Tag: #NajmiNiery

  • “Best Part of Raya” Bawa Konsep Sepucuk Surat Cinta, Satukan Najmi Niery dan Adrianna Cinta dalam Duet Istimewa

    “Best Part of Raya” Bawa Konsep Sepucuk Surat Cinta, Satukan Najmi Niery dan Adrianna Cinta dalam Duet Istimewa

    Menjelang sambutan Aidilfitri 2026, penyanyi dan komposer muda, Najmi Niery tampil dengan sebuah karya raya yang cukup istimewa berjudul “Best Part of Raya”. Lagu ini membawa pendekatan yang berbeza apabila mengetengahkan konsep sepucuk surat cinta yang diterjemahkan dalam bentuk lagu, sekali gus memberikan sentuhan romantis kepada suasana sambutan Aidilfitri. Lebih menarik, lagu ini turut menggandingkan Najmi bersama penyanyi berbakat, Adrianna Cinta sebagai pasangan duet.

    Single “Best Part of Raya” merupakan hasil ciptaan bersama Najmi Niery, Brendan Lim Seng Meng dan Amanda Gnai Song Hui daripada kumpulan produksi MFMF. Lagu ini mula dihasilkan sekitar Oktober 2025 dengan pendekatan kreatif yang berbeza daripada lagu raya tradisional. Menurut Najmi, idea lagu ini muncul secara spontan ketika sesi penulisan lagu bersama MFMF, apabila mereka memutuskan untuk menghasilkan karya yang menggambarkan luahan rindu sepasang kekasih yang menantikan pertemuan pada hari raya.

    Dengan gabungan elemen Pop R&B yang segar, “Best Part of Raya” membawa nafas baharu dalam genre lagu raya tempatan. Najmi menjelaskan bahawa melodi lagu ini dihasilkan terlebih dahulu sebelum lirik ditulis, satu proses kreatif yang bermula dengan chord progression yang diberikan oleh MFMF. Melalui kerjasama tersebut, setiap penulis lagu menyumbang idea dan gaya penulisan masing-masing sehingga terhasil sebuah lagu yang mempunyai emosi yang jujur serta mudah menyentuh hati pendengar.

    Kemunculan Adrianna Cinta sebagai pasangan duet turut menambahkan kekuatan kepada lagu ini. Menurut Najmi, beliau terus bersetuju apabila nama Adrianna dicadangkan kerana mengenali bakatnya sebagai penyanyi dan penulis lagu yang memiliki vokal yang sesuai untuk digandingkan bersama. Adrianna pula menyifatkan gabungan mereka sebagai satu kombinasi yang serasi kerana kedua-duanya berkongsi minat terhadap gaya muzik pop dan R&B yang dipengaruhi oleh nuansa muzik Indonesia.

    Majlis berbuka puasa dan sidang media bagi pelancaran lagu ini telah diadakan di AEON Mall Shah Alam. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran kira-kira 30 orang anak yatim daripada Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia dan Pusat Jagaan Budi Bestari yang diraikan bersama dalam suasana penuh kemesraan. Pada majlis tersebut, sumbangan duit raya turut disampaikan oleh Pengurus Kanan Perniagaan Digital dan Komersial Sony Music Malaysia, Puan Aiman Nubailah bersama pihak pengurusan AEON Mall Shah Alam serta kedua-dua artis berkenaan.

    “Best Part of Raya” diterbitkan oleh Naj&Co, Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management. Lagu ini akan dilancarkan di semua platform penstriman digital utama seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music bermula 6 Mac 2026. Dengan konsep unik serta gabungan vokal dua penyanyi muda berbakat, lagu ini dijangka menjadi antara karya raya moden yang bakal mencuri perhatian pendengar tahun ini.