Tag: #OzoraFilm

  • OZORA: KEKEJAMAN BRUTAL DI BALIK KEKUASAAN JAKSEL

    OZORA: KEKEJAMAN BRUTAL DI BALIK KEKUASAAN JAKSEL

    Indonesia tidak pernah melupakan tragedi yang menimpa seorang anak muda, David Ozora, yang menjadi mangsa penganiayaan kejam sehingga mengakibatkannya koma dalam tempoh yang panjang. Insiden yang berlaku pada tahun 2023 itu bukan sekadar sebuah kes jenayah, sebaliknya menjadi simbol luka mendalam buat masyarakat, mencetuskan kemarahan awam serta membuka perbincangan besar mengenai keadilan, penyalahgunaan kuasa dan budaya berdiam diri terhadap keganasan.

    Berpaksikan kisah benar tersebut, sebuah filem bertajuk Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel diterbitkan dengan membawa naratif yang lebih luas, bukan sahaja menelusuri kejadian penganiayaan itu sendiri, tetapi juga menyentuh isu ketidakseimbangan sistem perundangan, suara rakyat, serta perjalanan psikologi dan spiritual keluarga mangsa. Filem ini diarahkan oleh Umbara Brothers, iaitu Anggy Umbara dan Bounty Umbara, dan diterbitkan oleh Umbara Brothers Film dengan kerjasama VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films serta Dbay Film Factory.

    Projek ini turut menandakan kerjasama semula Anggy dan Bounty sebagai pengarah selepas sekian lama tidak mengarahkan filem bersama. Menurut Anggy Umbara, idea awal filem ini dicetuskan oleh Bounty dan sejak peringkat perancangan lagi, mereka sudah jelas dengan hala tuju penceritaan yang ingin disampaikan. “Kisah David benar-benar menggoncang Indonesia, namun ramai tidak mengetahui perjalanan psikologi dan spiritual seorang bapa yang menyaksikan anaknya menjadi mangsa perundungan oleh anak seorang pegawai negara, sehingga peluang hidupnya hanya dua peratus,” jelasnya.

    Filem ini mengangkat perjuangan Jonathan Latumahina, bapa kepada David Ozora, yang terpaksa berhadapan dengan sistem perundangan yang dilihat berat sebelah apabila pelaku penganiayaan menerima layanan istimewa hasil pengaruh dan kuasa bapanya yang merupakan pegawai kanan kerajaan. Dalam usahanya menuntut keadilan, Jonathan bukan sahaja berdepan tekanan emosi yang hebat, malah terpaksa bergantung kepada sokongan masyarakat awam yang bangkit bersolidariti menentang ketidakadilan.

    Dibintangi barisan pelakon ternama seperti Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila dan Mathias Muchus, filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Januari 2026. Anggy menegaskan bahawa karyanya itu bukan sekadar memaparkan perlakuan jenayah, sebaliknya sebuah interpretasi mendalam tentang kesan psikologi dan emosi akibat perundungan serta keganasan terhadap mangsa dan orang di sekeliling mereka.

    Naratif filem ini turut menelusuri perjalanan spiritual seorang bapa yang diuji ketika anaknya koma selama puluhan hari, serta bagaimana kekuatan dalaman dan sokongan masyarakat menjadi sebahagian daripada proses pemulihan. Chicco Jerikho, yang membawakan watak Jonathan, mengakui peranan tersebut antara yang paling mencabar sepanjang kerjayanya. “Walaupun bukan filem aksi, watak ini sarat dengan emosi dan tenaga. Kedekatan saya dengan kes sebenar menjadikannya lebih berat, dan emosi itu perlu dikawal agar kekal setia kepada realiti,” katanya.

    Sebagai sebuah karya sinematik yang berakar daripada kisah benar, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel bukan sahaja menjadi peringatan terhadap kes perundungan yang menggoncang negara, malah menyoroti kekuatan solidariti masyarakat dalam menentang ketidakadilan. Filem ini turut mengajak orang ramai memanfaatkan ruang awam dan digital sebagai medium untuk bersuara apabila berdepan penyalahgunaan kuasa, sekali gus menjadikannya sebuah karya yang relevan, berani dan menyentuh nurani.