasuk Aku Shot, lagu tema filem Adiwira terbitan Ajai di bawah label Wake The Baby Records.

    Seiring pelancaran single ini, video muzik rasmi “Redam” turut ditayangkan di saluran YouTube Luncai Emas, memaparkan visual puitis yang sarat simbolik menggambarkan perjalanan seorang insan untuk melepasi bayangan silam.

    Single “Redam” kini boleh didengarkan di semua platform digital termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube.