Tag: #PentasBulusPalingBergaya

  • Si Bulus Bergaya: Pertarungan Meow-del di Kaca TV

    Si Bulus Bergaya: Pertarungan Meow-del di Kaca TV

    Debaran kian terasa apabila pertandingan fesyen si bulus pertama di televisyen tempatan, Cat Fashion Week, menghampiri kemuncaknya. Selepas mencuri perhatian penonton menerusi segmen khas program Nona dan kapsul eksklusif berdurasi 10 minit, acara penuh gaya ini akan menutup tirai dengan episod akhir yang sarat kejutan pada Ahad, 17 Ogos 2025, jam 9.00 malam di TV3.

    Dengan tema “Meow Menyala, Gaya Membara”, pentas akhir ini menjanjikan persembahan berwarna-warni yang meraikan kasih sayang, kreativiti, dan keunikan hubungan antara pemilik serta kucing kesayangan mereka. Setiap penampilan bukan sekadar peragaan, malah menjadi pentas untuk menceritakan kisah tersendiri daripada gaya santai yang mencuit hati sehinggalah konsep fesyen penuh imaginasi yang mengagumkan, dilengkapi kostum, aksesori unik dan gimik kreatif.

    Antara konsep fesyen yang bakal memukau termasuk busana puteri yang anggun, gaya berani juruterbang dan pemandu litar, hinggalah ke aura klasik Mesir Purba. Sorotan utama malam itu sudah pasti sesi catwalk ikonik, apabila si bulus manja melangkah penuh gaya di pentas yang diiringi muzik, paparan LED dan sorakan penonton.

    Menurut Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan TV3, sambutan penonton terhadap Cat Fashion Week sejak episod pertama amat memberangsangkan. “Ramai yang terhibur dengan konsep segar, unik serta sarat elemen kekeluargaan dan kasih sayang terhadap haiwan peliharaan. Lebih mengujakan, program ini turut mencetuskan perbualan positif dalam kalangan pencinta kucing, meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab menjaga haiwan, di samping mengangkat nilai empati dan kreativiti. Inilah kekuatan utama Cat Fashion Week yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat melalui cinta terhadap si bulus,” katanya.

    Barisan juri untuk pentas akhir terdiri daripada penyanyi popular Mark Adam dan Shiha Zikir, pengasas dan pakar dandanan kucing MJMA Academy, Mohd Jeffrey, serta pereka fesyen terkenal Rizman Nordin. Penilaian akan mengambil kira bukan sahaja rekaan fesyen, tetapi juga kreativiti, persembahan, penjagaan kucing, dan keserasian antara pemilik serta si bulus.

    Malam kemuncak ini turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada Sophia Liana dan Shiha Zikir yang akan mendendangkan lagu-lagu popular mereka, menjadikan gabungan fesyen, muzik, dan gelagat comel si bulus satu hiburan berganda. Selaras dengan konsep kekeluargaan, acara ini juga menampilkan pelbagai aktiviti menarik ketika rakaman pentas akhir, termasuk sesi adopsi kucing, face painting, DIY keychain, dan aktiviti seni kreatif yang disediakan untuk seisi keluarga.

    Juara Cat Fashion Week bakal membawa pulang wang tunai RM5,000, diikuti naib juara RM3,000, tempat ketiga RM2,000, manakala tempat keempat hingga kelapan masing-masing menerima RM1,000 sebagai saguhati. Tidak ketinggalan, Anugerah FELIX – Si Bulus Paling Memikat menanti kucing dengan undian tertinggi daripada penonton.

    Dibawakan oleh penaja utama PURINA FELIX dengan slogan “Rasa Memikat, Kucing Buat Apa Saja!”, serta disokong rakan radio rasmi Hot FM dan rakan digital rasmi SAYS, acara ini bersedia mencipta sejarah sebagai pentas fesyen si bulus paling bergaya di Malaysia.

    Siapakah yang akan dinobatkan sebagai meow-del paling membara? Saksikan kesemua lapan finalis — Nurul Izzah & Omey, Nurul Awwal & Chibbu, Nurmayani & Kristoff, Siti Rohani & Goyem, Farahin Zakaria & Juny, Zakry Shazryl & Winter Notty, Anis Halyatie & Evian Evan, serta Siti Khadijah & Mocha — beraksi di malam penuh pawsome ini pada Ahad, 17 Ogos 2025, jam 9.00 malam, hanya di TV3.