Tag: #PsikologiSeram

  • Gabungan Seram, Psikologi dan Komedi Gelap Dalam Paraxnormal

    Gabungan Seram, Psikologi dan Komedi Gelap Dalam Paraxnormal

    Filem terbaharu berjudul Paraxnormal tampil sebagai sebuah karya seram psikologi komedi yang dijangka memberi nafas segar dalam industri filem seram tempatan. Diterbitkan oleh Nanord Studio Production, karya ini menggabungkan elemen seram, psikologi, komedi gelap serta konflik persahabatan yang menjadikannya lebih daripada sekadar tontonan biasa.

    Menurut penerbitnya, Nurul Ain Nordin, Paraxnormal bukan hanya mengetengahkan kisah makhluk ghaib semata-mata, sebaliknya turut menyelami sisi gelap sifat manusia seperti ketamakan, dendam, dan pengkhianatan. Beliau menjelaskan bahawa ilham naskhah ini hadir secara tidak diduga sewaktu sesi perbualan santai bersama sahabatnya, pelakon dan penulis skrip Epy Kodiang yang juga membintangi filem berkenaan. Mereka pernah bekerjasama dalam sebuah naskhah seram komedi sebelum ini, dan percaya genre sebegitu masih mempunyai pengikut tersendiri. Dari situlah lahirnya idea menghasilkan Paraxnormal yang bukan sahaja mampu menghiburkan, tetapi turut membawa mesej mendalam bahawa “kadang-kadang yang seram bukan hantu, tapi member sendiri.”

    Kisah dalam Paraxnormal berkisar tentang empat sahabat karib yang tanpa sengaja berdepan pelbagai peristiwa menyeramkan ketika cuba merompak sebuah vila misteri. Vila itu dikatakan berhantu, namun sebenarnya menyimpan harta bernilai lebih RM10 juta. Tarikan utama filem ini juga hadir melalui barisan pelakon yang ditampilkan, melibatkan gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu. Antara yang menjayakan watak utama ialah Joey Daud sebagai Yasin, Azhan Rani sebagai Asri, Epy Kodiang sebagai Fateh, dan Amir Nafis sebagai Anas. Mereka turut dibantu oleh pelakon berkaliber seperti Ellie Suriaty Omar dan Kamarool Haji Yusoff.

    Nurul Ain menegaskan bahawa kombinasi pelakon dari pelbagai latar dan generasi berjaya mencipta keserasian yang luar biasa, menjadikan Paraxnormal sebuah naskhah segar dan wajar ditonton di pawagam. Beliau turut mendedahkan bahawa filem ini pada mulanya dirancang sebagai sebuah Super Telemovie pada tahun 2023, namun kekuatan jalan ceritanya mendorong mereka untuk membawanya terus ke layar perak.

    Namun begitu, perjalanan produksi tidaklah mudah. Selain berdepan masalah teknikal seperti kerosakan monitor dan kabel meskipun sudah diganti, kru juga berdepan pengalaman aneh yang sukar dijelaskan. Antara kejadian yang masih segar dalam ingatan termasuk kru produksi mendakwa melihat dua individu mirip Ain pada masa yang sama di lokasi, serta insiden penolong pengarah tiba-tiba mengamuk tanpa sebab sebelum pengsan, sehingga penggambaran terpaksa dihentikan sementara.

    Sebagai penerbit, Ain berharap Paraxnormal, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025, diterima baik dan meninggalkan kesan sebagai salah satu filem seram tempatan yang berani tampil dengan pendekatan berbeza.