Tag: #PuteraBobo

  • Tantari dan Putera Bobo Bersatu di Bawah Sentuhan Eddie Hamid Menerusi “Tangisan 1 Syawal”, Kisah Anak Yatim yang Menyentuh Jiwa

    Tantari dan Putera Bobo Bersatu di Bawah Sentuhan Eddie Hamid Menerusi “Tangisan 1 Syawal”, Kisah Anak Yatim yang Menyentuh Jiwa

    Kejayaan lagu “Rindu Hatiku Rindu” nyanyian Tantari dan “Korban Rindu” dendangan Putera Bobo sebelum ini membuka jalan kepada sebuah kolaborasi istimewa antara dua penyanyi cilik berbakat tersebut. Lagu “Rindu Hatiku Rindu” yang dilancarkan pada 2024 pernah menduduki tangga pertama trending di YouTube selama 20 hari berturut-turut serta mencatatkan lebih 16 juta tontonan. Sementara itu, lagu “Korban Rindu” nyanyian Putera Bobo pula berjaya meraih lebih 1.3 juta tontonan di platform yang sama. Kejayaan kedua-dua lagu tersebut membuktikan bahawa suara dan penyampaian emosi mereka mampu menyentuh hati pendengar.

    Melihat sambutan luar biasa itu, komposer terkenal, Eddie Hamid yang sebelum ini bertanggungjawab mencipta lagu untuk kedua-dua penyanyi berkenaan mengambil inisiatif menggandingkan mereka dalam sebuah lagu raya berjudul “Tangisan 1 Syawal”. Lagu ini menampilkan gabungan suara Tantari atau nama penuhnya Naufal Zahirul Azahel bin Mohd Alfian, 8, dan Putera Shah Nasratullah bin Mohd Nasran, 14, yang lebih dikenali sebagai Putera Bobo. Lagu tersebut dicipta oleh Eddie Hamid dengan lirik hasil nukilan Jaju, Hakim Hakimi dan Te Ha.

    Menurut Eddie, idea untuk menyatukan kedua-dua penyanyi cilik ini telah lama dirancang selepas melihat potensi dan penerimaan baik terhadap lagu-lagu mereka sebelum ini. Menariknya, “Tangisan 1 Syawal” bukanlah lagu raya yang rancak seperti kebanyakan lagu perayaan lain, sebaliknya dihasilkan dalam genre balada yang sarat emosi. Lagu ini mengangkat kisah menyentuh hati tentang kasih sayang antara dua beradik yang merupakan anak yatim piatu, sekali gus menjadi luahan perasaan anak-anak yang kehilangan insan tersayang.

    Bagi menambahkan kesan emosi terhadap lagu tersebut, muzik video “Tangisan 1 Syawal” turut menjalani penggambaran di rumah anak yatim dan tanah perkuburan. Dalam video tersebut, Tantari memegang watak sebagai adik manakala Putera Bobo membawa watak abang. Walaupun mereka tidak pernah bertemu sebelum ini, kedua-duanya pertama kali berkenalan di set penggambaran dan cepat mesra sehingga memudahkan proses rakaman.

    Menariknya, proses rakaman vokal untuk lagu ini juga dilakukan secara berasingan. Tantari merakamkan suaranya di Studio NAR, Kuala Lumpur manakala Putera Bobo pula menjalani sesi rakaman di K-Seventh Studio, Kelantan. Bagi Tantari, lagu ini memberikan pengalaman yang cukup menyentuh perasaan kerana dia membayangkan nasib rakan-rakan seusianya yang tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa. Sementara itu, Putera Bobo berharap lagu tersebut dapat mengingatkan masyarakat agar sentiasa bersyukur serta tidak melupakan anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.

    Lagu “Tangisan 1 Syawal” terbitan Nova Music Malaysia kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik digital, manakala muzik video rasminya telah dilancarkan di saluran YouTube Nova Music Videos pada 5 Mac 2026.